Tiga anak muda berjiwa besar memperkenalkan diri mereka sebagai Cherita - kumpulan vokal yang menyampaikan pelbagai kisah.

Cherita yang dibarisi Ratno Junaidi Ariffin atau Eddy, 30, Nur Mohd Alieff Ayub (Nomad), 23 dan Muhammad Jamil Shamsudin (Mell), 24, memperkenalkan dua single iaitu Lagu Cinta Kita dan Melodi Kita untuk dinilai.

Berbeza dengan kebanyakan pendatang baru, tiga jejaka ini lebih senang membawakan lagu ceria yang mampu mengundang senyuman pendengar. Cukuplah cerita sedih kerana bagi mereka dunia ini terlalu indah untuk diratapi.

"Tidak dinafikan lagu mendayu dan sedih lebih mudah mendapat tempat di hati pendengar tetapi kami memilih untuk tampil berbeza dengan membawakan lagu yang boleh menimbulkan suasana riang dan buat orang tersenyum mendengarnya.

"Single Cinta Kita dan Melodi Kita dihasilkan oleh saya manakala liriknya pula oleh Eddy. Diharap pendengar terhibur dengan dua karya ini dan kami akan terus menghasilkan lagu-lagu untuk menceriakan hati pencinta muzik tempatan," kata Nomad.

Menyingkap penubuhan Cherita tiga tahun lalu, ia bermula apabila Eddy dan Mell yang ketika itu bertugas sebagai jurubunyi sering menggantikan artis untuk sesi latihan. Berikutan saranan beberapa penggiat seni yang menyedari bakat terpendam dua jejaka ini, mereka disarankan supaya mencuba nasib sebagai penyanyi.

Pertemuan dengan komposer Dakmie membuka laluan merealisasikan cadangan itu, bagaimanapun mereka dibekukan selama setahun bagi mencari hala tuju muzik dan konsep secocok.

"Pada 2009 kami kenal Nomad dan mengundangnya menyertai Cherita. Dia menunjukkan beberapa karyanya dan kami yakin boleh pergi jauh tetapi terpaksa melepaskannya seketika untuk memberi laluan kepadanya menyertai program Keynote.

"Segala pengalaman dalam program itu menjadi pendedahan awal kepada Nomad dan secara tidak langsung membantu kami mengemudi Cherita. Berkat bimbingan Dakmie dan Alfa Booty, kami berjaya menubuhkan Cherita Productions and Services di mana produksi ini bukan saya bertanggungjawab menerbitkan lagu Cherita tetapi merancang beberapa cabang bisnes muzik.


"Setakat ini kami menyediakan perkhidmatan sistem bunyi dan cahaya," kata Eddy.

Tambah Mell, uniknya Cherita selain membawakan lagu berunsur ceria, orang ramai akan disajikan dengan kepelbagaian serta susunan muzik yang segar. Bahkan, kewujudan Cherita juga secara tidak langsung merangsang pertambahan kumpulan vokal yang pernah menjadi kegilaan pada awal 90-an.

"Kumpulan vokal hanya boleh dibilang dengan jari sedangkan dulu kita ada banyak dan ianya menjadi kegilaan ramai. Bagaimanapun yang bertahan hingga ke hari ini hanyalah KRU dan kebelakangan ini ada beberapa kumpulan kembali bergabung dan melakukan kemunculan semula.

"Diharap kehadiran kami dapat merancakkan kembali trend yang satu ketika dulu pernah menjadi fenomena," katanya sambil memaklumkan perkembangan Cherita boleh diikuti menerusi facebook.com/kumpulancherita.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top