`Penyangak' popular

Dalam era perfileman Melayu klasik, khususnya sekitar 1950-an dan 60-an, ramai nama besar muncul sebagai bintang filem Melayu. Mereka yang dikenali ramai dan mendapat sanjungan itu bukan saja di kalangan pelakon yang membawa watak utama atau sebagai hero dan heroin, sebaliknya nama mereka terkenal kerana watak antagonis yang dibawa dengan cukup berkesan. Kesan lakonan mereka dalam filem ketika itu bukan saja kepada penonton di pawagam, sebaliknya ada ketikanya mereka dibenci hingga di luar filem, malah ada pelakon dulu yang pernah diludah, dihina dan disindir garagara watak yang mereka lakonkan. Kebanyakan pelakon yang memegang watak `crook' ini terus dikenali disebabkan watak jahat dimainkan mereka terus melekat di hati penonton. Watak penjahat yang dibawa mereka menjadikan pengarah filem ketika itu sering menawarkan watak penyangak disebabkan komitmen dan dedikasi terhadap watak dipegang, apatah lagi produksi ketika itu terutama Malay Film Production (MFP) dan Cathay-Keris, selain Merdeka Studio banyak menerbitkan filem genre heavy drama dan aksi pertarungan.

Dalam setiap filem, bukan saja hero atau heroin memainkan peranan penting menghidupkan jalan cerita, tapi pada masa sama, pelakon yang membawa watak jahat atau penyangak juga ada peranan tersendiri menjadikan jalan cerita penuh warna-warni. Walaupun mereka sering disogok sebagai pelakon pembantu tetapi mereka juga menonjol dan menjadi sebahagian sejarah kehebatan industri filem Melayu era silam. Mari  mengimbau sejenak kehebatan siapa mereka itu.

S Kadarisman

Sebelum menceburi bidang perfileman, S Kadarisman terbabit di pentas bangsawan termasuk kumpulan Grand Noran Opera. Datuk beliau, Hussain Golpan adalah pengasas bangsawan, manakala ibunya adalah primadona bangsawan. Beliau dilahirkan di Kampung Kauman, Jawa, pada 12 Mei 1922. Huruf S pada pangkal namanya ialah `Shahdat' - nama keturunan nenek moyangnya di Jawa. Filem pertama lakonan beliau ialah Perkahwinan Rahsia arahan A R Tompel, terbitan Nusantara Film Productions, di Singapura. Kemudian, di studio sama, beliau berlakon dalam filem Norma, Chinta Murni, Sehati Serasa, Mencari Jodoh, Budi Mulia, Pacar Puteh dan Dian. Kehebatan produksi di Jalan Ampas ketika itu menggamit Kadarisman untuk ke studio berkenaan selepas Nusantara menutup operasinya pada 1953. Bermula di MFP, beliau digandingkan dengan nama-nama besar filem Melayu seperti P Ramlee, Aziz Sattar, Aziz Jaafar, Haji Mahadi, Saadiah dan Roseyatimah. Di studio milik Shaw Brothers itu, Kadarisman mula berlakon dalam filem Sengsara pada 1953 arahan S Ramanathan. Antara filem lakonan beliau yang terkesan ialah Mogok, Masyarakat Pincang, Doktor, Saudagar Minyak Urat, Batu Belah Batu Bertangkup, Raja Laksamana Bentan, Lela Manja, Panji Semerang, Singapura Dilanggar Todak, Batu Durhaka, Norlela, Neraca, Dayang Senandung, Tiga Abdul, Antara Dua Darjat, Ali Baba Bujang Lapok dan Seniman Bujang Lapok. Malah sewaktu di Jalan Ampas, beliau yang mesra dipanggil Pak Kadar dikatakan pernah menjadi pelakon yang menerima gaji paling tinggi pada satu ketika, meskipun tidak pernah diberi watak utama, tetapi kebolehan beliau menjiwai pelbagai watak diberikan menyebabkan beliau sangat `laku' di kalangan pengarah filem MFP. Walaupun terbabit dalam filem komedi, namun watak diberikan selalunya memaparkan sikap seorang penyangak yang sesuai dengan karakter beliau sebagai seorang pelakon hebat. Lakonan beliau sentiasa mempunyai kelainan dari segi watak sama ada watak baik, jahat ataupun lucu. Melonjak ke kerusi pengarahan, beliau sememangnya terkenal dengan sifat tegas tapi penuh kreativiti. Beliau pernah menjadikan Studio Jalan Ampas seperti lautan untuk menjayakan babak dalam filem Anak Buluh Betong (1966), selain permintaan yang bukan-bukan untuk menjayakan penggambaran filem arahan beliau hinggakan untuk filem Sri Andalas (1966) juga beliau sanggup menangguhkan penggambaran kerana kru produksi tidak berjaya memperoleh seekor kijang hidup. Filem lain arahannya di MFP termasuk Lampung Karam (1967) dan Terlibat (1967). Di Studio Merdeka Kuala Lumpur, beliau mula mengarah filem Amok Tok Nading pada 1968, diikuti Pendekar Empat, Tunggal, Kembang Layu, Perintah Seri Paduka, Panca Indera Harimau Berantai. Kudrat, Darma Kesuma, Hutang Darah, Dang lenggang, Pendekar Sakti, Darah Panglima, Terbabas dan Kelana. Selepas filem terakhir arahan beliau, Bujang Tua SS pada 1974, Pak Kadar kembali ke Singapura kerana mengalami gangguan kesihatan kerana menghidap penyakit kencing manis dan jantung. Beliau meninggal dunia pada 17 Februari 1989 dan dikebumikan di Pusara Aman, Singapura.

Salleh Kamil

Dalam sejarah perfileman Melayu, nama Salleh Kamil bolehlah diangkat sebagai penyangak nombor satu atau `bapa crook filem Melayu' kerana watak itu amat sebati dengan beliau. Kekuatan lakonannya juga menyerlah menerusi wajahnya yang dilihat serasi dengan watak antagonis. Dilahirkan pada 24 April 1924 di Singapura, Salleh terlebih dulu bekerja sebagai pemandu kereta di Studio MFP dan filem pertama lakonannya ialah Patah Seribu terbitan 1952. Ketika itu, beliau hanya muncul untuk satu babak saja. Populariti beliau sebagai crook semakin terserlah apabila beraksi bersama P Ramlee dan A Rahim dalam filem Sedarah arahan S Ramanathan pada 1952. Lakonannya terus mendapat pujian ramai apabila berganding lagi dengan P Ramlee dalam filem Panggilan Pulau pada 1954, juga menerusi arahan Ramanathan. Apabila P Ramlee mula menjadi pengarah filem untuk buah tangan pertamanya, Penarik Beca pada 1955, Salleh menjadi pilihan P Ramlee kerana menyedari lakonannya akan membantu memberi impak kepada filem itu. Nyata, watak dibawanya begitu menyerlah, lalu P Ramlee menawarkan sekali lagi Salleh untuk filem Semerah Padi. Watak Buang yang dibawa Salleh dalam filem Sarjan Hassan (1958) meletakkan populariti Salleh di puncak kecemerlangannya sebagai pelakon. Keberanian Salleh membawa watak sisi gelap juga terserlah dalam filem Isi Neraka (1960) arahan Jamil Sulong kerana membawa watak sebagai lelaki yang tidak percaya kepada kebesaran Tuhan, akibatnya lelaki itu mati ditelan bumi. Beliau berani membawa watak berat itu untuk memberi pengajaran kepada penonton sekalipun ada sedikit kontroversi terhadap watak dibawanya. Satu lagi filem yang mengekalkan populariti Salleh ialah Tiga Abdul sebagai Tuan Penasihat yang juga satu-satunya filem komedi lakonan beliau tetapi tampil dengan wajah serius dan mempunyai agenda jahat. Selepas penutupan MFP pada 1967, Salleh hanya berehat dan terus bersara daripada dunia lakonan. Beliau meninggal dunia pada usia 74 tahun kerana sakit tua pada 4 Julai 1998.

Hussein Abu Hassan

"Hei Damak! Kembalikan semula beruk bapa aku!" Dialog itu tentunya menjadi satu kenangan peribadi buat pelakon Hussein Abu Hassan yang juga dialog pertama dituturkan dalam filem Seri Mersing yang mana penampilan beliau sebelum itu adalah sebagai pak pacak. Hussein dilahirkan di Alor Gajah, Melaka dan berhijrah ke Singapura bersama keluarganya. Beliau pernah menyertai pasukan polis Singapura pada 1950-an dan aktif dalam pasukan tinju. Sesudah lebih tujuh tahun menghambakan diri sebagai pelakon, namanya masih tidak mampu untuk menjulang tinggi hinggakan beliau hampir berputus asa dan mencari arah tuju baru sebagai kelasi kapal. Namun, tawaran pengarah, S Kadarisman mengubah segala-galanya apabila ditawarkan watak sebagai Tok Nading dalam filem Amok Tok Nading terbitan 1968. Tuah filem terbabit berjaya mengangkat nama beliau untuk terus menerima tawaran berlakon dan namanya mula menjadi bualan peminat. Hussein memang dikenali sebagai pelakon berkarakter kerana banyak watak dipegangnya adalah sebagai penjahat atau perosak keamanan dalam filem terbitan Studio Merdeka. Peluangnya dalam bidang perfileman terus bercambah kerana turut terbabit dalam beberapa produksi antarabangsa seperti filem Hong Kong, Indonesia dan Australia, malah pernah bekerjasama dengan pengarah Lewis Gilbert yang menjalankan penggambaran filem The Seventh Down di Singapura. Dalam bidang pengarahan, filem pertama arahannya, Bunga Padi Berdaun Lalang, selain turut mengarah filem Gila- Gila Remaja yang menampilkan lakonan anaknya, Faizal Hussein. Hasil perkahwinan dengan pelakon, Mahyon Ismail, mereka dikurniakan tiga anak, yang turut terbabit dalam bidang seni. Hussein meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang di Hospital Kuala Lumpur pada 26 November 2007.

Datuk Mahmud June

Apa saja watak diberikan pasti mampu untuk memberi kesan kepada penonton. Daripada watak lelaki jahat, pemuda cacat, orang tua gatal hinggalah watak seorang nasionalis, mampu dihayatinya. Membawa watak jahat mampu untuk mengundang rasa marah dan meluat kepada penonton, juga watak komedi mampu membuatkan penonton ketawa. Mahmud June atau nama sebenarnya Mahmood Junit Derani berasal dari Kedah. Beliau memiliki karakter dengan pelbagai ekspresi. Jelingan mata, misai taring dan dialog adalah aset penting untuk menunjukkan karakter yang yang ditonjolkan dalam filem lakonannya seperti Sri Mersing, Jalak Lenteng dan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang apatah lagi filem lakonan pertamanya, Orang Lichin sudah diberikan watak penyangak. Watak jahat yang sudah sebati dengannya menyebabkan ramai peminat yang salah anggap hinggakan pernah diludah peminat kerana benci dan sangat marah dengan lakonannya. Membuktikan kehebatan lakonan beliau, tentunya peminat terbayang watak Pak Maun dalam filem Nasib Do Re Mi yang mana beliau dikejar oleh isterinya dalam Pesta Muda Mudi ketika sedang menari. Selain itu lakonan dalam filem Langit Petang sebagai nasionalis Pak Arif yang menyayat hati serta filem Bumiputera, sebagai lelaki tempang yang tangkas bersilat. Kecemerlangan beliau dalam bidang perfileman mendapat pengiktirafan negara, apabila dikurniakan Darjah Datuk Setia Diraja Kedah membawa gelaran Datuk pada 2000, selain gelaran Pelakon Pembantu Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-2 menerusi filem Langit Petang dan Anugerah Seniman 1974. Mahmud dikatakan pernah berkahwin 16 kali dan perkahwinan terakhirnya dengan Maharom Abdul Ghani kekal hingga akhir hayat. Beliau meninggal dunia pada 13 Februari 2002 kerana mengidap penyakit asma dan jangkitan paru-paru.

Sharif Dol

Siapa yang tidak mengenali Sharif Dol - pembawa watak samseng Kampung Dusun dalam filem Seniman Bujang Lapok. Walaupun hanya pelakon pembantu dalam filem arahan P Ramlee itu, tetapi tagline `Samseng Kampung Dusun' itu terus melekat kepada imej Sharif sehingga kini. Shariff membintangi lebih sepuluh filem. Antara filem yang mengangkat nama beliau ialah Lela Manja, Semerah Padi, Jefri Zain, Gerak Kilat, Pendekar Bujang Lapok dan Si Tanggang. Kebanyakan watak dibawanya berupa antagonis seperti samseng dan penjahat. Shariff meninggal dunia dalam usia 53 tahun, pada 27 April 1979 akibat komplikasi pelbagai jenis penyakit dan dikebumikan di Pusara Aman, Singapura.

A Rahim

Aktor A Rahim adalah pasangan pelakon yang sering digandingkan dengan Salleh Kamil untuk watak penyangak. Kesan watak jahat terhadap perfileman Melayu ketika itu menyebabkan beliau pernah mencadangkan supaya diwujudkan anugerah Pelakon Lelaki Terbaik bagi kategori watak jahat dalam Anugerah Seri Angkasa RTM. P Ramlee adalah insan yang bertanggungjawab memperkenalkan imej A Rahim menjadi terkenal dengan watak crook menerusi filem Cinta. Namun, lakonannya tetap berbekas jika kita menonton semula filem lakonannya seperti Hati Iblis, Panggilan Pulau, Mangsa, Iman, Kecewa, Semerah Padi, Masyarakat Pincang, Raja Laksamana Bentan,Isi Neraka, Putera Sangkar maut, Sri Tanjung, Singapura Dilanggar Todak dan Siti Muslihat. A Rahim atau nama sebenarnya Abdul Rahim Abu dilahirkan di Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar, Perak pada 1931 dan beliau meninggal dunia pada 23 April 1993 kerana penyakit jantung. Sepanjang pembabitannya dalam perfileman Melayu, beliau bukan saja membawa watak jahat tapi membuktikan sebagai seorang pelakon yang boleh mempelbagaikan watak. Antaranya lakonan dalam filem Bukit Kepong, Menanti Hari Esok dan Esok Masih Ada. Filem terakhir lakonannya ialah Hati Bukan Kristal (1990). Satu-satunya filem arahan beliau ialah Sesejuk Air Mata Ibu pada 1986 terbitan Amir Film Productions, lakonan Hail Amir, Normala Omar dan Marlia Musa.

Omar Rojik

Antara bidang lakonan dan pengarahan, tentunya Omar Rojik atau nama sebenarnya Omar Ali lebih dikenali sebagai pengarah. Tapi dalam lakonan, watak yang dibawanya sering menjurus sisi gelap sebagai penjahat. Mungkin disebabkan raut wajahnya yang nampak bengis dan susuk tubuhnya yang gempal, ia dilihat sesuai untuk membawa watak sedemikian. Lakonan pertamanya sebagai watak penting ialah dalam filem Manusia pada 1951, bersama Kasma Booty - heroin terkenal ketika itu. Lakonannya menonjol dalam filem Sarjan Hassan apabila membawa watak pegawai tentera Jepun yang garang. Antara filem lain lakonannya seperti Pembalasan, Rayuan Sukma, Panggilan Pulau, Miskin, Arjuna, Matahari, Kipas Hikmat, Anakku Sazali dan Abu Hassan Pencuri. Begitu juga dalam bidang pengarahan, Omar lebih cenderung kepada filem berat antaranya Sumpahan Wanita yang juga filem pertama arahannya pada 1960. Selain itu, sentuhannya boleh dilihat menerusi judul Pertarungan. Panji Semirang, Singapura Dilanggar Todak, A Go Go, Jeritan Batin, Batu Durhaka, Jeritan Batin, Takdir, Dahaga, Lanang Sejagat, Keranda Jingga, Tuah Badan, Kalau Berpaut Di Dahan Rapuh, Durjana, Satria, Anakku Suamiku, Semerah Cindai, Semambu Kuning, Puaka, Anak Setan, Si Buta, Gila-Gila dan Si Luncai. Selepas berakhirnya era kegemilangan perfileman Melayu, Omar masih lagi aktif di belakang tabir sebagai pengarah drama hinggalah ke akhir hayatnya. Beliau menjadi pengarah drama untuk drama swasta pertama yang diperkenal RTM di negara ini menerusi judul Rumah Hantu pada 1984. Dilahirkan di Alor Setar, Kedah, pada 23 November 1925, dan pernah bekerja sebagai juruteknik dan tukang sapu di studio MFP. Beliau meninggal dunia di Klang, Selangor, pada 1998 ketika berusia usia 73 tahun kerana sakit kejang otot.

Omar Suwita

Nama Omar Suwita mungkin kurang menonjol dalam dunia perfileman Melayu klasik jika dibandingkan dengan ramai nama besar lain, tetapi beliau juga sering ditawarkan untuk membawa watak `crook' disebabkan mempunyai raut wajah yang garang dan bersuara lantang hinggakan pembawa watak jahat yang pernah dibandingkan dengan bintang Bollywood, Prem Chopra. Filem pertamanya adalah Ribut dan seterusnya Hati Iblis yang mana kedua-dua filem awal lakonannya tidak diberikan sebarang dialog. Berkat kesungguhan dan bakatnya yang semakin terserlah, beliau semakin mendapat kepercayaan pengarah untuk menjadi pelakon tetap di Shaw Brothers dengan watak penyangak yang juga sangat diminatinya. Antara filem lakonan beliau adalah Sarjan Hassan, Penarik Beca, Semerah Padi, Mogok dan Gerak Kilat. Filem terakhir beliau di MFP ialah Raja Bersiong.

Latif Borgiba

Pelakon ini masih lagi aktif berlakon hingga kini sama ada di layar perak mahupun drama TV. Dari awal kemunculan Latiff atau nama sebenarnya Abdul Latiff TK Gomu Kakah, beliau tidak jemu terhadap watak jahat yang diamanahkan pengarah kepadanya sebagai sumber rezeki. Latiff yang kini berusia 75 tahun masih aktif berlakon drama, telefilem dan filem. Raut wajahnya tetap serius seperti dulu. Ditambah pula dengan janggutnya yang putih dan panjang mencecah paras dada menyebabkan dia tampak garang dan masih sesuai untuk melakonkan watak jahat sama seperti dulu. Pelakon ini berkemahiran tinggi dalam aksi seni persilatan Melayu.

Haji Arshad

Jarang anak seni yang mempunyai pendidikan agama berminat dalam dunia hiburan, tetapi berbeza dengan Haji Arshad atau nama sebenarnya Mohd Douglas Mahuri yang juga antara pelakon yang sering membawa watak jahat dalam filem Melayu klasik. Walaupun hanya diberikan watak pelakon pembantu, tapi pengarah ketika itu seperti Salleh Ghani dan S Roomai Noor berjaya menggilap bakat Haji Arshad untuk watak bomoh dalam filem Bawang Putih Bawang Merah. Lakonan berkesan dalam filem terbabit berjaya menambat hati pengarah S Roomai Noor untuk mengambilnya berlakon dalam Mahsuri. Kesungguhan dan ketabahan mendalami bidang lakonan meletakkan Haji Arshad sebagai pelakon pembantu watak jahat utama di Studio Cathay- Keris ketika itu. Namun, nasib tetap tidak menyebelahinya walaupun berjaya membuktikan kehebatan dalam lakonan dengan hanya diberikan watak pembantu utama kepada pelakon seperti Nordin Ahmad dan Mahmud June. Sepanjang karier, Haji Arshad membintangi lebih 30 filem, antaranya Sri Mersing, Lancang Kuning, Cempaka Biru, Tun Fatimah, Yatim Mustaffa dan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, selain memegang peranan sebagai penolong pengarah untuk filem Kalong Kenangan dan Istana Berdarah.

Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top