Anugerah Skrin 2013 (ASK 2013) bakal kembali mengiktiraf karyawan-karyawan seni tanah air pada bulan November ini. Untuk itu, TV3 bakal menayangkan sebahagian telefilem yang tercalon di ASK 2013 pada setiap hari Khamis jam 10.00 malam mulai 3 Oktober 2013 hingga 21 November 2013.

Antaranya telefilem tersebut adalah 'Anak Lorong', 'Perempuan Itu Ibuku', 'Bedah Tong Gas Nak Raya', 'Sebelum Kiamat', 'Fatihah Untuk Abah', 'Aku Bukan Malaikat', 'Neraka Abah' dan 'Di Bawah Langit Mu'.

Seperti tahun sebelumnya, selain rangkaian televisyen di bawah naungan Media Prima Berhad yang terdiri daripada TV3, NTV7, 8TV dan TV9, pihak penganjur juga turut menjemput stesen televisyen RTM, ASTRO dan juga TV Al-Hijrah untuk sama-sama menyertai anugerah yang berprestij ini.

Bagi kategori Drama Terbaik yang menjadi tumpuan utama dalam ASK 2013, 16 drama telah disenarai pendek iaitu 'Akhirnya Kisah Perempuan', 'Aku Bukan Malaikat', 'Anak Lorong', 'Bedah Tong Gas Nak Raya', 'Di Bawah Langit Mu', 'Fatihah Untuk Abah', 'Hari Hari Terakhir Seorang Seniman', 'Kampong Semarah Padi', 'Kawan', 'Mawar Putih Tanda Perpisahan', 'Neraka Abah', 'Perempuan Itu Ibuku', 'Sebelum Kiamat', 'Siapa Dapat Lisa', 'Strawberry Karipap' dan 'Tunggu Sekejap'

Berikut ialah 8 drama terbaik pilihan ASK 2013 yang bakal disiarkan pada setiap hari Khamis jam 10.00 malam di TV3 bermula 3 Oktober 2013:
Anak Lorong (3 Oktober 2013)
Pada usia 16 tahun, Rayyan mengambil keputusan untuk berhenti sekolah kerana bekerja untuk menyara dia dan adiknya, Fara selepas terpisah dengan ibu mereka, Melur tiga tahun lalu. Pelbagai tohmahan dilemparkan mengenai kehilangan ibunya. Selepas berpisah dengan ibu mereka, Rayyan dan Farah dipelihara oleh kawan baik dan sekerja Melur iaitu Khaty. Walaupun Khaty berjanji untuk menjaga Rayyan dan Farah, hakikatnya Khaty tidak menyukai kerana mengganggap mereka berdua menambahkan lagi bebannya. Sikap Khaty makin terserlah sehingga sanggup menghina dan memaki hamun mereka berdua. Dapatkah Rayyan dan Fara melepaskan diri tohmahan Khaty dan apakah nasib mereka berdua.

Pelakon: Syafie Naswip, Eyka Farhana, Rita Rudaini, Puteri Balqis Azizi, Fiza Halim, Fadzilah Mansor.

Perempuan Itu Ibuku (10 Oktober 2013)
Azri dibesarkan di lorong pelacuran di sekitar Chow Kit apabila ibunya, Zainun dipaksa menjadi pelacur setelah ayahnya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atas kesalahan memiliki dadah. Dadah tersebut sebenarnya dimiliki oleh Johan, seorang pengedar dadah dan juga bapa ayam. Johan menuntut ganti rugi daripada Zainun. Apabila Zainun gagal membayar ganti rugi, Johan memaksa Zainun menjadi pelacur dan mengugut akan membunuh Azri sekiranya Zainun berpaling tadah. Azri sering menghabiskan masa di Masjid Kampung Baru. Selain mendapat makanan daripada mereka yang bersedekah, Azri selalu mendengar kuliah agama yang disampaikan oleh Imam masjid berkenaan iaitu Pak Hamid. Minat yang mendalam dalam bidang agama menyebabkan Azri berjaya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Agama Wilayah apabila mendapat keputusan cemerlang dalam PMR, kemudian menyambung pelajaran ke Timur Tengah. Setelah menamatkan pengajian dan kembali ke Malaysia, Azri terus mencari Zainun dan cuba membawa Zainun ke pangkal jalan. Bagaimanapun Zainun agak keberatan untuk meninggalkan rumah pelacuran. Azri amat kecewa, lebih-lebih lagi apabila mendapati Zainun kini telah menjadi ibu ayam…

Pelakon: Shukri Yahaya, Sherry Merlis, Izreen Azminda, Zamarul Hisham.

Bedah Tong Gas Nak Raya (17 Oktober 2013)
Hari pertama berpuasa, Bedah akan tinggal di rumah ibunya, Mak Senah. Mak Senah berpengalaman sebagai bidan mengurut Bedah yang baru lepas bersalin. Pak Kulop diminta menjaga perniagaan tong gas Bedah manakala Zamri menjaga bayinya. Kemunculan Che Ta dalam kampung itu untuk menjual gas telah mengejutkan Bedah. Che Ta akan menjadi rakan niaganya. Bedah selaku CEO tong gasnya tidak ada perasaan dengki. Sementara Ucop pula sudah putus asa mahu mencari tikus lagi. Dia cuba mencari lipas pula kononya permintaan hangat di Kanada. Pak Kulop mengajak Ucop membantunya di kedai tong gas tetapi Ucop pandang rendah terhadap perniagaan itu. Zamri dan Ucop masing-masing meminati Che Ta.  Che Ta sememangnya seorang pendengki paling hebat. Dengan kecantikan yang ada, dia berjaya menggoda Ucop untuk kerja dengannya. Zamri geram melihat Ucop rapat dengan Che Ta. Pada malam raya, Zamri, Bedah, Pak Kulop sibuk melakukan persiapan akhir perayaan manakala Che Ta dan Ucop sibuk jual tong gas sehingga pada malam raya, Che Ta perasan yang dia tidak sempat membuat persiapan raya dan dia kehabisan gas.      
                                                              
Pelakon: Noorkhiriah, Rozita Che Wan, Jalil Hamid, Bell Ngasri, Syanie, Joey Daud

Sebelum Kiamat (24 Oktober 2013)
Cerita ini mengisahkan tentang Radi yang masih bersekolah rendah dan dibesarkan oleh bapanya, Osman. Osman menceraikan isterinya semasa Radi masih kecil. Sejak kecil Radi sudah dididik hidup berdikari. Walaupun Radi masih bersekolah rendah, dia seorang yang penyabar dan berhati tabah. Radi sentiasa merindui ibunya. Dia tidak tahu sama ada ibunya masih hidup atau mati kerana setiap kali dia bertanya tentang ibunya, Osman akan memarahinya dan mengamuk seperti orang hilang akal. Suatu hari, Osman meninggal dunia akibat serangan jantung. Berbekalkan wang simpnan yang ada, Radi nekad ke Kuala Lumpur untuk mencari ibunya...

Pelakon: Naim Daniel, Zamarul Hisham, Sherry Merlis, Soffi Jikan, Noorkhiriah.

Fatihah Untuk Abah (31 Oktober 2013)

Kekosongan hidup Dollah ditemani dengan gelak tawa dan gurau senda rakan-rakannya, Samad, Ani dan Gusdar. Suatu hari Dollah dikejutkan dengan kunjungan seorang gadis, Fatihah, anaknya yang ditinggalkan 17 tahun lalu. Keluarga isterinya yang mewah menentang cinta mereka dan tidak mahu membiarkan anak mereka hidup susah dengan pemandu lori. Akhirnya Dollah melepaskan isterinya dan Fatihah yang ketika itu masih bayi kepada keluarga isterinya bagi memastikan kehidupan dua beranak itu terjamin. Dollah terkejut apabila Fatihah memberitahu ibunya telah meninggal dunia ketika usia Fatihah 5 tahun. Dalam keadaan sayu, Dollah bertanya kepada Fatihah akan tujuan sebenar Fatihah datang berjumpa dengannya. Fatihah memberitahu dia ingin menghabiskan cuti sekolah selama sebulan untuk mengenali ayahnya itu.  Dollah berasa segan untuk menyambut kehadiran Fatihah kerana keadaan rumahnya yang usang dan berselerak sedangkan Fatihah sudah biasa hidup mewah bersama Tok Mak. Kehidupan Dollah menjadi ceria dengan kehadiran Fatihah namun saat-saat bahagia tidak berpanjangan kerana Dollah sebenarnya telah menyimpan satu rahsia.

Pelakon: Faizal Hussein, Sharifah Amani, Amyza Adnan, Azhan Rani, Syafie Naswip.

Aku Bukan Malaikat (7 November 2013)
Sinopsis: Sejak kecil lagi kehidupan Mardiah penuh dengan derita. Dia terpaksa mencari rezeki untuk menampung kehidupan keluarganya. Malah dia sering dipaksa oleh bapanya untuk membeli dadah. Mardiah nekad untuk mengubah kehidupannya dengan berhijrah ke Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur pula, Mardiah berkenalan dengan seorang lelaki berkulit hitam, Duke. Kata-kata manis dan pujukan Duke membuatkan Mardiah jatuh hati padanya. Duke menawarkan pekerjaan dengan gaji lumayan kepada Mardiah. Duit telah mengaburi mata Mardiah dan dia sanggup bekerja sebagai keldai dadah…

Pelakon: Datin Paduka Umie Aida, Beto Kusyairy, Amar Baharin, Elfira Loy, Sharifah Amani, Fadzilah Mansor

Neraka Abah (14 November 2013)
Mengisahkah tentang Kimi seorang budak remaja yang terpaksa menanggung derita selepas kematian ibunya, Pak Kamil seperti hilang akal dan terus menyalahkan Kimi di atas pemergian isterinya yang tercinta. Sejak itu, Pak Kamil terus mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa. Kimi terpaksa menguruskan hal adik-adiknya yang lain seperti seorang yang matang. Sejak ketiadaan ibu mereka, Acik dan Kimi sentiasa bersama. Acik begitu menyayangi Kimi yang banyak mengajarnya tentang kehidupan. Mereka sentiasa melindungi antara satu sama lain. Pak Kamil hilang arah sehingga terjerumus ke dalam lembah dadah dan tidak dapat berfikir secara waras. Suatu petang, apabila Cikgu Saadah datang melawat Acik di rumah, Pak Kamil cuba merogol Cikgu Saadah tetapi sempat dihalang oleh Acik. Bengang dengan tindakan Acik yang campur tangan, Pak Kamil terus membelasah Acik hingga kaku tidak berdaya. Kimi yang baru pulang telah mengejar dan menolak bapanya sehingga jatuh. Kimi akhirnya disabitkan kesalahan juvana kerana masih lagi bawah umur.

Pelakon: Syafie Naswip, Azhan Rani, Zarina Zainuddin, Amyza Aznan, Adik Rykal, Liza Abdullah, Rashid Jaafar

Di Bawah Langitmu (21 November 2013)
Annur merupakan gadis yang menjadi igauan hampir setiap anak muda dalam kampung itu. Dia merupakan seorang yang cantik, lembut, warak dan bakal disatukan dengan Farid. Osman, abang angkat Annur di sekolah yang mahu memperisterikan Annur kecewa dengan berita tersebut. Sikapnya yang panas baran dan kaki pukul membuatkan pinangannya ditolak oleh keluarga Annur. Yazid yang berdendam dengan Osman telah memasang perangkap supaya Annur dengan Osman ditangkap khalwat. Keluarga Annur menyatukan Osman dengan Annur demi menjaga maruah keluarga mereka. Osman telah berubah selepas berkahwin dan menatang Annur macam minyak yang penuh. Annur semakin bahagia apabila dia disahkan mengandung. Namun, rumahtangga mereka mula tergugat selepas Osman ditipu oleh rakan kongsinya. Osman kembali kepada tabiat asalnya dan Annur sering dikasari. Mampukah percintaan mereka menemui kebahagian hingga ke akhirnya?

Pelakon: Nora Danish, Sharnaaz Ahmad, Nad Zainal, Ako Mustafa, Liza Abdullah, Rosnah Johari, Zaidi Omar.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top