Matic Fest 2012
Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang, menghimpunkan barisan artis popular sempena Matic Fest yang akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini (14 Disember) sehingga 16 Disember.

Persembahan secara percuma bermula jam 8 malam ini dibahagikan kepada tiga hari di mana pada malam ini peminat akan dihiburkan dengan persembahan Pija Mentor dan Zamani Slam yang popular menerusi lagu Gerimis Mengundang, Nur Kasih, Kembali Merindu dan Kembali Terjalin.

Manakala pada malam Sabtu (15 Disember), ratu rock negara, Ella bakal menggegarkan Matic dengan lagu Rama-Rama, Layar Impian dan Standing In The Eyes Of The World. Turut mengadakan persembahan ialah Khai AF yang popular dengan lagu Dambaan Pilu.

Matic Fest adalah acara tahunan yang diadakan di pusat pelancongan itu. Majlis gilang-gemilang ini akan dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Rashidi Hasbullah, esok.

Semua program akan bermula dari jam 10 pagi. Selain persembahan nyanyian, Matic menyediakan pelbagai aktiviti lain supaya pengunjung dalam dan luar negara lebih mengetahui produk pelancongan yang ditawarkan.

Penolong Pengarah Matic, Zuhairi Ibrahim berkata, sempena Matic Fest ini pelbagai aktiviti dirangka dan penyertaannya terbuka secara percuma untuk orang ramai termasuklah pertunjukan silap mata oleh Ejk The Magic dan permainan api.

"Selain persembahan artis, pelbagai permainan rakyat turut diadakan dan setiap penyertaan adalah percuma. Antara permainan yang dipertandingkan adalah treasure hunt, paintball, pertandingan timang bulu tangkis, congkak, lawan tangan dan macam-macam lagi.

"Bagi mereka yang mempunyai kucing yang cantik boleh menyertai pertandingan kucing tercantik dan selain itu pameran kucing serta gerai jualan makanan turut diadakan. Penyertaan terbuka untuk orang ramai. Di mana hadiah hebat menanti setiap pemenang selepas setiap pertandingan," katanya.

Tidak tertumpu kepada persembahan artis semata-mata, pertandingan Battle of The Band juga turut diadakan esok bermula pada jam 10 pagi. Penyertaan adalah terhad dan peluang ini harus direbut secepat mungkin.

Mereka yang berminat untuk berkunjung ke Matic boleh mendapatkan keterangan lanjut menerusi pegawai bertugas iaitu Edil di talian 012-3107351 atau Nadia 019-2502219.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top