Rancangan Uchop selepas diumumkan juara Vokal Bukan Sekadar Rupa 2

"Insya-Allah jika tiada halangan saya akan terus mempromosikan lagu Jujurlah Padanya di samping persiapan album penuh yang akan mengenengahkan konsep rock moden mengikut cara sendiri.

"Saya juga masih aktif dengan kumpulan sendiri dan sentiasa akan bersama-sama mereka, soal tawaran persembahan terpulang pada penganjur jika mereka mahukan saya solo atau pun berkumpulan, saya bersedia pada bila-bila masa," kata Uchop .


Selain itu, Uchop juga menyatakan akan terus menggunakan nama 'Uchop' kerana baginya nama itu cukup memberi makna besar dengan terbuktinya kemenangan yang diraih pada malam itu.

"Bagi saya nama Uchop cukup istimewa dan akan terus mengekalkan nama ini sampai bila-bila. Pastinya peminat akan lebih mengenali nama ini selepas saya menyertai Vokal 2.

"Kehadiran saya dalam bidang seni dengan gaya rock tersendiri sudah cukup untuk membuktikan kemampuan diri tanpa perlu menukar nama yang mungkin kelihatan tidak komersial," kata pemilik nama Mohamad Yusof Ahmad ini.

Malah dia juga berhasrat membawa ahli keluarga bercuti menggunakan wang yang dimenangi.

Uchop mengakui gembira dengan kemenangan yang diraih dan berharap kemunculan single Jujurlah Padanya akan memberi laluan untuknya mencipta nama sebagai seorang penyanyi selepas ini. Menurutnya, walaupun bakal bergerak solo, dia tetap setia bersama kumpulannya, Avitydy.

Teka-teki mengenai juara Vokal musim ke-2 terjawab apabila ia berpihak kepada jejaka berasal dari Kampung Pandan, Kuala Lumpur, yang berusia 28 ini dengan memberikan saingan cukup sengit kepada peserta dari Tamparuli, Sabah, Marllenney Fane JL Paul atau Mar, 25.

Acara yang bersiaran langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam malam Rabu lalu menyaksikan Uchop mengatasi peratusan undian sebanyak 72 peratus mengalahkan Mar yang hanya 59 peratus undian.

Uchop yang membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 berserta trofi dan hadiah iringan mempertaruhkan lagu Dipenjara Janji dan medley bersama lagu Opera Hidup nyanyian asal Awie.

Pertandingan yang mempertaruhkan tiga segmen itu turut mempersembahkan Uchop menyampaikan lagu baru ciptaan Yuzai berjudul Jujurlah Padanya selain pusingan 'battle', Uchop memilih lagu Bujang Senang.

Sementara itu, Mar pula mempertaruhkan lagu Semua Isi Hatimu dan medley lagu Sesuatu Janji manakala lagu baru berjudul Maafkanlah Cinta ciptaan Ajai dan pusingan 'battle', Mar memilih lagu Inggeris iaitu Stand Up For Love.

Penonton turut dihiburkan dengan persembahan daripada Zamani, Saleem, One Nation Emcees dan juri-juri Vokal 2 seperti Ziana Zain, Hattan, Mas Idayu dan Azmeer.

Bagi Mar pula, kemenangan RM30,000 itu akan digunakan untuk memperbaiki rumah keluarga di Sabah manakala selebihnya akan disimpan untuk kegunaan pada masa depan.

"Selepas ini saya akan pulang ke Sabah dan meneruskan rutin harian seperti biasa di sana. Untuk waktu ini rasanya biarlah saya mempromosikan single Maafkanlah Cinta di Sabah dulu, pastinya peminat di sana sedang menantikan kehadiran saya.

"Jujur dikatakan sebenarnya saya tidak terfikir akan bertahan dan terus mara sehingga ke peringkat akhir, justeru perancangan untuk menetap terus di Kuala Lumpur belum ada. Namun jika jemputan nyanyian di sini banyak, mungkin saya akan mempertimbangkan untuk tinggal di Kuala Lumpur saja," katanya.



Publication: HM
Date of publication: Dec 28, 2012


0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top