Datuk Siti Nurhaliza meluahkan perancangan untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan muzik.

Naib Canselor UiTM, Datuk Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar menjelaskan, pihaknya sedang berbincang dengan Siti untuk memberi peluang kepada penyanyi itu melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik.

Bagaimanapun, semuanya masih belum dapat disahkan kerana pihaknya perlu menilai terlebih dahulu kelayakan yang dimiliki oleh penyanyi itu.


Mengulas lanjut tentang perkembangan terbaru ini, Siti memberitahu beliau memang teringin untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik memandangkan tidak mempunyai pengetahuan secara teori dalam bidang itu.

“Selama ini, Siti hanya menyanyi daripada hati. Siti memang tidak boleh membaca nota muzik kerana tidak punya pengetahuan itu. Mungkin sudah sampai masanya untuk Siti mempelajari muzik secara teori. Bagaimanapun, urusan pembelajaran ini Siti serahkan kepada pihak UiTM kerana Siti faham mereka harus melihat dahulu kelayakan yang diperlukan untuk Siti sambung belajar.

“Macam yang telah Siti cakapkan tadi, semuanya masih dalam peringkat perbincangan. Jika semuanya berjalan lancar, Siti akan umumkan nanti,” ujar Siti bersemangat.

Sementara itu, suami kepada penyanyi kesayangan ramai ini, Datuk Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K), memberitahu dia tidak mempunyai halangan sekiranya Siti ingin melanjutkan pelajaran.

“Seperti selalu, saya sentiasa memberi sokongan kepada Siti dalam apa jua perkara yang ingin dilakukannya. Kalau dia ingin melanjutkan pelajaran, saya juga tidak punya masalah,” ulas Datuk K ringkas.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top