Bersantai bersama keluarga dengan menonton Mai Chek Mai. Mai Chek Mai merupakan siri sitkom terbaru terbitan RTM yang akan memaparkan isu-isu semasa yang releven dengan kehidupan masyarakat dan diselitkan nilai-nilai moral dalam berjenaka.

Sitkom yang akan bersiaran selama 13 episod ini mengisahkan kehidupan masyarakat di sebuah perkampungan di Kedah di mana terdapat sebuah inap desa yang bernama Mai Chek Mai.

Sitkom ini membariskan beberapa pelakon yang sememangnya sudah diketahui bakat mereka dalam dunia komedi antaranya Ebby Yus, Ilya Buang, Khatijah Tan dan Ramasundram.

Selain itu juga, sitkom ini turut menampilkan bakat-bakat baru dunia lakonan seperti Wan Suhari Wan Senu, Mira Amnas, Livonia Ricky dan juga Zarina Mohd Nor.

Pengarah dan juga penulis skrip, Asri Alias berkata kelainan yang ditampilkan melalui sitkom ini adalah selain gabungan beberapa artis lama dan juga artsi baru, perbezaan dialek yang dituturkan oleh pelakon juga berbeza.

"Melalui sitkom ini, penonton akan dapat melihat gabungan pelakon lama seperti Ebby Yus dan Khatijah Tan bersama dengan beberapa artis baru yang bakatnya dicungkil melalui program realiti seperti Pilih Kasih.

"Sebagai contoh, Ebby Yus bertutur dengan loghat Negeri Sembilan, Wan Suhairi dengan loghat Siam Kedah manakala Ilya Buang dengan loghat Perak.

"Di sini, kita dapat melihat kepelbagaian budaya dan bahasa yang masyarakat Malaysia miliki dan ini adalah antara keunikan yang ingin kami tonjolkan melalui sitkom ini," katanya yang ditemui semasa majlis pelancaran sitkom tersebut, baru-baru ini.

Sitkom ini juga mencipta suatu kelainan yang tersendiri apabila keseluruhan rakamannya dilakukan di Taman Budaya, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah.

Asri menambah rakaman yang dilakukan diluar kawasan lembah Klang adalah suatu konsep baru yang seharusnya diikuti oleh produksi lain.

Mai Chek Mai

"Apabila kita membuat rakaman di luar Kuala Lumpur, kita dapat membawa barisan pelakon tersebut lebih dekat dengan masyarakat.

"Penonton yang hadir bukan sahaja dapat berhibur dengan menonton komedi yang ditampilkan tetapi mereka juga dapat beramah mesra dengan pelakon yang terlibat," jelasnya lanjut.

Selain barisan artis tetap yang terlibat menjayakan sitkom ini, penonton juga akan dapat menyaksikan artis undangan yang membuat penampilan khas antaranya Irma Hasmie, Siti Fazurina dan Fadhil Dani.

Sitkom Mai Chek Mai akan menemui penonton bermula pada 4 Januari, setiap Rabu pada pukul 9 malam di saluran TV1.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top