Kisah hubungan pasangan pelakon Nelydia Senrose dan Qi Razali bukan lagi rahsia dalam kalangan peminat dunia hiburan tanah air.

Sejak lelaki berusia 35 tahun itu mengesahkan hubungan mereka, Julai lalu, khalayak mula menerima jalinan kasih dua insan ini dengan hati terbuka.

Biarpun pemilik nama sebenar Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen ini mengakui persahabatannya dengan bekas anggota kumpulan OAG itu kurang disenangi pada awalnya gara-gara dituduh sebagai wanita perampas, keadaan itu beransur reda kebelakangan ini.


Dalam mendefinisikan jurnal cinta merpati dua sejoli ini, Nelydia berkata, Qi bersikap lebih terbuka berkongsi kisah mereka namun dia tetap dengan pendirian enggan terlalu mencanangkan perihal peribadi.

"Biarlah orang lelaki saja yang membuka mulut. Saya hanya boleh katakan hubungan kami dalam fasa yang baru. Sebelum ini kami hanya rapat sebagai kawan.

"Belum ada kepastian (hubungan) kerana jodoh pertemuan ditentukan Allah SWT. Jadi tak perlulah asyik menggembar-gemburkan perkara ini. Orang sudah tahu, cukuplah," katanya yang baru mencecah usia 19 tahun pada 30 Julai lalu.

Adik kepada pelakon Uqasha Senrose ini berkata, memandangkan hubungannya dengan Qi berada pada tahap yang lebih baik dan stabil, dia merasakan tidak perlu untuknya terus bercerita perkembangan semasa mereka dari masa ke semasa.

"Rasanya sudah tidak perlu untuk saya terus bercakap hal hubungan. Takut nanti orang akan muak pula kerana saya pasti peminat hari ini lebih terbuka dan tertarik untuk melihat perkembangan kerjaya artis kesayangan mereka.

"Seperti saya nyatakan, hubungan kami baik-baik saja, jadi rasanya tidak ada apa yang baru untuk dikongsikan," katanya yang mula rapat dengan Qi sejak awal tahun ini.

Diusik mengenai ketiadaan kekasih hati yang kini berada di Argentina atas urusan kerja, Nelydia berkata, mereka saling berhubungan apabila waktu mengizinkan.

"Adalah juga kami berhubung apabila ada kesempatan tapi bukanlah setiap masa kerana kami sibuk dengan kerja "Dia sudah berada di sana sejak Julai lalu hingga bulan ini. Kalau rindu atau teringin untuk berbual, kami akan berhubung kerana sekarang ada banyak kemudahan teknologi," katanya.

Melanjutkan topik perbualan kami, Nelydia mengakui, masih terlalu awal untuk dia meramalkan hala tuju dan masa depan hubungan itu tetapi dia harus selalu bersedia untuk sebarang kemungkinan.

"Pada masa ini, tak beranilah saya hendak bercakap soal kahwin atau apa pun mengenai hubungan kami. Lagi pun, saya perempuan tak manis kalau saya pula yang sibuk menjaja hal begini.

"Biarlah masa yang menentukan sejauh mana hubungan kami akan bertahan. Kalau memang ada jodoh, Insya-Allah takkan ke mana," katanya.

Bimbang tumpuan pada pengajian merosot

Nelydia ketika ditanya bagaimana dia membahagikan masanya sebagai pelajar kolej dan pelakon, sambil menghela nafas, dia mengakui populariti yang dimiliki kebelakangan ini membuatkan dirinya semakin sibuk saban hari.

"Kalau diikutkan, memang tak menang tangan jadinya. Komitmen berlakon memang panjang kerana dalam tempoh dua bulan lalu terikat dengan penggambaran drama bersiri, Cinta Jannah.

"Sebab itu, saya ambil keputusan untuk berehat daripada penggambaran sepanjang bulan ini. Kalau ada pun, saya hanya memenuhi penampilan di acara hiburan atau sesi fotografi saja.

"Saya perlu memastikan dapat rehat sebaik mungkin bulan ini supaya saya segar dan mantap semula apabila memulakan semula komitmen lakonan bulan depan," katanya.

Pelajar jurusan Psikologi di Segi College ini berkata, kesibukan jadual seni sepanjang tahun ini menimbulkan kebimbangan kepada tumpuan dalam pengajiannya.

"Saya bimbang juga tumpuan terhadap pelajaran akan merosot jika terlalu banyak komitmen dalam bidang lakonan, tambahan pula sekarang saya sudah berada di semester tiga. Kedua-dua bidang ini sama penting dan tidak boleh main-main atau ambil mudah. Memandangkan sebulan ini saya berehat, dapatlah saya beri tumpuan pada kuliah," katanya.

Bagaimanapun, jauh di sudut hatinya, Nelydia melahirkan kesyukuran dengan penerimaan masyarakat sehingga meletakkan namanya pada kedudukan yang membanggakan hari ini.

"Saya tak pernah minta untuk popular dan menjadi sebutan ramai seperti saya kecapi hari ini. Syukur sangat-sangat dengan aturan Allah SWT ke atas hidup saya.

"Peluang ini adalah detik yang takkan datang dua kali dalam hidup. Ini adalah waktu saya jadi biar sesibuk mana pun, saya tidak pernah merungut.

"Sebaliknya, saya harus bekerja-keras dan terus meningkatkan kualiti kerja agar populariti dan kepercayaan orang ramai terbalas," katanya yang terbabit dengan penggambaran filem pertama, Cinderella arahan Ahmad Idham, beberapa bulan lalu.

Ditanya pula mengenai lakonannya dalam drama bersiri terbaru, Cinta Jannah, Nelydia mengakui berasa seronok dengan pengalaman dimiliki daripada drama sebanyak 24 episod itu.

"Watak sebagai Jannah ini berbeza dan istimewa bagi saya. Seronok sebenarnya membawa watak gadis kampung yang naif dan pasif. Ia adalah karakter yang belum pernah saya jayakan.

"Bukan mudah untuk bawa watak gadis naif dan sering ditindas. Untuk komitmen watak ini, saya melakukan pemerhatian pada gadis-gadis kampung untuk belajar cara mereka menjalani kehidupan seharian," katanya.

Drama arahan Azmi Hatta dan skrip Nur Maizan Othman itu turut dibintangi Aeril Zafrel, Reen Rahim, Ramona Zam Zam, Fadilah Mansor, Shaharudin Thamby, Dian P. Ramlee, Kartina Aziz, Ezany Nizariff dan Abdul Fattah Mohd Amin.

Ia sudah ditayangkan sejak 14 Ogos lalu pada setiap Isnin hingga Khamis jam 7 malam dalam slot Akasia di TV3.

~ HM

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top