Rita Rudaini tuntut nafkah anak RM5,392 

Tuntutan nafkah anak sebanyak RM5,392 yang dirasakan tidak munasabah oleh Aidil serta mendapat kritikan ramai, Rita Rudaini menegaskan, tuntutan tersebut wajar memandangkan ia nafkah untuk dua orang anak.

Pelakon itu berkata, tindakan segelintir pihak yang mempertikaikan tuntutannya itu pula seolah-olah tidak merasai sendiri situasi yang dialaminya untuk menyara kehidupan dua orang anak yang semakin besar.

"Apabila Rayyan dan Rafqa meningkat usia, pastinya belanja untuk mereka akan bertambah. Lagipun apa yang saya tuntut itu adalah hak anak-anak dan dia sebagai bapa perlu menjalankan tanggungjawab.

"Kalau diikutkan saya malas hendak membuat tuntutan ini kerana masih mampu menyara anak-anak saya, tetapi semuanya ini saya lakukan kerana ingin memberikan yang terbaik buat mereka," luahnya seakan-akan tidak berpuas hati.

Rita turut mempertikaikan tindakan Aidil yang beranggapan tuntutan berkenaan tidak munasabah. Ini memandangkan bekas suaminya itu mempunyai pendapatan yang tinggi sebagai pemain bola sepak.

"Apa salahnya dia membayar jumlah tersebut kerana itu semua adalah untuk anak-anaknya sendiri dan rasanya bayaran yang dia berikan kepada peguam lagi tinggi berbanding apa yang saya tuntut. Lebih baik duit yang digunakan membayar peguam diberikan kepada anak sendiri," jelasnya.

Meskipun sudah ditakdirkan tidak lagi menjadi isteri kepada Aidil, ujar Rita, dia tidak pernah menghalang sekiranya bekas suaminya itu mahu berjumpa dengan anak-anak.

Mengakui kali terakhir Aidil berjumpa dengan kedua-dua anaknya itu pada bulan Jun lalu, pelakon berkenaan turut meluahkan rasa kecewa dengan sikap Aidil yang jarang bertanya khabar.

"Mengikut perkiraan saya dalam dua minggu sekali dia akan menghantar pesanan khidmat ringkas bertanyakan khabar anak-anak. Itupun sikapnya seperti tidak bersungguh-sungguh.


"Sebelum ini, memang pernah ada dia memberitahu ingin berjumpa dengan anak dan saya izinkan. Namun begitu, apabila saya suruh datang ke rumah, dia pula yang menolak," ujarnya yang meminta supaya bekas suaminya itu menjadi seorang bapa yang lebih bertanggungjawab.

Menjelaskan Rayyan dan Rafqa lebih rapat dengan dirinya berbanding Aidil, tetapi sebagai wanita dia tidak akan sesekali memutuskan hubungan yang terjalin antara bapa dan anak.

"Saya pernah mengalami situasi yang sama apabila ditinggalkan bapa semasa berusia dua tahun, tetapi saya masih tetap menerima beliau sebagai bapa sewaktu saya berusia 17 tahun.

"Dalam hal ini, saya tidak kisah dan memberikan kebebasan kepada Aidil untuk berjumpa anak-anak, cuma saya meletakkan syarat yang mereka hanya boleh bermalam dengan Aidil ketika masing-masing sudah berusia tujuh tahun memandangkan selama ini mereka membesar bersama saya," jelasnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top