Eira Syazira atau nama sebenarnya Syazira Shuhaimi yakin dengan sambutan yang bakal diberikan terhadap album sulungnya itu.

Menjadikan penghibur ternama negara, Datuk Sheila Majid sebagai idolanya, Eira tidak mahu ambil pusing dengan kata-kata masyarakat yang cuba memperlekehkan bakat nyanyiannya.

"Bagi saya, kita tidak perlu takut dalam mencuba sesuatu yang kita yakin mampu untuk lakukan. Setiap peluang yang datang kepada kita, tidak harus dibiarkan berlalu pergi begitu sahaja.

"Untuk itu, saya amat bersyukur dengan peluang yang diberikan dan berjanji akan mencuba sebaik mungkin," ujarnya anak kelahiran Kuala Lumpur ini penuh semangat.

Menyedari untuk menjadi seorang penyanyi yang baik bukanlah satu proses yang mudah, aktres berusia 27 tahun ini telah menghadiri kelas vokal di bawah bimbingan Siti Hajar Ismail.

Selepas mengikuti beberapa kelas bersama guru vokal ternama itu, barulah Eira sedar bukan mudah untuk menjadi seorang penyanyi.

"Saya perlu menyiapkan diri saya sebaik mungkin untuk menjadi seorang penyanyi. Untuk itu, saya amat menitik beratkan soal latihan vokal dan nyanyian.


"Kalau ada masa terluang dan tidak sibuk dengan lakonan, saya akan menghabiskan masa dengan berlatih menyanyi," ujar pelakon yang mula menempa nama menerusi drama rantaian, Meniti Bara terbitan Skop Productions tidak berapa lama dulu.

Eira yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman FGM itu mempertaruhkan single pertama, Di Hati Ini dalam menarik perhatian pendengar tempatan.

Selain lagu ‘Di Hati Ini’, album ini turut memuatkan lagu ‘Nourel Ain’, ‘Sememangnya’, ‘Sisi Duka’ dan ‘Bukan Mimpi Kesiangan’. Dua buah lagu, iaitu ‘Di Hati Ini’ dan ‘Sisi Duka’ telah menjadi lagu tema untuk drama bersiri Ustaz Amirul yang disiarkan di TV3 baru-baru ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top