Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengetepikan hukuman penjara dua bulan terhadap vokalis kumpulan Spring, Ameng (gambar) atas tuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya selepas mendapati hukuman tersebut merupakan satu kesilapan.

Ini kerana menurut Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah, Mahkamah Majistret di sini yang memutuskan demikian pada 1 November tahun lalu sepatutnya memilih sama ada menjatuhkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 ataupun penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Namun, ujar beliau, majistret yang mendengar perbicaraan telah terkhilaf dalam mentafsir Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 apabila mengenakan hukuman penjara dua bulan dan denda RM4,000 terhadap Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 43.

Sehubungan itu, rayuan Ameng untuk mengetepikan sabitan atas pertuduhan tersebut, ditolak oleh mahkamah.

''Bagaimanapun hukuman penjara (kamu) diketepikan dan denda dikekalkan,'' kata Hakim Mohamad Zabidin.

Namun begitu ia bukan 'pembebasan mutlak' bagi Ameng yang kini ditahan di Kompleks Penjara Kluang Johor memandangkan dia masih perlu menjalani hukuman penjara lapan tahun dan sebatan 10 kali yang dijatuhkan terhadapnya.

Dia selaku perayu tiba di mahkamah kira-kira pukul 9.30 pagi dengan memakai baju seragam penjara berwarna merah sambil dikawal oleh tiga orang warden bertugas.

Ameng dilihat terus memeluk dan mencium anak lelakinya yang berusia tiga tahun yang hadir bersama isterinya, Sabariah Zakariah, 41.

Ameng yang terkenal dengan lagu Sampai Hati dan Bougenvilla itu didakwa melakukan kesalahan tersebut ketika ditahan di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini pada pukul 3.45 pagi, 2 April 2010.

Selain hukuman penjara dan denda, Majistret Zaki Asyraf Zubir yang mendengar perbicaraan kes itu turut meletakkan Ameng di bawah pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selama tiga tahun, selain penjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Pelaksanaan hukuman tersebut bagaimanapun ditangguhkan kerana Ameng ketika itu mahu mengemukakan rayuan.


Tiga bulan selepas itu iaitu pada 1 Februari lalu , Ameng dan isterinya ditahan setelah polis menemui 122 gram ganja dan sejumlah syabu ketika menginap di sebuah hotel bajet di Taman Melaka Raya, Melaka.

Pada 12 April lalu Mahkamah Sesyen Melaka menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan sebatan 10 kali setelah Ameng mengaku bersalah atas dua pertuduhan pindaan memiliki dadah dan satu pertuduhan memasukkan syabu ke dalam badannya sementara Sabariah pula dibebaskan.

Ameng diwakili peguam Kamarul Zaman Abdul Rahman manakala pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Mohd. Salleh.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top