Bintang komedi veteran

Dunia perfileman Melayu yang mula bertapak di Studio Jalan Ampas, Singapura banyak mengeluarkan filem komedi terutama karya arahan dan lakonan Tan Sri P Ramlee yang masih lagi ditonton hingga kini, selain terbitan Cathay-Keris Films dan Merdeka Film Production atau Studio Merdeka Kuala Lumpur. Ia berterusan ditayangkan dari satu generasi ke generasi, membuktikan sentuhan filem Melayu zaman silam begitu ampuh. Walaupun diulang tayang, penonton dari setiap lapisan usia tidak pernah jemu menontonnya. Filem seperti siri Bujang Lapok, Labu Labi, Che Mat Parang Tumpul, Mat Bond, Anak Bapak dan Ahmad Albab adalah antara filem komedi Melayu lama yang terus diulang siarkan oleh stesen TV namun masih mampu mencatat rating penonton yang tinggi.

Legasi bintang komedi veteran diteruskan dengan kebangkitan ramai pelakon komedi pelapis selepas itu seperti AR Badul, Imuda, Saiful Apek sehingga kepada Johan dan Zizan. Namun, aura lakonan yang ada dalam diri pelakon komedi zaman filem Melayu klasik tetap terus dikenang dan disanjung. Kehebatan mereka bukan sekadar karakter dibawa dan jalan cerita yang menarik, tapi mesej dan sindiran tajam yang diselitkan dalam filem komedi terbitan tahun 1950-an dan 1960-an nyata memberi daya tarikan tersendiri.

Walaupun ada dalam kalangan pelakon komedi ini sudah meninggal dunia, tapi dialog yang dilontarkan menerusi watak lakonan mereka tetap diingati, malah ada yang dijadikan `trademark'. B*POP meninjau semula siapa bintang komedi veteran yang terakam dalam sejarah perfileman Melayu dengan mencipta kegemilangan pada era berkenaan.

Ibrahim Pendek

Ibrahim Pendek menggunakan fizikal dirinya untuk lebih menonjol sebagai pelakon komedi yang dianggapnya bukan kekurangan diri tapi keistimewaan. Beliau adalah anak Melayu pertama mendapat peluang berlakon dalam filem Hollywood, The Spiral Road pada 1961 bersama Rock Hudson, Gene Rowlands dan Burl Ives, selain pernah terbabit dalam produksi filem di Hong Kong dan Filipina.


Lihat saja lakonannya dalam filem Ali Baba Bujang Lapok dan Pendekar Bujang Lapok, lakonannya bersahaja dan pergerakan fizikalnya mampu membuatkan penonton ketawa. Namun, pada saat umat Islam meraikan Aidilfitri, industri hiburan negara dikejutkan dengan berita kematian seniman kerdil berjiwa besar ini pada 1 Syawal 1424 Hijrah, bersamaan 25 November 2003 pada usia 71 tahun akibat sakit paru-paru berair dan masalah ginjal.

Wahid Satay

Lakonan dalam filem Pontianak sebagai penjual sate berjaya mencuit hati penonton menyebabkan Wahid bertukar nama komersial kepada Wahid Satay. Dalam lakonan, Wahid memang banyak membintangi filem komedi dan antara filem yang berjaya mengingatkan penonton kepadanya adalah Che Mamat Parang Tajam, Rasa Sayang dan dan Che Mamat Parang Tumpul.


Menerusi filem Che Mamat Parang Tumpul, dia dianugerahkan Oskar Black Gold bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik di Pesta Filem Asia di Manila pada 1963. Tapi lakonannya dalam filem Badang arahan S Roomai Nor menyerlahkan lagi lakonan Wahid sebagai pelakon yang disegani. Dalam usia mencecah 79 tahun, Wahid kini menetap bersama anaknya di Eunos Crescent, Singapura.

Datuk Aziz Sattar

Watak Ajis dalam siri filem Bujang Lapok lakonan beliau di samping P Ramlee dan S Shamsuddin terus melekat dalam dirinya sehingga kini. Empat siri filem terbabit - Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Ali Baba Bujang Lapok dan Seniman Bujang Lapok menyerlahkan sisi komedi dalam jiwanya.

Anak kelahiran Surabaya, Indonesia ini mula berkecimpung sebagai kru filem sebelum mula diberikan peluang berlakon dalam filem Putus Harapan arahan BN Rao dan bakat lakonannya semakin berkembang terutama dalam filem komedi. Dalam bidang pengarahan juga menyaksikan Aziz mengarah lebih 15 filem antaranya Keluarga Si Comat, Prebet Lapok, Si Badol dan Bujang Lapok Kembali Daa... Beliau juga adalah seorang daripada ahli Kumpulan Panca Sitara versi 1990-an, bersama Datuk Ahmad Daud, Normadiah, Aziz Jaafar dan Nasir P Ramlee. Sehingga kini, Aziz Sattar masih aktif berlakon namun kudratnya untuk terus menghiburkan penonton tidak lagi seperti dulu kerana sering keluar masuk hospital akibat masalah pernafasan.

AR Tompel

Sejak di bangku sekolah, Aman Ramli atau AR Tompel lebih menjurus kepada bidang penulisan kreatif kerana sikapnya yang suka berkhayal. Pada suatu ketika, Tompel mengarang cerita lucu secara bersiri, antaranya termasuklah Nasib Si Tompel, Mimpi Si Tompel dan Si Tompel Tertuduh.


Siri Si Tompel cukup disukai ramai sehingga beliau mendapat jolokan Tompel yang kekal hingga akhir hayatnya. AR Tompel mula dikenal peminat filem Melayu apabila beliau berlakon dalam filem Rachun Dunia, arahan BS sebagai pelakon pembantu dengan watak komedi. Beliau juga sering diundang P Ramlee untuk berlakon dalam filem arahannya seperti siri filem Do Re Mi, Anak Bapak dan Ahmad Albab. Jejaknya dalam bidang seni diteruskan anaknya AR Badul, Amran Tompel dan Adlin Aman Ramlie. AR Tompel meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Setapak, Kuala Lumpur pada awal Mei 1973.

M Zain

Dengan loghat Pulau Pinang yang pekat berjaya memikat ramai pengarah filem ketika itu termasuk P Ramlee, Omar Rojik dan Jamil Sulong untuk menawarkannya peluang berlakon. Watak dan karakter sebagai Labi, tukang masak kepada Haji Bakhil dalam filem Labu Labi di samping P Ramlee, Udo Omar dan Mariani menyerlahkan lagi lakonannya. Di sebalik watak komedi yang dilakonkan M Zain, sebenarnya minat sebenarnya ialah dalam bidang politik, tetapi demi cintanya yang mendalam terhadap bidang lakonan memaksanya melupakan dunia politik. Derita yang ditanggung M Zain tidak ramai ketahui. Zain meninggal dunia pada 31 Januari 1967 iaitu pada usia 46 tahun.

Ahmad Nesfu

"Walaupun rupamu tidak ku kenal, tapi lubang hidungmu tetap menjadi pojaan hatiku" petikan dialog dalam filem Seniman Bujang Lapok yang dituturkan watak Ajis lakonan Aziz Sattar bagaikan sinonim dengan Ahmad Nesfu yang memegang watak sebagai Tuan Director. Walaupun watak dipegang Ahmad Nesfu dalam sesebuah filem ketika itu bukanlah sebagai watak utama, tapi peranannya menerusi watak komedi banyak menghidupkan jalan cerita. Ia termasuklah lakonannya dalam filem Tiga Abdul dan Musang Berjanggut.

Beliau juga dikatakan antara pelakon kesayangan P Ramlee dan sering ditawarkan watak walaupun sekadar watak sampingan. Lakonannya sebagai orang kaya dan kemudian menjadi gila di Hospital Bahagia dalam filem Antara Dua Darjat juga cukup menarik. Selepas penutupan Studio Jalan Ampas, Ahmad Nesfu dikatakan hidup dalam kedaifan dan sebatang kara. Tiada catatan mengenai kematian Ahmad Nesfu, namun menerusi petikan daripada internet, dikatakan Ahmad Nesfu pernah tinggal dalam kubu tinggalan Jepun di Jalan Labu, Singapura dan meninggal dunia di situ.

HM Busra

Sekiranya Ibrahim Pendek dikenali kerana fizikalnya yang rendah, HM Busra pula kerana saiz fizikalnya yang montel. Dari segi perwatakan dia sebenarnya seorang yang serius tapi disebabkan tubuhnya gempal banyak pengarah memberinya watak komedi, malah sering digandingkan bersama Ibrahim Pendek. Dilahirkan pada 1933 di Semenyih, Selangor, meskipun watak diberinya sedikit dan kurang menyerlah, tetapi Busra dikenali ramai kerana lakonannya dianggap berkesan biarpun dalam satu dua babak saja, seperti mana watak lelaki mabuk pemain muzik dalam filem Seniman Bujang Lapok. Sepanjang hayatnya dia berlakon lebih 40 filem, antaranya Takdir, Panji Semerang, Pilih Menantu dan Anakku Sazali. Filem terakhirnya ialah Langit Tidak Selalu Cerah. Berkebolehan bermain biola dan trumpet, ia ditunjukkan dalam Seniman Bujang Lapok untuk babak dia meniup trumpet sehingga mengganggu jiran sebelah, termasuk watak Ramli, Sudin dan Ajis yang sibuk menghafal skrip menyebabkan Busra dibelasah tiga bujang lapok itu. Beliau meninggal dunia pada usia 48 tahun akibat penyakit asma yang teruk.

Udo Omar

Penonton mungkin mengenali watak Haji Bakhil atau `tagline' "sekali aku lesing, baru kau tau.." dalam filem Labu Labi tapi kurang mengenali pembawa nama Udo Omar atau nama sebenarnya Omar Hitam. Walaupun hanya sering diberi watak pembantu tapi lakonannya menonjol dan dianggap sebagai pelakon serba-boleh kerana mampu untuk membawa pelbagai watak seperti inspektor polis, penghulu, orang kampung, raja atau sultan. Beliau juga adalah antara pelakon kesukaan P Ramlee dan banyak terbabit dalam filem arahannya seperti Penarek Becha, Hang Tuah, Nujum Pak Belalang dan Tiga Abdul.

Mustarjo

Watak Pendekar Mustar dalam filem Pendekar Bujang Lapok adalah antara yang paling terkesan dalam lakonan Mustarjo. Walaupun dari segi karakter diri, Mustarjo dilihat sebagai seorang serius, tapi dia mampu untuk membawa watak komedi dengan baik ditambah lagi dengan pelat Jawa yang menjadi jati dirinya yang dilahirkan di Purokarto, Jawa Tengah pada 1890. Menyingkap pembabitan awalnya sebagai pelakon, beliau terlebih dulu berjinak dalam pementasan bangsawan sebelum menyertai produksi Shaw Brothers. Selain itu, wataknya sebagai Menteri Nikah Kahwin dalam filem Musang Berjanggut juga memperlihatkan sisi komedinya.

S Shamsuddin

Memulakan pembabitan awal secara tidak sengaja apabila mengunjung studio Malay Film Production untuk melihat penggambaran filem secara dekat membawa tuah kepada S Shamsuddin untuk terjun dalam bidang lakonan. Bermula sebagai pelakon tambahan seterusnya Sudin menerima tawaran daripada pengarah filem BS Rajhans untuk berlakon filem Aloha di samping P Ramlee. Bintang Sudin mula memancar sebagai pelakon apabila dijadikan pelakon utama dalam filem Tas Tangan Wanita arahan L Krishnan yang juga filem genre komedi. Lakonannya dalam siri Bujang Lapok di samping P Ramlee dan Aziz Sattar adalah satu peningkatan terbesar dalam kariernya kerana meningkatkan lagi popularitinya sebagai pelakon. Keistimewaannya terletak pada gerak badannya yang lincah dan lidahnya yang petah sewaktu berkata- kata. Kini beliau yang uzur meneruskan kehidupan dengan menetap di Jurong, Singapura.

Mat Sentol

Namanya mungkin sedikit pelik tapi kisah di sebalik nama komersial yang digunakan pelakon kelahiran Muar, Johor ini agak menarik. Mat Rasip Yahya atau Mat Sentol banyak berlakon dalam filem arahannya sendiri yang turut menggunakan judul dengan pangkal nama `Mat' antaranya Mat Tiga Suku, Mat Bond, Mat Raja Kapor, Mat Lanun, Mat Toyol, Mat Magic dan Mat Tenggek yang semuanya adalah dalam genre komedi.

Selain berlakon dan mengarah, bakat seninya turut menjurus kepada animasi, penulis skrip drama dan filem, jurusolek artis dan penggunaan kesan khas yang mana beliau mencipta pelbagai teknik penggambaran dalam filem arahannya. Dalam usia 83 tahun kini, Mat Sentol menetap di Johor Bahru bersama keluarganya menguruskan syarikat berkaitan pengiklanan filem.

Ibrahim Din

Siri filem Do Re Mi dan Anak Bapak lakonan bersama P Ramlee antara filem yang berjaya mengangkat nama Ibrahim Din atau nama sebenarnya Ibrahim Fazal Din pada zaman kegemilangan perfileman Melayu ketika itu. Walaupun kerjaya lakonannya bermula lebih awal dengan membintangi filem Abu Nawas, Gadis Langkawi dan Sabarudin Tukang Kasut, tapi wataknya sebagai Mi dalam siri filem Do Re Mi memuncakkan namanya sebagai pelakon. Ibrahim Din meninggal dunia pada usia 71 tahun di Bandar Baru Sentul selepas lama menderita penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Sumber:

Bintang Popular
Oleh Mohd Aizat Shamsuddin



0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top