Da’i: Pendakwah Milenia, rancangan realiti TV3
Juara Da’i bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000.

Da’i: Pendakwah Milenia diterbitkan TV3 bagi membentuk 12 pendakwah muda yang serba boleh dan tidak hanya mempunyai penampilan Islamik pada luaran sahaja.

Personaliti televisyen dan juri program itu, Zainal Ariffin Ismail berkata, matlamat terpenting dalam pencarian itu adalah untuk melahirkan pendakwah muda yang seimbang ilmu agama dan keperibadian.

Da’i: Pendakwah Milenia


“Kita tidak mahu pendakwah yang hanya nampak Islamik pada penampilan luaran semata-mata. Apa yang paling penting mereka (peserta) mestilah serba boleh yang ada ilmu dan akhlak terpuji.

“Mereka boleh melakukan pelbagai tugas dan peranan serta bijak bergaul dengan masyarakat,” katanya ketika ditemui pada pelancaran program itu di Hotel Royale Bintang The Curve di sini, petang Isnin.

Selain hos Jejak Rasul itu, program berkenaan turut dihakimi pengamal perubatan Islam, Al-Fadhil Sharhan Shafie.

Pada majlis pelancaran tersebut, seramai 12 peserta berumur antara 19 hingga 27 tahun dipilih untuk bersaing dalam program sebanyak 13 episod itu.

Program yang diacarakan Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zin, Mohd Zhafran Zainuldin dan Muhamad Hilmi Idris itu bakal disiarkan bermula Sabtu ini pada pukul 6 petang di TV3.

Zainal berkata, idea program yang diilhamkan sejak 2004 itu tidak perlu dibandingkan dengan program Imam Muda di Astro Oasis kerana mempunyai hala tuju yang berbeza.

“Pencarian seorang imam terlalu besar, sedangkan kita hanya mencari da’i (pendakwah) yang lebih kecil daripada imam.

“Ia adalah tanggungjawab sosial kami untuk mencari generasi pelapis golongan pendakwah, selain memartabatkan program keagamaan di TV3,” terangnya.

Dalam pada itu, penerbitnya Shukri Ibrahim berkata, penerbitan Da’i adalah bagi memenuhi permintaan penonton yang dahagakan program Islamik.

“Sudah tiba masanya kita hasilkan program yang dapat memenuhi permintaan penonton.

“Kesemua peserta nanti akan berdepan cabaran berat dalam melaksanakan 11 tugasan untuk dinilai dua juri tetap dan jemputan pada setiap minggu,” katanya.


0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top