Program realiti popular, Showdown 2011 sudah tiba ke penghujungnya apabila acara kemuncaknya akan berlangsung malam ini.

Bertempat di Ruang Terbuka, i-City, Shah Alam, Selangor, peminat setia program yang mula diperkenalkan tahun lalu akan menjadi saksi untuk melihat sebuah lagu kumpulan tarian dinobatkan sebagai juara.


Sekadar menyegarkan kembali ingatan, kumpulan Wakaka Crew telah dijulang sebagai juara sulung Showdown tahun lalu dengan menewaskan dua kumpulan lain untuk memenangi hadiah utama bernilai RM50,000.

Kejayaan itu berjaya meletakkan mereka sebagai kumpulan tarian yang semakin mendapat perhatian dan sering muncul mengiringi persembahan artis-artis popular serta majlis hiburan.

Lalu, siapakah di antara empat kumpulan yang berjaya ke peringkat akhir tahun ini yang akan mengulangi kejayaan serupa seperti Wakaka Crew.

Mereka yang berjaya mara ke pentas akhir Showdown 2011 adalah Bounce Stepperz, Elecoldxhot, HMC Phlow dan Rokusteps yang mana kesemuanya mempunyai kelebihan masing-masing.

Sekadar memberikan kejutan, Showdown 2011 mempertaruhkan empat kumpulan di peringkat akhir berbanding hanya tiga sahaja pada tahun lalu.

Semuanya adalah untuk memberikan lebih persaingan di kalangan empat kumpulan tersebut dalam memberikan persembahan yang menarik.

Salah seorang juri tetap Showdown 2011, Joe Flizzow menjelaskan dia cukup berpuas hati dengan persembahan keempat-empat kumpulan pada peringkat separuh akhir minggu lalu.

Atas alasan itu, kata Joe, mereka memang layak untuk berada di pentas akhir kerana versatiliti dan kemampuan mereka memberikan persembahan bertenaga sepanjang Showdown 2011 berlangsung sejak 3 Mei lalu.

"Bukan hanya mahu memuji tinggi melangit tetapi saya sifatkan empat kumpulan ini memiliki kualiti sebuah kumpulan tarian atau kru yang dicari untuk meletakkan mereka di tahap sepatutnya.

"Apa yang boleh saya katakan ialah pentas akhir yang berlangsung malam ini pastinya akan menyaksikan persaingan sengit di antara mereka.

"Tugas kami sebagai juri sudah selesai untuk meletakkan mereka di kedudukan yang selayaknya untuk mereka. Sekarang ini giliran empat kumpulan ini untuk memberikan sesuatu yang luar biasa dalam memancing undian peminat," ujar Joe penuh optimis sewaktu dihubungi Hits, baru-baru ini.

Selain Joe, tugas juri tetap Showdown 2011 turut digalas oleh penari dan koreografer terkenal, Maple Loo.

Ketika ditanya kepada salah seorang pengasas kumpulan Too Phat itu tentang calon pilihannya untuk menjuarai Showdown tahun ini, Joe lebih selesa memberikan jawapan selamat.

Katanya, masing-masing mempunyai peluang sama cerah memandangkan keempat-empat kru yang bertanding memiliki kelebihan dan keistimewaan tersendiri.

Rockusteps misalnya, berupaya memberikan persembahan yang versatil dan membuktikan mereka mampu menari dalam pelbagai rentak selain mempertaruhkan identiti b-boying yakni konsep asal tarian akrobatik hip hop yang lebih dikenali sebagai breakdance.

Begitu juga dengan Bounce Stepperz yang mengagumkan ramai pihak apabila menampilkan elemen tradisional dalam tarian mereka.

"Elecoldxhot dan HMC Phlow juga mempamerkan kekuatan tersendiri di mana mereka boleh menari dalam pelbagai rentak seperti K-Pop dan konsep tarian seperti mana yang kita tonton di MTV.

"Memang sukar untuk meramalkan siapakah yang akan bergelar juara tahun ini. Menang atau kalah bukan perkara pokok tetapi matlamat setiap peserta yang menyertai Showdown 2011 untuk mengangkat tarian jalanan ini ke peringkat lebih tinggi," kata Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak penuh bersungguh.

Mengulas tentang program realiti yang dicetuskan oleh stesen televisyen 8TV itu, Joe menjelaskan Showdown telah membuka mata ramai pihak terutama generasi baru terhadap tarian jalanan ini.

Jika dulu tarian ini seperti tidak diendahkan, tetapi kini semuanya berubah dan ia telah membuktikan bahawa tarian jalanan ini berupaya membuka lembaran baru untuk industri hiburan.

"Dengan adanya program seperti Showdown ini, ia bukan hanya memberi peluang kepada anak-anak muda untuk menonjolkan bakat masing-masing.

"Tetapi, ia juga memberi peluang kepada mereka untuk melebarkan sayap seni mereka dalam cabang seni lain seperti terlibat dalam pementasan teater muzikal.

"Setidak-tidaknya, bakat-bakat baru ini mendapat peluang dalam bidang seni untuk mengukuhkan kedudukan masing-masing," ujarnya yang pernah muncul dengan album solo pertamanya berjudul President pada tahun 2008.

Dalam masa yang sama, sebagai seorang yang cukup berpengalaman dalam bidang seni, Joe sempat menitipkan pesanan buat bakat baru ini yang mahu meneruskan perjuangan mereka dalam bidang tarian.

Kata Joe, perkara pokok untuk menjadi seorang yang terkenal adalah dengan memiliki disiplin yang tinggi kerana tarian bukanlah sesuatu yang harus dipandang enteng.

"Tahap kesihatan perlu berada dalam tahap terbaik. Mereka perlu menjaga pemakanan dan menjalani rejim senaman kerana stamina amat penting setiap kali membuat persembahan.

"Bukan itu sahaja, mereka juga perlu menjauhkan diri daripada rokok dan alkohol kerana dua perkara ini merupakan 'musuh' ketat untuk mana-mana penari," katanya panjang lebar.

Melihat kepada populariti dan kejayaan Showdown untuk dua musim, Joe percaya rancangan itu mampu bertahan lama. Malah, penyanyi dan komposer itu juga mahu melihat 8TV meneruskan apa yang telah mereka lakukan menerusi Showdown.

Katanya, menerusi Showdown, dapat dilihat dengan jelas kreativiti setiap peserta mencorakkan persembahan masing-masing.

"Pernahkah kita terfikir lagu tradisional dan lagu seperti Meet Uncle Hussain dijadikan lagu latar untuk persembahan peserta? Jadi, di sinilah terletaknya kehebatan Showdown yang berjaya mencungkil kreativiti bakat-bakat muda ini," jelas Joe yang berusia 32 tahun itu lagi.

Bagi peminat Showdown dan tarian jalanan, pastikan anda tidak ketinggalan untuk menonton rancangan ini yang disiarkan secara langsung menerusi 8TV (saluran 708, Astro) pukul 9.30 malam.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top