Memiliki hampir 5 juta pengikut/peminat di Fanpage Upin & Ipin, Tuan Haji Burhanuddin Md Radzi selaku Penerbit Eksekutif teater muzikal itu yakin teater muzikal tersebut akan berjaya apabila dipentaskan di IB walaupun setelah lima tahun siri animasi itu ke udara.
“Memang yang ramai berjumpa kami menyatakan hasrat mereka untuk menerbitkan teater muzikal siri animasi tersebut beberapa tahun lalu. Namun pada waktu itu saya merasakan agak cliché apabila semua benda yang popular mahu dijadikan muzikal. Lebih-lebih lagi saya memang agak cerewet tentang cerita yang ingin dibawa. Saya mahukan sesuatu yang memberikan manafaat kepada penonton terutamanya kanak-kanak,” ujar Burhanuddin mengenai cadangan teater muzikal itu yang diura-ura akan dipentaskan di Indonesia.
Benar, pementasan Upin & Ipin sepatutnya dipentaskan di Indonesia pada bulan Jun lalu, namun malangnya kerana masalah dengan penaja ia tidak jadi dipentaskan. Tambah lagi, Burhanuddin menolak untuk produksi tersebut dipentaskan di sini.
“Saya telah menyaksikan sesi latihan pementasan tersebut. Sayangnya, ia tidak jadi dipentaskan di sana. Namun saya menolak untuk ia dipentaskan di sini kerana ia tidak menepati piawaian saya. Ceritanya lebih sesuai dipentaskan di sana dan bukannya di sini. Jalan ceritanya telah disesuaikan untuk orang sana dan jika di bawa ke sini ada jenakanya yang akan dianggap “bodoh” oleh orang sini,” tambah Burhanuddin yang cukup kecewa dengan pembatalan tersebut.
Mengisahkan kehidupan kembar anak yatim piatu iaitu Upin & Ipin di Kampung Durian Runtuh. Mereka yang tinggal bersama kakak mereka, Kak Ros dan Opah belajar di Tadika Mesra yang turut disertai Jarjit, Mei-Mei, Ehsan, Mail, Fizi dan rakan0rakan yang lain.
Sebagai rakan baik, mereka selalu membaca dan bermain bersama-sama. Setiap kali membaca mereka telah membayangkan isi kandungan di dalam buku tersebut. Justeru, sebagai kanak-kanak mereka sering berimaginasi berada di setiap tempat dan kejadian yang ditulis di dalam buku tersebut.
Ketika mengayuh basikal, mereka membayangkan yang mereka sedang menaiki kapal angkasa dan melalui pengalaman hebat ketika berada di bulan.
Begitu juga apabila hujan turun tanpa henti, Upin dan Ipin telah membuat kapal kertas. Mereka berimaginasi menjadi pahlawan Melayu lama iaitu Hang Tuah yang bertarung dengan lanun di lautan bagi menyelamatkan rakan-rakan mereka. Mereka juga telah bertemu dengan orang asli ketika ekspedisi mencari harta karun dalam hutan tebal.
Pelbagai kejadian aneh yang terpaksa mereka lalui sepanjang pengembaraan tersebut yang menguji kesetiaan persahabatan serta kecerdikan akal mereka.
Justeru, teater ini menggabungkan dunia angkasa lepas, lautan dan belantara serta menampilkan pelbagai kehidupan flora dan fauna yang terdapat di tempat-tempat tersebut.
Upin & Ipin The Musical bakal diarahkan oleh pengarah dan penulis skrip terkenal, Zaifri Husin dan dibantu Datuk Suhaimi Mohd Zain selaku Pengarah Muzik dan A.Airis Kadir sebagai Koreografer.
0 ulasan:
Catat Ulasan