Persembahan Pasukan Pancaragam Dunia (WCMSB) 2011 yang bakal berlangsung selama lapan hari, bermula 23 sehingga 31 Julai ini merupakan satu pertandingan pancaragam berpasukan berkelas dunia.

WCMSB merupakan acara tahunan yang bermula sejak tahun 2007 menyaksikan Kuala Lumpur sebagai medan pertarungan 25 pasukan untuk merebut 12 tempat teratas bagi melayakkan diri ke peringkat akhir pada 30 Julai.

Pengurus Besar Present Malaysia Productions Sdn. Bhd., Abdul Rahman Kudri berkata, walaupun WCMSB bukanlah satu acara yang glamor namun ia berprestij dan menghiburkan.

"Saya sedar tidak ramai yang mengetahui tentang WCMSB tetapi sebenarnya di kalangan pelajar sekolah ia adalah satu pertandingan popular dan bertaraf dunia.

"Jika di United Kingdom dan negara Asia Tenggara lain, pertandingan ini disertai oleh golongan profesional dan semi profesional yang boleh bermain alat muzik dan berkawad.

"Sebagai penganjur, saya berhasrat untuk mendedahkan tentang pertandingan pancaragam berpasukan kepada warga kota dan rakyat Malaysia pula.

"Jadi pada tahun 2009, Kuala Lumpur turut membida untuk menjadi tuan rumah WCMSB 2011.



"Kita berjaya mengenepikan Yokohama, Jepun dan Pusan, Korea Selatan yang juga berhasrat untuk menjadi tuan rumah kepada pertandingan tersebut," katanya ketika mengunjungi Utusan Malaysia baru-baru ini.
Beliau berkata, persembahan pancaragam berpasukan yang dipertandingkan adalah suatu yang unik kerana merangkumi tarian, pembawa bendera dan alat muzik.
Ia berbeza dengan pancaragam perbarisan yang hanya memberi persembahan biasa untuk tontonan orang ramai.

"Apabila persembahan pancaragam berpasukan melalui peredaran era baru hari ini, anggota dalam pasukan pancaragam turut bermain alat muzik tradisional seperti gamelan, gendang dan percussion.

"Selain itu, persembahan ini menarik untuk ditonton kerana setiap pasukan yang bertanding, membawa tema masing-masing.

"Tahun lepas, pasukan pancaragam dari Indonesia yang diwakili oleh Jabatan Kastam yang membawa tema Dewa 19 muncul sebagai juara," ujarnya.

Daripada 2,600 peserta yang mengambil bahagian, Malaysia menghantar 10 pasukan, Hong Kong (4), Indonesia (3), Kanda dan Thailand, masing-masing dua pasukan.

Kanada, Republik Czech, China dan Taiwan masing-masing diwakili satu pasukan pancaragam.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top