Aidil Zafuan nafi cuai beri nafkah anak

Pemain bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak menafikan dia cuai dan gagal menyediakan nafkah untuk bekas isterinya, Rita Rudaini Mokhtar serta dua anak lelaki mereka.

Selain itu, Aidil, 26, yang kini mewakili pasukan bola sepak Johor Darul Takzim memberitahu dia memperoleh pendapatan RM10,000 sebulan dan tuntutan nafkah anak RM5,392 oleh bekas isterinya itu adalah melampaui keperluan sebenar kanak-kanak itu.

"Saya menanggung kedua-dua ibu bapa. Saya turut mempunyai tanggungan lain, hutang peribadi seperti kereta dan motosikal untuk kegunaan ketika bekerja," katanya.

Aidil selaku defendan berkata demikian pada perbicaraan kes tuntutan nafkah dua anaknya yang difailkan Rita Rudaini di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari.


Rita Rudaini menuntut RM5,392 sebulan untuk nafkah dua anak mereka Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 2, merangkumi perbelanjaan makan minum, pengasuh dan lampin pakai buang.

Dalam keterangan bertulisnya, Aidil berkata, sejak mula tinggal berasingan dengan Rita Rudaini, 37, pada Januari 2012, dia memasukkan wang nafkah untuk anak-anaknya melalui akaun Maybank pelakon itu, justeru menafikan dia gagal memberikan nafkah kepada mereka.

"Saya sudah mengirimkan nafkah untuk anak-anak saya sejak mula tinggal berasingan dengan plaintif.

"Pada awalnya saya ada mengirimkan cek berjumlah RM3,000 yang diposkan secara pos berdaftar di alamat tempat tinggal plaintif di Kota Damansara, Petaling Jaya. Bagaimanapun ia tidak dituntut dan cek dikembalikan, namun selepas mendapat nombor akaun Rita, saya masukkan duit nafkah ke dalam akaunnya," kata Aidil.

Aidil berkata, dia memperuntukkan RM2,000 atau RM3,000 sebulan untuk nafkah plaintif dan anak-anak serta RM4,000 ketika musim perayaan.

"Saya tidak menentukan jumlah nafkah untuk mereka. Jika ada lebih saya akan bagi lebih," katanya.

Dia turut memaklumkan plaintif pernah enggan menerima bayaran nafkah yang dibuatnya melalui cek bertarikh 19 Mac 2012.

Katanya lagi, selain wang, dia membuka akaun Bijak Malaysia dan akaun Tabung Haji.

Selain itu, Aidil berkata, dia juga menyediakan insurans untuk anak-anaknya serta keperluan asas seperti susu dan lampin pakai buang jika berkesempatan berjumpa mereka.

Berhubung tuntutan plaintif berkaitan 18 kotak susu yang didakwa digunakan dua anak lelakinya, Aidil tidak bersetuju tuntutan itu.

"Saya percaya jumlah itu tidak logik kerana anak-anak saya sudah pandai makan dan tidak hanya bergantung kepada susu semata-mata.

"Saya juga percaya jumlah RM792 untuk kos susu di luar keperluan anak-anak saya dan kos itu tidak selari dengan resit dilampirkan plaintif," katanya.

Pada prosiding semalam, Mohamad Aidil Zafuan hadir ke mahkamah ditemani kembarnya, Mohamad Zaquan Adha manakala Rita ditemani rakan-rakannya. ~ HM

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top