Biografi ringkas Maimon Mutalib 

Belasungkawa Maimon Mutalib (1959-2013)

Allahyarhamah Maimon Mutalib, 54, sememangnya antara wanita paling tabah pernah hadir menghiasi industri lakonan tempatan. Meskipun disahkan menghidap kanser payudara tahap keempat, kesakitan itu dia tetap sembunyikan keadaan dirinya setiap kali berada di set malah dia tidak pernah biarkan penyakit itu mencacatkan lakonannya.

Buktinya, setiap kali melihat kemunculannya dalam mana-mana drama, telemovie mahupun filem, tidak terpancar pun di wajah dia sebenarnya sedang berhadapan satu dugaan yang terhebat dalam diri.


Lebih daripada itu, pelakon kelahiran Tangkak, Johor itu malah tetap gigih bekerja dan memenuhi pelbagai tawaran tanpa menurutkan saja rasa sakit itu apatah lagi memikirkan tanggungjawab membesarkan lima anak yang masih memerlukan perhatiannya.

Bukan dia tidak berusaha untuk melawan penyakit itu malah pelbagai ikhtiar dicubanya daripada rawatan kemoterapi, radio terapi, CT Scan dan tidak terkecuali mencuba rawatan tradisional di Indonesia, namun ajalnya sampai juga seperti mana ditetapkan Allah SWT.

Mengimbas perjalanan seni dramatis berkenaan, tidak disangkal dia mampu melunaskan pelbagai watak daripada ibu mithali, wanita garang, wanita misteri dan nenek semua memang sudah jadi makanannya.

Keikhlasan serta kerja-kerasnya cukup terserlah apabila sewaktu dia masih cergas dan sihat, boleh dikatakan kemunculannya di mana-mana sehinggalah dia memahat nama di kedudukan tersendiri.

Sehingga pada saat di mana penyakit kanser itu semakin memakan dirinya, masih ada pengarah berbudi seperti Murali Abdullah tampil membantu dan menaruh kepercayaan terhadap bakat arwah.

Keberkesanan lakonannya juga berjaya menempatkan dia pada kedudukan Top 5 dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama dalam Anugerah Skrin 2012 bagi wataknya dalam telefilem Hilangnya Dosa Seorang Ibu.

Antara karya lain lakonan beliau adalah Aku Akan Muncul, Budak Pailang, Chantek, CUCI, Al-Hijab, Qabil Khushry Qabil Igam, Appalam, Pensil, Minyak Dagu dan Sumpahan Kum Kum.

Kali terakhir berlakon adalah menerusi telefilem Dari Asar Ke Isyak apabila produser Enuja Production Sdn Bhd, Zainuddin Mohd Ismail sudi memberikannya peluang terbabit.

Arwah pun tidak menyangka masih ada pihak yang percayakan dirinya pada waktu sebegitu seperti mana Zainudin yang sanggup mengambil dia memeluk skrip sebagus itu. Dibariskan bersama pelakon handal seperti Faizal Hussein, Sofi Jikan dan Lisdawati, arwah nyata sangat terharu khidmatnya masih diperlukan.

Tanggal 7 September 2013, beliau disahkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.20 petang di rumahnya di Seksyen 17, Shah Alam, Selangor, sebaik keluar daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), jam 12 tengah hari.

Maimon yang juga ibu tunggal, pergi meninggalkan lima anaknya - Kamarul Syahid Keristifa, 34, Surayatul Nadia Keristifa, 32, Surayatul Natasya Keristifa, 25, serta sepasang kembar Abdul Rahman Haji Keristifa dan Abdul Rahman Haj Keristifa, 16.


Jenazah arwah dikebumikan di kampung halamannya di Kg Sialang, Tangkak, Johor.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top