Piala Sultan Selangor 2013 merupakan edisi ke-12 pertandingan yang menemukan dua musuh tradisi iaitu Selangor dan Singapura. Perlawanan berprestij ini bukan sahaja bakal mengimbau kembali nostalgia dan kenangan lalu malah mengeratkan silatulrahim antara Selangor dan Singapura, tatkala dua jagoan ini sering bersaing sejak Piala Malaya suatu ketika dahulu. Nama seperti Abdul Ghani Minhat, Soh Chin Aun, Santokh Singh, Mokhtar Dahari, R. Arumugam dan ramai lagi kekal terpahat dalam sejarah bola sepak negeri Selangor atau lebih popular dengan jolokkan ‘Red Giant’.


Selangor dan Singapura saling berkongsi lima kejuaraan termasuk juara bersama pada tahun 2004 sejak pertama kali Piala Sultan Selangor diperkenalkan pada tahun 2001. Selepas tewas tiga edisi berturut-turut, Selangor akhirnya merampas kejuaraan Piala Sultan Selangor apabila menewaskan Singapura 3-1 pada perlawanan edisi ke-11 menerusi jaringan Safiq Rahim, Basko Balaban dan Rozaimi Abdul Rahman.

Sempena Piala Sultan Selangor 2013 yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam pada 28 September 2013 nanti, sebuah majlis sidang media telah diadakan hari ini di Sri Pentas, Bandar Utama, bagi mengumumkan stesen televisyen nombor satu negara iaitu TV3 sebagai penyiar rasmi. Perlawanan antara Pilihan Selangor menentang Pilihan Singapura akan disiarkan secara langsung di TV3 bermula jam 9.00 malam bersama pengulas, Abu Bakar Atan.

Majlis sidang media ini dihadiri oleh Dato’ Hj. Abd. Karim B. Munisar, Pengerusi dan Pengurus Pasukan, Piala Sultan Selangor 2013, Datuk Kamal Khalid, Ketua Pegawai Operasi, Perkhidmatan Perkongsian Kumpulan, Media Prima Berhad dan barisan pemain Pilihan Selangor terdiri, antaranya, Mohd Asraruddin Putra Omar dan Mohd Amri Yahyah.

Menurut Encik Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, “Sebagai stesen televisyen nombor satu Malaysia yang merangkumi siaran paling luas dengan jumlah kadar tontonan yang tinggi, TV3 bukan sahaja menfokuskan program-program berbentuk drama, majalah, dokumentari dan hiburan, malah sukan merupakan satu genre yang ingin diketengahkan apatah lagi selepas kejayaan perlawanan persahabatan antara Malaysia menentang FC Barcelona sewaktu Hari Raya lalu.”

“Buat julung kalinya, TV3 amat berbangga kerana diberi kepercayaan untuk menjadi penyiar rasmi Piala Sultan Selangor di mana pastinya pertembungan bersejarah antara pasukan Selangor dengan musuh tradisi, Singapura bakal menyajikan aksi-aksi yang menarik. Berita baik juga kepada peminat bola sepak tempatan, anda boleh menonton di saluran percuma bukan sahaja pada tahun ini malah TV3 akan kekal sebagai penyiar rasmi perlawanan tahunan berprestij ini untuk tahun 2014 dan 2015. Seraya dengan itu, TV3 akan terus berusaha menyajikan lebih banyak lagi program sukan di masa akan datang. Justeru, jangan lupa dapatkan maklumat terkini mengenai program sukan baru yang bakal disiarkan di laman sesawang rasmi TV3.”

Dato’ Hj. Abd. Karim B. Munisar pula berkata “Perlawanan tahun ini dijangka akan lebih sengit dengan aksi dan kepantasan pemain memandangkan kedua-dua pasukan begitu bersemangat untuk memenangi perlawanan ini bagi menerajui kejuaraan Piala Sultan Selangor. Kedua-dua pasukan saling berkongsi lima kejuaraan termasuk juara bersama pada tahun 2004 sebelum ini. Selangor telah memenangi kejuaraan pada tahun 2001, 2003, 2005, 2008 dan 2012 manakala Singapura pada tahun 2006, 2007, 2009, 2010 dan 2011.”

Saksikan pertembungan antara Pilihan Selangor berhadapan Pilihan Singapura sempena Piala Sultan Selangor 2013 secara langsung pada 28 September 2013 (Sabtu) jam 9.00 malam di TV3. Terlebih dahulu, perlawanan antara Veteran Selangor menentang Veteran Singapura akan bermula pada jam 8.00 malam.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top