Menjejak peninggalan Rasulullah, musim ini krew Jejak Rasul memilih sebuah bumi asing yang cukup sinonim dengan sejarah Rasulullah iaitu Tanah Arab. Menyedari akan tanggungjawab mereka untuk menjejak legasi yang ditinggalkan, Mazlin yakin bahan yang ada cukup untuk 10 hingga 20 tahun akan datang.
“Legasi yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad S.A.W masih banyak yang belum diterokai. Saya fikir apa yang dilakukan oleh Jejak Rasul ini akan boleh bertahan sehingga 10 hingga 20 tahun lagi. Ada macam-macam lagi sejarah yang perlu kita selidiki terutamanya di bumi yang cukup asing dengan sejarah Nabi, Tanah Arab,” jelas Mazlin Nordin selaku pengarah dan penerbit Kumpulan A.
Kumpulan A yang turut dianggotai wartawan penyelidik, Ezzah Aziz Fawzy, pembantu penerbitan Mohd Zahir Ramli dan jurukamera Abd Shahril Rani ditugaskan untuk melakukan penyelidikan dan penggambaran di sekitar Moscow dan Ukraine.
Memulakan penggambaran mereka pada bulan Mac lalu, pasukan itu telah melaksanakan pra produksi sejak bulan Oktober tahun lalu. Proses penggambaran mengambil masa selama 31 hari.
Antara cabaran yang dihadapi oleh kumpulan ini adalah berhadapan dengan cuaca sejuk sewaktu musim salji dan karenah birokrasi.
“Kita dah biasa dengan cuaca di sini apabila terpaksa bekerja dalam suasana yang berbeza pastinya sukar. Lebih-lebih lagi di sana sedang musim salji. Masalah bahasa juga memang sesuatu yang benar-benar menduga kami,” tambah Mazlin lagi.
“Paling menyulitkan apabila mereka di sana terlalu mengikut buku. Setiap perlakuan kami akan diperhatikan sehingga sewaktu penggambaran untuk mendapatkan shot yang menarik kami telah dihalang oleh pihak berkuasa negara tersebut kerana menggunakan kamera yang besar. Namun semua itu dapat diatasi setelah kami menukar ke kamera yang lebih kecil,” ujar Mazlin panjang lebar.
Jejak Rasul 17 akan mula ditayangkan pada 1 Ogos depan pukul 6.30 petang selama 30 minit setiap hari di saluran TV3.
0 ulasan:
Catat Ulasan