Sinopsis telefilem Keroncong Untuk Ana

Keroncong Untuk Ana mengisahkan Pak Hamdi (Rahim Razali), pesara guru pemain mandolin (cok) dalam kumpulan keroncong yang semakin dilupakan. Anaknya, Rashdan (Qi) pula ingin menjadi vokalis dan bermain gitar kumpulan indie yang sedang menempa nama di kampungnya iaitu kumpulan SPAM yang diterajui Amirul (Johan).

Bagaimanapun, Amirul menetapkan syarat jika Rashdan mahu menyertai kumpulan itu, dia mesti mempunyai alat muzik sendiri. Kerana terdesak untuk mengikut kata hati, dia sanggup mencuri cok ayahnya dan menjual untuk membeli gitar elektrik.

Pak Hamdi menjadi murung dan jatuh sakit. Lagu Keroncong Untuk Ana yang sedang digubah khas untuk janda anak satu yang tinggal di sebelah rumahnya, Rohana, tidak dapat disiapkan.

Rohana sangat meminati lagu keroncong dan sering curi dengar latihan kumpulan Pak Hamdi. Sehinggalah satu hari anaknya, Rohayu membawa ibunya bertemu Pak Hamdi secara paksa dan diterima masuk menjadi penyanyi kumpulan tradisi itu.

Pada masa sama, Rohayu juga mula rapat dengan Rashdan. Pertembungan dua generasi muzik baru dan lama inilah yang bakal membuka mata masyarakat mengenai kehebatan muzik baru dan lama yang kian luput ditelan zaman.



Melihat dari sudut plot, telefilem ini mampu memberi impak tersendiri pada sebuah karya drama tempatan. Malah unsur muzikal yang disuntik cukup memberi kesan sendiri. Antara menarik perhatian ialah babak Pak Hamdi dan Rohana menyanyikan lagu keroncong lama yang cukup gemersik.

Malah babak akhir persembahan kumpulan SPAM menyanyikan lagu keroncong dalam gaya rock indie juga pasti membuka mata setiap penonton. Apakah ia dapat diterima atau tidak, terpulang pada interpretasi masing-masing.

Telefilem Keroncong Untuk Ana yang diangkat dari lagu ciptaan dan nyanyian Datuk M Nasir, menggandingkan Datuk Rahim Razali, Qi Razali, Lydiawati, Tiz Zaqyah dan Johan As'ari.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top