Penganjuran konsert yang akan melibatkan beberapa artis ternama tanah air adalah percaturan terbaru stesen televisyen milik Media Prima itu bagi mempelbagaikan lagi variasi rancangan terbitan mereka.
Biarpun baru pertama kali diadakan stesen yang menggunakan tagline Di hatiku itu yakin dapat menarik lebih ramai penonton terutamanya golongan remaja.
Sedar akan kepentingan bahawa golongan remaja perlu didekati, konsert dua hari itu bakal direalisasikan istimewa untuk golongan berkenaan.
Konsert itu akan membariskan artis-artis seperti Awan Band, The Azenders, Projek Pistol, Pesawat, Drama Band dan Azlan and The Typewriter. Mereka akan tampil membuat persembahan pada konsert hari pertama (9 Julai) nanti di mana persembahan mereka itu akan dirakamkan untuk siaran. Bagaimana pun, setakat ini masih lagi belum diputuskan bila ianya akan disiarkan di TV9.
Namun apa yang pasti, konsert yang akan bermula pada pukul 5 petang itu akan kita siarankan melalui tiga episod. Bagaimanapun, emuncak Konsert GIG dengan disertai oleh Wings, Aizat, Bunkface, Hujan dan 6ixth pada Ahad ini akan disiarkan secara langsung di TV9 mulai pukul 8.30malam.
Tidak cukup dengan itu, bagi menghangatkan lagi konsert itu nanti, satu pertandingan Battle Of The Band akan diadakan di mana lapan kumpulan akan berentap merebut hadiah utama berupa wang tunai RM8,000.
Pihak TV9 telah membuka penyertaan untuk mereka yang berminat menyertai pertandingan ini sejak awal Mei lalu.Sambutan yang diterima amat menggalakkan di mana lebih daripada 100 penyertaan telah diterima. Namun dari jumlah itu TV9 hanya memilih lapan yang terbaik.
Oleh itu, lapan yang terbaik ini perlu bersaing sesama mereka bagi menunjukkan kehebatan mereka dalam merebut hadiah yang kita tawarkan.
Bagi memeriahkan lagi konsert berkenaan, satu persembahan istimewa telah dirancang untuk konsert 10 Julai ini.
Di mana pada masa itu nanti dua band yang tidak asing lagi dalam industri hiburan tanah air iaitu Hujan dan Bunkface akan di satukan.
Pada persembahan itu nanti, Hujan dan Bunkface akan beraksi secara serentak di atas dua buah pentas yang berasingan yang telah kita reka khas bagi memberikan kelainan pada konsert ini.
Masa itu nanti Hujan dan Bunkface akan membuat persembahan secara bergilir-gilir terlebih dahulu sebelum bersatu membuat persembahan secara serentak.
Konsert GIG diharapkan menjadi platform terbaik untuk mendekati golongan muda.
Update Berita:
GIG TV9, festival indie dan rock terbesar Malaysia, berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung pada hari pertamanya semalam.
Berlangsung di i-City Shah Alam, festival tersebut dihadiri kebanyakkannya dari golongan muda yang mula membanjiri lokasi seawal jam 4petang.
GIG TV9 yang akan berakhir hari ini merupakan karnival yang menggabungkan elemen muzik, aktiviti dan ekspresi anjuran stesen TV9 bersama penaja rasmi Digi.
Menurut Pengurus Besar TV9, Sherina Nordin, “Objektif utama penganjuran karnival ini adalah untuk memberi pendedahan dan platform kepada para remaja untuk mengekspresikan diri melalui muzik dan aktiviti-aktiviti sihat.
"Segala persiapan telah dilaksanakan mengikut perancangan dan kami yakin festival muzik rock terbesar di Malaysia ini akan menggegarkan semua. Sambutan pada hari pertama saja melebihi jangkauan kami dan semestinya kami sangat teruja dengan respon yang diterima. Kami juga menjangkakan lebih ramai lagi yang akan datang hari ini!”
GIG TV9 malam tadi digegarkan dengan sebuah konsert rock bertempat di Pentas Utama i-City. Tampil menarik dan berbeza dengan dua pentas dalam satu masa, konsert GIG TV9 menampilkan persembahan hebat daripada Awi Rafael, Drama Band, The Azenders, Awanband, Projek Pistol, Pesawat dan Azlan & The Typewriter.
Selain konsert, GIG TV9 turut mengadakan Battle of the Bands, pertandingan Guitar Hero, Karaoke Rockstar, artis graffiti, demostrasi basikal fixie serta Indie Flea Market.
Bagi kumpulan Pesawat yang menyampaikan tiga buah lagu, "Excuse Me", "Hitam" dan medley "Mirage" serta "Mesti Mau", mereka mengakui tidak menjangkakan GIG TV9 akan mendapat sambutan hangat pada malam tadi dan memberitahu program seperti ini patut diteruskan lagi pada masa akan datang.
“Kami berbesar hati kerana dapat sama-sama terlibat di GIG TV9 dan Digi. Kami berpuas hati dan seronok dapat main di tempat baru ini. GIG TV9 merupakan satu festival yang patut diperkembangkan lagi pada masa akan datang agar muzik indie di negara kita lebih meriah.”
Bagi mereka yang tidak berpeluang merasai gegaran GIG TV9 semalam, jangan ketinggalan untuk datang ke i-City Shah Alam hari ini untuk sama-sama memeriahkan lagi GIG TV9.
Malam ini, GIG TV9 akan menampilkan konsert rock hebat dari Wings, Hujan, 6ixth Sense, Bunkface dan Aizat. Siaran langsung konsert ini juga boleh diikuti melalui www.tv9.com.my/gig dan menerusi radio rasmi, Hot FM.
0 ulasan:
Catat Ulasan