Peminat bukan hanya dikejutkan dengan berita Waheeda berkahwin dengan Akhil, juga tersentak dengan keputusan Waheeda meninggalkan kerjaya sebagai penyanyi kemudian perubahan imej Waheeda yang mengenakan purdah mengikut jejak isteri Rasulullah.
Namun, tidak ada sekelumit pun sesalan yang terbit daripada hatinya apabila memilih jalan sedemikian, malah cahaya yang terpancar daripada matanya sudah cukup menceritakan dia lebih tenang dengan hidup barunya itu.
"Alhamdulillah, perjalanan hidup saya lebih tenang selepas meninggalkan dunia glamor serta lebih takut kepada Allah, apatah lagi selepas mengetahui wanita dilarang melunakkan suara untuk diperdengarkan kepada orang ramai.
"Kini saya menumpukan kerja di belakang tabir iaitu menghasilkan lagu untuk suami saya. Dua lagu yang saya tulis, Subahanak dan Ighfir Zunubi akan dimuatkan dalam albumnya yang bakal dilancarkan bulan ini.
"Saya tidak pernah merindui bidang lakonan atau nyanyian yang pernah menjadi kerjaya saya suatu ketika dulu tetapi saya cukup merindui rakan yang pernah berlakon bersama-sama dengan saya," katanya.
Takutnya pada Allah melebihi segalanya dan anak jati Johor itu berharap filem lakonan dan lagu dendangannya tidak lagi diputarkan apabila dia meninggal dunia nanti kerana tidak mahu diseksa di kubur nanti.
Waheeda juga agak sibuk menjalankan perniagaan jubah secara talian yang padanya hanya suka-suka untuk mengisi masa lapang.
Mengenai cahaya mata, Waheeda reda dengan kurniaan Allah. Tambahan pula dia tidak pernah sunyi kerana telatah dua cahaya mata daripada perkahwinan terdahulu suaminya sudah cukup menghiburkan hatinya.
0 ulasan:
Catat Ulasan