Raja Farah Aziz memilih untuk menutup aurat dengan bertudung. Pelakon dan model berusia 23 tahun kini aktif dengan menerima tawaran Suhan Movies Production membintangi telefilem penghargaan untuk Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Pelamin Di Pusara.

Kata Raja Farah, ia penghijrahan kekal yang sudah menjadi nawaitu sebelum mendirikan rumah tangga lagi.

"Baru dua bulan saya bertudung, malah ini telefilem pertama saya tampil bertudung. Sebelum ini pun kalau keluar saya memakai selendang. Mungkin kerana beberapa bulan menumpukan perhatian kepada rumah tangga, ramai tidak perasan perubahan saya.

"Suami dan keluarga antara insan yang memberi sokongan padu sebaik saya menyuarakan hasrat mahu berubah. Alhamdulillah, hati saya dibukakan-Nya lebih awal untuk berubah," katanya

Mengenakan blaus yang dipadankan dengan jeans, sebagai pelengkap tudung rona merah jambu lembut menjadi pilihan aktres muda yang diamanahkan membawakan watak gadis kampung bernama Maisarah.

Akuinya lagi, walau tampak biasa, peranan yang dibawakan nanti sarat emosi apabila menonjolkan keperitan hati seorang gadis yang baru mengenal cinta apabila kekasih hati sebenarnya tunangan orang.

"Terima kasih kepada Murali dan Suhan Movies yang menaruh kepercayaan terhadap kemampuan saya. Bukan cerewet, tetapi sebaik membaca skripnya, saya terus bersetuju untuk digandingkan dengan Shahz Jazsle untuk telefilem ini.

"Sebaik bergelar isteri, saya mengurangkan aktiviti lakonan. Saya juga agak memilih watak dan masa disebabkan komitmen terhadap rumah tangga. Cuma disebabkan watak Maisarah kuat, begitu juga keseluruhan skripPelaminDiPusara, saya menerima tawaran ini," Begitupun, tidak terdetik di hatinya mahu melupakan terus bidang yang sudah diceburi sejak berusia 15 tahun lalu cuma pelakon filem Saloon dan Haq itu mahu memperlahankan aktiviti seni supaya tidak tercicir agenda paling penting dalam hidupnya iaitu keluarga.

Nyata isteri kepada Megat Bashirun Qhuyum Zakaria, punya harapan tersendiri dalam mengatur rentak hidupnya, malah menganggap itulah pengorbanan yang dilakukan demi masa depan keluarga.

Sebagai persediaan, Raja Farah berjinak-jinak pula dengan perniagaan tetapi segala-galanya masih dalam peringkat persediaan namun ia bakal diumumkan dalam tempoh terdekat.

Belum bersedia menghebahkan, tetapi sokongan keluarga mentua yang mempunyai asas dalam bisnes merangsang niatkan mengusahakan perniagaan sendiri.

"Inilah perancangan yang kami fikirkan sebaik mendirikan rumah tangga. Memang tawaran berlakon tetap ada, cuma sudah lumrah setiap pelakon ada pasang surutnya," katanya yang tetap yakin bertudung tidak akan menjejaskan peluang lakonan buatnya.

Tegasnya lagi tatkala diajukan semula dengan peluang aktres bertudung, kata Raja Farah, produser dan penerbit hari ini semakin berfikiran terbuka malah bangga melihat ramai rakan lain yang lebih dulu berhijab tetap rancak mewarnai program TV, selain aktif di layar perak.

"Banyak watak yang memerlukan wanita bertudung. Saya tidak nampak ini semua sebagai halangan berlakon. Cuma pandaipandailah kita memilih watak selain menjaga pergaulan. Saya pasti penonton juga akan terus memberi sokongan jitu," katanya.


0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top