Tidak hanya bersandar pakej wajah semata-mata, The Perfect Gentleman (TPG) yang ditayangkan bermula 17 Julai lalu juga mahu mencari lelaki yang dianggap hampir sempurna dengan memiliki segala macam kriteria yang mampu mencairkan hati wanita.
Program realiti yang muncul setiap Ahad, jam 6 petang itu membariskan 16 calon terakhir untuk dinilai selepas hampir 500 orang datang mencuba nasib di empat lokasi uji bakat berbeza.
Pengurus Kumpulan Penjenamaan ntv7, Lai Cheah Yee, berkata antara yang dipaparkan dalam TPG adalah pelbagai ujian menarik.
TPG turut memaparkan elemen realistik dalam mencari seorang juara kelak.
"TPG bukan sekadar program realiti TV baru yang mengangkat konsep kandungan segar, malah keseluruhan ideanya begitu menarik dengan suntikan pelbagai drama bagi menguji kekuatan semua peserta.
"Semua 16 peserta akhir ini dipilih berdasarkan latar belakang, personaliti dan profil yang berbeza. Tujuannya adalah bagi memberi warna kepada keseluruhan program serta ruang bagi setiap peserta menonjolkan kelebihan masing-masing. Tidak hanya bersandar pada wajah semata-mata, kami juga inginkan seorang lelaki yang lengkap dengan kriteria menarik dan kebolehan lain termasuk menyanyi, memasak, menari, berlakon, bersukan dan apa saja skil terpendam.
"Semua peserta yang bertanding itu perlu meyakinkan juri bahawa mereka ada semua kriteria yang dicari-cari. Setiap minggu mereka akan berdepan dengan pelbagai ujian yang akan ditetapkan. Kebijaksanaan mereka sangat penting bagi mempengaruhi juri yang mengadili aksi mereka setiap minggu.
"Mungkin TPG akan membuka lebih banyak peluang kepada golongan lelaki di luar sana untuk berani tampil ke depan dan menonjolkan bakat serta kelebihan masing-masing," katanya yang ditemui pada pengumuman 16 finalis program itu di Hotel Parkroyal, baru-baru ini.
Jelas Cheah Yee, memandangkan TPG dijadikan platform mencari calon lelaki yang hampir sempurna, tugasan mingguan buat peserta juga bakal dilengkapi ujian komunikasi.
Ini penting bagi menilai kemahiran mereka berkomunikasi dan bersosial dengan masyarakat.
Setiap minggu, seorang peserta yang mendapat markah terendah akan disingkirkan oleh juri yang dipilih mengikut kepakaran masing-masing dalam bidang-bidang berkaitan.
"Pada setiap minggu, semua peserta akan diberikan tugasan mingguan. Mereka perlu melakukan tugasan itu sebaik mungkin dan meyakinkan juri bahawa mereka tidak patut keluar," katanya.
Mereka yang bakal bersaing ialah Anson, 21, (Selangor); Chris, 21, (Kuala Lumpur); Wilson, 21, (Johor); Vicca, 20, (Kedah); Shyang Wen, 18, (Kuala Lumpur); Ivan, 28, (Selangor); Dennis, 41, (Johor); Jake, 24, (Johor); John, 19, (Sabah); Ming Yang, 20, (Sarawak); Ryan, 21 (Melaka); Joel, 30, (Selangor); William, 27, (Johor); Fung, 21, (Selangor), Kong Jie, 21, (Sarawak) dan Gir Shen, 21, (Kuala Lumpur).
Daripada 16 peserta ini, hanya enam saja finalis akan mara ke peringkat akhir TPG pada 9 Oktober depan. Pemenang TPG akan membawa hadiah dan wang tunai sebanyak RM200,000 selain berpeluang untuk menceburi bidang lakonan dan pengacaraan selaku personaliti ntv7.
Program yang dihoskan oleh pengacara Hoong Jia Hui ini akan muncul sebanyak 13 minggu. Ia ke udara pada setiap Ahad, jam 6 petang. Gelagat
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi TPG di www.ntv7.com.my/theperfectgentlemen atau facebook ntv7.perfectgentlemen.
0 ulasan:
Catat Ulasan