Astro tidak pernah gagal menyediakan program terbaik khusus untuk pelanggan setia mereka sepanjang bulan Ramadan.

Bukan hanya program berbentuk ilmiah, Astro juga tidak ketinggalan menayangkan pelbagai program hiburan yang dapat memberikan mesej berguna kepada audiens.

Jika tahun lalu, drama bersiri Geng Surau berjaya mencatatkan rating paling tinggi, namun, untuk Ramadan kali ini, drama Moreh pula menjadi pertaruhan.

Mengenengahkan konsep yang serupa seperti Geng Surau, Astro Oasis (saluran 106) selaku penyiar untuk drama bersiri itu begitu optimis dengan Moreh yang dijangka akan mencatatkan rating serupa.

Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, dia cukup sedar akan permintaan tinggi terhadap Geng Surau sehingga penonton setia drama itu mahukan ia disambung untuk tahun ini.

"Tetapi, sebagai kelainan, kami bercadang untuk tidak menyambung Geng Surau tetapi mengambil konsep yang serupa seperti drama itu untuk ditonjolkan dalam Moreh.

"Jalan cerita Moreh lebih kurang sama dengan Geng Surau dan kami tetap menerapkan nilai-nilai kekeluargaan dalam drama tersebut. Bezanya, hanyalah tajuk dan barisan pelakon sahaja demi tidak mengelirukan penonton.

"Drama seperti ini bagaikan tontonan wajib kepada audiens untuk menghiburkan mereka selepas hampir seharian berpuasa," jelasnya sewaktu sidang akhbar pelancaran program Astro sepanjang Ramadan di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani; Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi; Pengurus Saluran Astro Ceria, Evon Koh dan Pengurus Pemerolehan Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli.

Tambah Izelan lagi, walaupun ia sebuah drama yang memberikan hiburan kepada audiens, namun, Moreh tetap menerapkan nilai kekeluargaan serta mampu memberikan mesej positif kepada audiens.

Secara ringkasnya, Moreh meneruskan kesinambungan drama Geng Surau dengan menampilkan watak Pak Abu yang kini sudah berpindah dari kampung ke pangsapuri baru di bandar.

Bersama-sama isteri dan anaknya, Duan, Pak Abu mendapati tradisi moreh yang sering diadakan pada bulan Ramadan tidak diamalkan oleh penduduk di kawasan itu.

Lalu, Pak Abu bersama-sama kenalan barunya, Tok Siak, Tok Imam dan Ustaz Steady, cuba meneruskan kembali aktiviti moreh di surau berdekatan.

Bukan hanya program berbentuk drama, Izelan dengan bangganya memberitahu Astro Oasis juga akan menyiarkan dua buah dokumentari menarik iaitu Salam Ramadan China dan Salam Ramadan Turki.

"Dua dokumentari ini akan membawa penonton untuk melihat sendiri aktiviti penduduk dua negara tersebut sepanjang bulan Ramadan.

"Kami juga berasa amat bertuah kerana masih lagi dapat berkongsi keseronokan beribadat di sepanjang Ramadan kelak dengan menayangkan siaran langsung solat sunat Tarawih secara langsung dari Masjidil Haram, Mekah selain Tadarus al-Quran serta tazkirah Ramadan menjelang waktu berbuka puasa," ujar Izelan lagi.

Kandungan mantap

Tidak ketinggalan memeriahkan bulan Ramadan tahun ini adalah Astro Prima (saluran 105) yang juga menayangkan dua buah drama bersiri dan empat telemovie yang tidak kurang hebatnya.

Drama bersiri yang menjadi pertaruhan saluran itu ialah Geng Mengaji dan Deru Ombak yang merupakan dua genre berbeza.

Sementara itu, genre berat pula dilihat menjadi pilihan Astro Prima menerusi telemovie yang akan ditayangkan sepanjang Ramadan ini iaitu Berselindung Di Sebalik Kaabah, Pintu Sakaratul Maut, Cinta Dari Kaabah dan Pelita Penyuluh Kiblat.

"Kesemua drama bersiri dan telemovie yang akan ditayangkan memiliki kekuatan tersendiri. Apatah lagi didukung oleh barisan pelakon yang popular dan mempunyai nama besar dan sudah tentu penonton akan menanti tayangannya," kata Nizam Sani sewaktu ditanya tentang kandungan program untuk salurannya bagi Ramadan tahun ini.

Selain itu, Astro Ceria juga akan menayangkan siri kartun popular, Upin & Ipin yang mempunyai jalan cerita yang sesuai dengan bulan Ramadan.

Sementara itu, sebuah dokumentari khas, Arena Sukan pasti akan menjadi pilihan peminat sukan apabila ia ditayangkan di Astro Arena (saluran 801) bermula 29 Julai ini.

Dihoskan oleh Datuk Rahim Razali, Arena Sukan menampilkan 13 personaliti sukan negara yang diangkat sebagai wira sukan negara.

Antaranya Adnan Saidin, Zainal Abidin Hassan, Datuk Eddy Choong, Datuk Ghani Minhat, Rosman Alwi, Datuk Malek Noor dan Minarwan Nawawi.

~ Utusan

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top