Khloe Kardashian, Kourtney Kardashian dan Kim Kardashian sangat popular, cantik dan bergaya. Malah, mereka juga usahawan berjaya dengan empayar perniagaan ternama.

Di kaca televisyen, tiga beradik ini - Khloe Kardashian, Kourtney Kardashian dan Kim Kardashian - sering dianggap selebriti diva dan terlalu dimanjakan dengan kemewahan berikutan lahir dalam keluarga sosialit di Amerika Syarikat.


Biarpun muncul dengan program realiti Keeping Up With The Kardashians (KUWTK) yang kini menjengah musim keenam selepas kali pertama diperkenalkan kepada penonton pada 14 Oktober 2007, masih ramai yang merasakan tiga wanita anggun ini sekadar galak berbelanja, tetapi culas bekerja.

"Ketika pertama kali siri realiti ini disiarkan, ramai yang menganggap kami hanya tidur atau membeli-belah sepanjang hari.

"Hakikatnya, kami hanya tidur empat jam sehari kerana terikat dengan bermacam tugasan dan kami amat komited pada kerja," tegas Khloe.

Dia menyifatkan etika kerja mereka banyak dipengaruhi ibu, Kris Kardashian Jenner serta mendiang bapanya, Robert Kardashian.

"Ketika kecil, ibu sentiasa mengejutkan kami seawal jam 8 pagi walaupun ketika itu cuti musim panas dan tidak salah untuk tidur sehingga tengah hari.

"Tapi ibu tetap berkeras dan tegas mengatakan bahawa kami mensia-siakan masa dan terlepas banyak peluang jika bangun lewat. Sebab itulah hingga kini saya enggan habiskan masa dengan tidur walaupun boleh melakukannya.

"Kebanyakan rakan saya tidur sehingga tengah hari dan saya sering merasakan tindakan itu melampau. Ibu sentiasa mengajar kami untuk menepati masa dan dengan cara itu menunjukkan kita menghormati orang lain.

"Walaupun dianggap perkara remeh, isu kecil seperti itulah yang membawa kepada perubahan besar. Ia membuatkan kami menjadi ahli perniagaan yang lebih baik. Ada beberapa prospek rakan niaga yang ingin berbincang dengan saya, tapi mereka tiba lewat 10 minit dan saya terus menolak untuk bekerjasama dengan mereka.

"Bagi saya, jika mereka lewat 10 minit itu bermakna mereka juga mungkin lewat menyelesaikan urusan kerja dan pembayaran," ujarnya.

Selain sibuk menguruskan butik fesyen D-A-S-H, di California, Florida dan New York, tiga beradik ini turut menjadi duta pelbagai produk serta aktif dalam arena peragaan.

Kourtney, Kim dan Khloe tidak ketinggalan tampil dengan buku autobiografi, Kardashian Konfidential pada 2010 dan kini giat menyiapkan naskhah kedua yang menjurus kepada genre fiksyen serta membabitkan penyertaan peminat mereka.

"Kami sebenarnya tertarik untuk menulis novel. Kami bertiga dalam proses menyiapkannya dan peminat juga membantu dalam memberikan tajuk novel ini.

"Ia fiksyen, tetapi ia adalah kisah yang diambil daripada pengalaman hidup sebenar yang kami lalui," kata Kourtney.

Tambah Khloe, mereka bebas mencipta watak dan jalan cerita yang keterlaluan memandangkan ia bahan bacaan ringan dengan suntikan elemen keseronokan.

"Ia akan menjadi cerita yang dibesar-besarkan! Kami sememangnya seronok menyiapkan Konfidential Kardashian dan ia adalah satu proses yang baik untuk terus kerjasama dan melakukan sesuatu seperti itu.

"Sebelum ini, kami tidak pernah mengalami sesuatu seperti mana proses penghasilan Konfidential Kardashian dan kami suka mengharungi semula proses ini. Kami suka bekerja bersama-sama.

"Kami boleh mencipta senario yang lucu dan mungkin tidak masuk akal. Ia saat menyeronokkan bagi kami, tambahan ia turut membabitkan peminat. Ia juga satu cara untuk kami menjadi lebih kreatif sebagai satu komponen adik-beradik," katanya.

Mengulas mengenai musim keenam KUWTK ini, Kourtney dan Khloe menyifatkan ia banyak tertumpu kepada kisah cinta Kim bersama bintang bola keranjang bagi pasukan New Jersey Nets, Kris Humphries.

Ia turut memaparkan konflik kehidupan Kourtney bersama teman lelakinya, Scott Disick serta anak lelaki mereka, Mason Dash Disick yang bakal berusia dua tahun pada Disember ini.

"Mungkin ada majlis perkahwinan berlangsung di akhir siri ini. Ia akan dimulakan dengan berita pertunangan besar-besaran Kim.

"Tapi kami belum berbincang sepenuhnya dengan Kim mengenai majlis perkahwinannya, lagipun mereka baru saja bertunang.

"Tapi Humpries hanya muncul di beberapa babak menjelang tamat siri ini kerana dia menetap di New Jersey dan ketika itulah peminat dapat menonton apa yang berlaku di sebalik kisah pertunangan mereka," kata Kourtney.

Keeping Up With The Kardashian musim keenam kini bersiaran di saluran E! Entertainment (Astro 712) setiap Selasa jam 10.40 malam.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top