Teater Muzikal Destini Anak Bangsa (UiTM)

ARAHAN OLEH: MAZLAN TAHIR
TARIKH PADA: 25-28 JANUARI 2013
DEWAN AGONG TUANKU CANCELOR,UITM SHAH ALAM

Nama Tan Sri Arshad Ayub sememangnya terpahat dalam lipatan sejarah sebagai tokoh yang memainkan peranan besar dalam membangunkan pendidikan profesional di kalangan anak Melayu.

Beliau adalah individu yang memainkan peranan membangunkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) demi memajukan anak-anak Bumiputera dalam bidang pendidikan.

Malah, sejarah hidupnya agak menarik kerana beliau sendiri terpaksa menempuh pelbagai halangan termasuk kemiskinan sebelum mengukir kejayaan.

Teater Muzikal `Destini Anak Bangsa'


Justeru, bagi menghargai jasa dan sumbangan beliau yang tidak ternilai harganya, UiTM akan menganjurkan Teater Muzikal `Destini Anak Bangsa' yang akan berlangsung empat hari mulai 25 hingga 28 Januari ini pada jam 8.30 malam di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam.

Menariknya, pementasan teater arahan Pensyarah Kanan Fakulti Filem, Teater dan Animasi UiTM, Mazlan Tahir ini digerakkan tenaga kerja daripada UiTM sendiri membabitkan Fakulti Muzik, Fakulti Filem, Teater & Animasi serta Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Seri Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, pementasan teater ini adalah satu bentuk penghargaan terhadap sumbangan, perjuangan dan pengorbanan Arshad dalam membangunkan UiTM yang sebelum ini dikenali sebagai Institut Teknologi Mara (ITM).

"Sejarah perjuangan Arshad dalam membangunkan institusi ini yang tidak diketahui ramai akan dipaparkan di dalamnya. Turut dipaparkan ialah perjalanan hidup beliau bermula daripada zaman remaja hingga berjaya menjadikan UiTM sebagai satu institusi pengajian yang dihormati sehingga kini.

"Tak lupa juga dimuatkan ialah sejarah pembangunan UiTM sehingga membangun hingga mampu menjadi wadah buat masyarakat Bumiputra di negara ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mendapat maklum balas positif daripada masyarakat mengenai pementasan yang bakal diadakan. Bagaimanapun mengharapkan supaya lebih banyak penaja tampil menghulurkan sumbangan bagi menjayakannya.

Arshad ialah pengarah pertama ITM dari 1967 hingga 1975. Beliau yang kini berusia 84 tahun dilantik sebagai Pro-Canselor UiTM.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Publisiti teater berkenaan, Datin Noraini Ahmad Shariff berkata, beberapa pelakon terkenal seperti Tony Eusoff, Intan Ladyana, Esma Daniel dan Azizah Mahzan akan membawakan watak utama dalam teater muzikal selama hampir dua jam.

"Tony akan melakonkan watak Arshad ketika dewasa. Intan pula akan membawakan watak Puan Sri Zaleha Mohd Arshad manakala Esma tampil dengan watak Datuk Sahul Hamid Abu Bakar selaku naib canselor UiTM dan Azizah dengan watak Kalsom iaitu ibu Arshad.

"Mereka akan bergabung dengan 70 pensyarah dan pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi serta Fakulti Muzik UiTM. Antara kandungan kisah hidup Arshad yang dimuatkan dalam teater itu ialah kehidupannya sebagai pelajar miskin di Muar.

"Cerita sedih detik ibu beliau meninggal dunia sebelum beliau menerima gaji daripada pekerjaan pertamanya serta perkenalannya dengan Zaleha juga akan dimuatkan.

"Semoga pementasan ini memberi motivasi dan kesedaran kepada golongan muda supaya mengutamakan ilmu dan pendidikan serta diharapkan pelajar dapat mencontohi ketabahan dan kesungguhan Arshad," katanya.

Teater muzikal ini mengisahkan mengenai jati diri, semangat dan legasi Melayu seorang pejuang anak bangsa yang sangat bercita-cita tinggi. Perjalanan dan cabaran hidup Tan Sri Arshad Ayub yang dijadikan sumber rujukan naskhah sebagai pemangkin kisah perjuangan ini.

Biografi Sejarah penubuhan dan Aspirasi UiTM serta kesinambungannya dengan Biografi Tokoh Tan Sri Arshad Ayub turut dijadikan sumber serta garapan idea bagi naskhah sebagai meneruskan kisah perjalanan hidup dan perjuangan ini.

Tiket untuk pementasan ini berharga RM100, RM80, RM50 dan RM25. Sebarang pertanyaan boleh menghubungi 03-79622186, 03-55227461 dan 03-55444860

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top