Jaafar Onn Kitchen @ Mantera, Ampang diusaha Jaafar Onn dan sahabat

Kepakaran Jaafar Onn dalam bidang masakan yang diwarisi daripada ibunya memang tidak boleh disangkal. Mengingatkan keenakan masakan asam pedasnya saja sudah mengecurkan air liur.

Lantaran itu apabila dua sahabat lamanya, Syed Abdul Rahman Syed Akil dan Amir Nordin menawarkannya untuk bersama-sama menguruskan medan selera Mantera yang terletak di Ampang, artis versatil itu terus bersetuju.

Sebagai penjenamaan semula, food court itu dinamakan Jaafar Onn Kitchen @ Mantera.

Premis makanan yang terletak di lokasi stategik dikelilingi kawasan perumahan itu dibuka tujuh hari seminggu dari jam 10 pagi hingga 2 pagi menawarkan pelbagai hidangan termasuk masakan Melayu, Barat dan Arab. Terdapat 30 gerai di medan selera itu yang semua hidangannya dipantau Jaafar.


"Setiap gerai mesti menyediakan masakan mengikut selera saya kerana saya mahu setiap menu itu menepati cita rasa pelanggan. Bukan saja dari segi rasa tetapi makanan itu mesti dihidangkan dengan menarik. Perniagaan makanan bukan setakat `boleh makan' saja, tetapi saya mahu pelanggan boleh ingat sampai bila-bila dan datang berulang kali mencari makanan kegemaran mereka di sini.

"Mantera dibuka dua tahun lalu tetapi saya baru menyertai dua rakan saya itu tiga bulan lepas yang mana saya dilantik sebagai Ketua Pegawai Pemasaran. Alhamdulillah, medan selera ini mendapat sambutan amat baik daripada masyarakat sekeliling dan didatangi pelbagai kaum dan rakyat asing yang menetap di kondominium berdekatan.

"Semua makanan di sini menepati selera ramai dan ada yang terus jadi pelanggan tetap. Mereka berpuas hati dengan menu disediakan pada harga amat berpatutan," katanya.

Lebih menarik lagi, kepada mereka yang mahu menikmati masakan Jaafar, mereka boleh membuat tempahan dua tiga hari lebih awal.

"Mereka boleh minta saya masak apa saja seperti asam pedas, ikan terubuk bakar, nasi beriani dan sebagainya, tetapi kena buat tempahan awal supaya saya dapat sediakan bahan-bahannya.

"Ini antara `service' yang kami sediakan di sini dan saya akan melayan sendiri pelanggan yang datang. Jika tiada persembahan nyanyian di tempat lain, saya akan berada di Mantera.

"Ia bukan sekadar nama saya terpampang pada kain rentang medan selera ini tetapi saya perlu selalu ada di sini kerana ada peminat yang mahu berjumpa dengan saya. Ini antara cara saya membalas sokongan orang ramai dan peminat yang selalu datang makan di sini.

"Saya tak mahu hanya menjual nama saja sedangkan saya sendiri tiada di sini dan ia memberi imej yang tidak baik kepada Mantera," katanya.

Menyambut kedatangan Tahun Baru 2014 pada 31 Disember ini, medan selera itu menganjurkan majlis `New Year's Eve @ Mantera' atau dikenali juga sebagai Malam Dermawan.

"Selain persembahan nyanyian oleh saya sendiri, Haiza dan Zarul Umbrella, sebahagian hasil jualan makanan pada malam itu akan disumbangkan kepada Persatuan Taman Dagang Avenue dan juga surau. Datanglah beramai-ramai menyambut tahun baru di Mantera, sambil berhibur boleh beramal," katanya.

Untuk tahun depan, tiga sahabat itu merancang mengadakan Bufet Ramadan dan untuk kemudahan orang ramai, mereka boleh membeli kupon.

Mantera juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan untuk membawa pelancong asing makan di sana.

"Kami yakin orang luar mahu merasai sajian tempatan dan di Mantera ada segalanya," katanya.


0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top