Tak mudah sebenarnya sutradara wanita handalan ini untuk memujuk seniman yang seorang ini membintangi karya terbarunya, Tahajjud Cinta.

Sebagai seorang yang cukup senior dalam bidang seni, Erma Fatima sudah masak dengan sikap Eman Manan yang terkenal sebagai seorang yang begitu selektif dalam memilih watak dan jalan cerita.

Dalam erti kata lain, jangan mimpi untuk mendapatkan Eman membintangi sesuatu filem mahupun drama seandainya ia tidak menepati piawaian Eman sendiri.

Berpegang kepada prinsip berpantang mati sebelum ajal, Erma mengatur pertemuan demi pertemuan bersama Eman untuk berbincang tentang Tahajjud Cinta.

Jauh di benak Erma, tiada pelakon yang lebih layak daripada Eman untuk membawakan watak Ustaz Shauki walaupun aktor itu mencadangkan beberapa nama kepadanya.

Ini kerana Erma mahukan seorang aktor yang pandai mengaji al-Quran dan demi menjaga kualiti Tahajjud Cinta, Erma mahu mengelakkan daripada menggunakan suara orang lain untuk adegan mengaji.


"Bukan sehari dua untuk mendapatkan jawapan positif Eman. Saya perlu menerangkan secara terperinci tentang kisah Tahajjud Cinta dan watak Ustaz Shauki itu sendiri.

"Setiap apa yang dibentangkan kepadanya itu harus ada jawapan yang kukuh agar dia berasa yakin untuk menerima tawaran itu.

"Akhirnya, doa saya dimakbulkan apabila Eman bersetuju untuk membintangi Tahajjud Cinta," cerita Erma penuh bersungguh sewaktu ditemui di lokasi penggambaran drama tersebut di Hulu Langat, Selangor, baru-baru ini.

Selain Eman, drama terbitan Rumah Karya Cipta itu turut dibintangi pelakon popular lain seperti Fouziah Gous, Remy Ishak, Nur Fazura, Neelofa, Aaron Aziz, Tiz Zaqyah dan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar serta kemunculan istimewa Tan Sri Jins Shamsudin.

Menariknya tentang Tahajjud Cinta apabila ia menggabungkan empat pelakon wanita yang memegang watak isteri-isteri Ustaz Shauki iaitu Erma sebagai Hamani, Ziela Jalil (Qadirah), Melissa Saila (Sharifah) dan Dira Abu Zahar (Umairah).

Bagi pemilik nama penuh Fatimah Rahmad ini lagi, dia benar-benar bersyukur apabila berjaya mendapatkan aktor hebat itu untuk Tahajjud Cinta.

Mana tidaknya. Sebelum ini, Eman dan Erma hanya pernah berlakon bersama menerusi filem Syahadat dan Bintang Malam (1992) serta Puteri (1987).

Namun, kali terakhir mereka digandingkan adalah menerusi filem Femina arahan Aziz M. Osman pada tahun 1994. Kalau dihitung, selepas 17 tahun lamanya, barulah Erma dan Eman disatukan kembali di dalam seluloid.

Tetapi, untuk Tahajjud Cinta, senario itu telah bertukar apabila Erma pula yang mengarahkan Eman dalam drama yang menggabungkan ramai bintang popular itu.

"Memang sudah lama saya mengimpikan Eman untuk berlakon dalam drama arahan saya tetapi ia tidak kesampaian. Lalu, apabila dia berlakon dalam Tahajjud Cinta, ia ibarat mimpi bertukar realiti.

"Apa yang membuatkan saya kagum dengan Eman ialah disiplinnya itu masih kekal sehingga ke hari ini. Tidak pernah sedikit pun berubah selama mana saya mengenalinya.

"Seharusnya pelakon baru mengambil contoh daripada sikap positif Eman itu jika mahu terus kekal lama dalam industri dan berjaya sepertinya. Jujur saya katakan, tidak semua pelakon baru memiliki sikap seperti Eman itu," kata Erma yang memulakan karier sebagai pengarah menerusi filem Jimi Asmara pada tahun 1995.

~ Utusan

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top