Biarpun kebanyakan artis popular tanah air kini rancak menggunakan media sosial baru seperti Facebook, Twitter dan Instagram sebagai medan menyebarkan segala aktiviti seni dan harian mereka kepada peminat, namun penghibur terkenal Ziana Zain enggan berbuat demikian.

Penyanyi dengan nama sebenar Siti Roziana Zain yang popular dengan lagu seperti Korban Cinta dan Anggapanmu ini berkata, sehingga kini dia amat menjaga nilai eksklusif dirinya terutama membabitkan keluarga.

Ziana ketika ditemui RAP baru-baru ini berkata, dia ada memiliki akaun Twitter dan Instagram, tetapi hanya menggunakannya sebagai penyalur maklumat aktiviti seninya kepada peminat.

"Saya tidak berkongsi luahan perasaan atau kisah keluarga secara terbuka di dalam laman sosial popular ini. Kalau ada pun mengenai keluarga, ia sedikit dan biasa-biasa saja.

"Di zaman kecanggihan teknologi sekarang, semuanya berada di hujung jari. Namun, kita sepatutnya lebih berhati-hati kerana tidak semua benda dan aktiviti boleh dikongsi," katanya.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata yang kini berusia 45 tahun, atas dasar faktor keselamatan juga membuatkan dia enggan berkongsi sebarang aktiviti bersama keluarga di akaun laman sosialnya.

Bagi Ziana, individu yang keseorangan dan dalam kesepian saja rajin mengemas kini status mereka walau di mana saja berada dan apa yang dilakukan ketika itu untuk mendapatkan perhatian.

"Apapun, ia sekadar pandangan saya saja. Dalam soal ini, setiap orang memiliki persepsi berbeza dan tersendiri. Semuanya bergantung pada mereka atas tujuan apa media sosial itu amat diperlukan.

"Sebagai ibu dalam era moden ini, tanggungjawab memanglah sangat besar dan berat. Selain memantau perkembangan pendidikan anakanak, saya juga perlu kenal siapa rakan-rakan mereka," katanya.

Berbicara pula mengenai kerjaya seninya, Ziana yang masih jelita serta bertubuh langsing memaklumkan dia masih lagi aktif memenuhi undangan persembahan nyanyian walaupun sudah lama tidak muncul dengan lagu baru.

"Syukur ke hadrat Ilahi kerana peminat nampaknya masih lagi menerima saya. Bahkan, jadual seni saya juga tetap sibuk dengan pelbagai aktiviti termasuklah dipilih menjadi juri.

"Sebenarnya keputusan untuk menjadi juri ini, saya lakukan selepas berfikir panjang. Bukan apa, lumrah manusia tidak semua orang mampu bersikap terbuka menerima kritikan. Jadi, pada mulanya saya amat risau.

"Apatah lagi, saya pun tidak pernah berasa diri sudah berada pada tahap terbaik. Bagaimanapun, saya cuba memberi teguran sebaik mungkin dan lebih selesa berkongsi pengalaman dimiliki saja," katanya.

Cukup peka dengan penjagaan kecantikan dan penampilan dirinya, Ziana berkata sebagai wanita bekerjaya terutama di dalam bidang seni, dia harus mengambil kira semua itu kerana menjadi perhatian umum.

"Sebenarnya, dalam soal penampilan saya adalah seorang yang ringkas. Tetapi, pada setiap dandanan dan busana digayakan saya selalunya cukup teliti serta memastikan ia sesuai.

"Sebagai selebriti, penjagaan imej penting kerana membantu meningkatkan keyakinan diri. Apatah lagi, diri juga menjadi perhatian ramai," katanya yang ringan tulang ke dapur.

Menurut pelakon filem Sembilu dan Maria Mariana ini, dia lebih selesa memasak sendiri setiap hari untuk keluarganya. Justeru, dalam kesibukan hariannya dia perlu bijak mengatur masa.

Di kala ramai penyanyi sekarang muncul dengan single pelbagai genre, Ziana pula seakanakan kurang berminat. Apakah dia sememangnya selesa untuk tidak muncul dengan lagu baru.

Mengakui kecintaan mendalamnya pada kerjaya seni yang sudah diceburi kira-kira dua dekad lalu, ibu kepada Muhammad Aiman, 13, Muhammad Amar, 10, serta pasangan kembar Muhammad Airil dan Siti Nour Kaseh, 4, ini berkata, dia mencari lagu yang mempunyai melodi serta lirik kuat seperti lagu-lagu terdahulunya.

"Bagaimanapun, sehingga kini saya masih belum berjaya mendapatkan lagu yang dicari itu. Jadi, daripada menghasilkan lagu yang tidak menepati kehendak saya apatah lagi kehendak pendengar, lebih baik tak payah.

"Lagipun, saya tak ralat tidak merakamkan lagu baru kerana sampai sekarang di dalam undangan persemba han dijayakan, peminat-peminat asyik minta saya menyanyikan lagu lama seperti Madah Berhelah dan Puncak Kasih," katanya.

Menyentuh soal berlakon pula, Ziana berkata, dia juga masih lagi mendapat tawaran, tetapi memandangkan anak-anaknya masih kecil terutama pasangan kembar yang baru berusia empat tahun membuatkan dia menolak.

Katanya pada masa sekarang, keutamaan dirinya adalah masa bersama keluarga. Jadi, katanya dia berasakan diri tidak mampu memberikan komitmen baik di set penggambaran kerana asyik teringatkan anak.

"Jadi, saya enggan menerima sebarang tawaran berlakon buat masa ini kerana mahu memastikan masa benar-benar cukup untuk anak-anak serta menguruskan keluarga.

"Apatah lagi suami saya, Armin Zaharin juga tidak menggalakkan kerana pembabitan dalam lakonan memerlukan saya menghabiskan masa yang lama di lokasi penggambaran," katanya.

Berbicara mengenai penganjuran konsert istimewanya, kakak kepada penyanyi Anuar Zain ini memaklumkan ada juga pihak berminat untuk memberi penajaan, namun biarlah ia difikirkan dengan lebih teliti dulu.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top