Rangkaian lagu seperti, Ku Bukan Aku, Diam Diam dan Jangan Jangan Cuba berjaya menaikkan, nama Tilu sebagai salah sebuah kumpulan indie yang berjaya.

Membawa nama Tilu yang bermaksud tiga dalam bahasa Sunda, mereka menampilkan kelainan apabila membawa irama Jazz yang asing dalam kalangan pendengar.

Bukan setakat itu, Tilu juga mewarnai hasil karya mereka dengan bunyian alat muzik seperti saksofon dan trompet sebagai identiti membezakan mereka dengan lambakan kumpulan lain.


Kumpulan dianggotai lapan anak muda iaitu Puja (bass), Johar Lucas (drum), Bajai (keyboard), Deo Karmawan (gitar), Mira (vokalis), Fareed Aziz (trompet), Adili (trambon) dan Jeffny Kamar (saksofon) ini mempunyai sebab tersendiri di sebalik keberanian mereka memperjuangkan genre itu.

Menurut Mira, niat mereka adalah untuk membawa muzik Jazz ke era baru dengan menampilkan lagu-lagu Melayu seperti yang telah dilakukan Ratu Jazz, Datuk Sheila Majid.

“Pada asalnya, kami hanya bergerak secara indie sebelum membuat keputusan melebarkan pengaruh di aliran ‘mainstream’.

“Tujuannya adalah supaya muzik Jazz dapat disebarkan dengan lebih meluas dalam kalangan pendengar memandangkan irama ini masih dianggap baru,” katanya kepada Zass.

Usaha mereka menunjukkan hasil apabila lagu-lagu yang dipetik dari album pertama Tilu berjaya mendapat tempat dalam kalangan pendengar.

Dalam keindahan diulit pujian, sebenarnya Tilu lebih senang seandainya dikenali sebagai kumpulan serba boleh yang mampu membawa pelbagai genre lain.

“Kami berasa bangga apabila peminat melabelkan Tilu sebagai pejuang muda irama Jazz, namun gelaran itu tidak mengehadkan keupayaan kami.

“Selain Jazz, kami sebenarnya turut menampilkan irama lain seperti pop, R&B dan dangdut dalam lagu-lagu kami,” katanya.

Berbekalkan sambutan peminat, Tilu semakin yakin mengorak langkah dan tidak menunggu lama untuk tampil dengan buah tangan terbaru mereka.

Mira berkata, mereka berlapan kini sedang dalam proses menyiapkan album kedua yang dijangka berada di pasaran akhir tahun ini.

“Kami mempunyai puluhan lagu dalam simpanan yang kebanyakannya dicipta oleh Puja dan sedang berbincang untuk memilih lagu sesuai.

“Kami juga akan membuat latihan dengan lagu yang dipilih bagi mendapatkan ‘feel’ sebelum menjalani rakaman,” katanya.

Menurutnya, album yang masih belum mempunyai judul ini diterbitkan sepenuhnya oleh syarikat mereka iaitu Tilu Production.

Ketika ditebak tentang kelainan dibawa Tilu berbanding album pertama, Mira berkata, mereka akan mempelbagaikan genre sebagai variasi kepada pendengar.

“Kami mahu tampil dengan kelainan setiap kali muncul degan buah tangan terbaru kerana tidak mahu peminat bosan.

“Mungkin untuk album kedua ini kami akan mencuba irama baru yang belum pernah dimainkan Tilu seperti reggae misalnya,’ katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top