Syarat Padu Citra

Bermula tahun depan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan menguatkuasakan semula syarat yang tertakluk pada Padu Citra yang memberi perlindungan hak, kepentingan dan profesionalisme penggiat seni.

Finas juga bersetuju menguatkuasakan peruntukan para 7 Padu Citra dalam mempertimbangkan permohonan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) dan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas individu atau pihak yang gagal mengemukakan SPP.


Pelaksanaan ini turut mendapat kerjasama tiga persatuan termasuk Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Profesional Pekerja Filem Malaysia (Profima) dan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM).

Ibarat rumah sudah siap, pahat masih berbunyi. Penubuhan Majlis Tindakan Bersama (MTB) gabungan tiga persatuan, FDAM, Seniman dan Profima mendapat teguran daripada penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam, apabila ia dikatakan membelakangi Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dan Persatuan Penerbit TV Malaysia (PTVM).

Yusof turut mendesak perbincangan daripada tiga pihak itu bersama PFM dan PTVM sebelum mengambil sesuatu ketetapan kerana dua persatuan itu juga berhak terlibat sebelum pelaksanaan.

Pun begitu, teguran berhemah Yusof mendapat maklum balas positif dan wakil FDAM dengan pantas menjawab isu berbangkit itu menerusi Timbalan Presidennya merangkap Pengerusi MTB, Abdul Rahim Awang.

Menurut Abdul Rahim, mereka tidak berniat membelakangkan peranan persatuan itu, malah perbincangan seterusnya akan diadakan tidak lama lagi.

Kata Abdul Rahim, mungkin kerana kesibukan Yusof menyebabkan beliau terlupa objektif Padu Citra yang dinyatakan dengan jelas dalam naskhah yang dicetak dan diedarkan oleh Finas sebelum dikuatkuasakan pada April 1997.

Melihat pada situasi itu, penguatkuasaan Padu Citra mungkin menimbulkan pelbagai masalah berbangkit sekiranya perkara ini tidak dipulihkan secepat mungkin.

Sebagai Ketua Pengarah Finas, Mohd Naguib Razak, memikul tanggungjawab besar dalam pelaksanaan ini kerana sekiranya berlaku percanggahan, beliau akan turut 'diheret' dalam masalah itu.

Enggan membiarkan masyarakat membuat spekulasi lain mengenai penguatkuasaan ini, Naguib tampil memberi penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan Padu Citra.

Belum dilaksanakan, sudah ada pertikaian di antara persatuan. Bagaimanakah tuan melihat pada situasi ini?

Walaupun Finas merupakan badan yang bertanggungjawab dalam melaksanakan Padu Citra, namun kami memerlukan sokongan daripada persatuan. Tidak perlu bercakaran antara satu sama lain kerana kita sama-sama memerlukan dalam industri ini.

Finas menyeru agar setiap persatuan bekerjasama antara satu sama lain dan saling bertolak ansur. Kami juga mengalu-alukan penyertaan daripada persatuan yang ada untuk sama-sama menyokong pelaksanaan Padu Citra. Bagi yang masih belum mendaftar dalam persatuan yang diiktiraf, kami menyeru agar berbuat demikian untuk mengelakkan masalah di kemudian hari.

Terangkan serba sedikit mengenai Padu Citra dan badan yang sepatutnya terlibat.

Padu Citra diperkenalkan pada 1997 untuk menjaga kepentingan penggiat seni dan keistimewaan tenaga kerja industri tempatan. Ia juga adalah garis panduan yang mewajibkan pelakon, pekerja dan pengarah filem menyertai persatuan yang diiktiraf Finas.

Padu Citra dikuatkuasakan menerusi kerjasama empat badan persatuan termasuk FDAM, Seniman, Profima dan PFM. Namun, ia bukan bererti Finas mengehadkan penglibatan persatuan lain dalam pelaksanaan ini. Malah, persatuan lain juga boleh menyertai sekiranya mendapat kelulusan daripada Finas.

Dari situ, kita lihat PFM sepatutnya terlibat dalam penubuhan MTB Padu Citra. Namun mengapa mereka disingkirkan?

Sememangnya, PFM menjadi salah satu persatuan yang diberi tanggungjawab dalam pelaksanaan ini. Saya tidak pasti adakah PFM disingkir atau sebaliknya kerana setahu saya, empat persatuan terlibat dalam penubuhan itu. Mungkin mereka harus mengadakan perbincangan mengenai perkara ini agar tidak menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan persatuan. Saya juga ingin menegaskan bahawa Padu Citra akan dikuatkuasakan pada tahun hadapan, namun tidak semestinya Januari. jadi, saya tidak mahu ada spekulasi lain yang timbul dan menuduh Finas melengahkan penguatkuasaan kerana kami sudah memutuskan ketika perjumpaan bersama. Jika perkara ini masih belum mencapai kata sepakat, penguatkuasaan ini mungkin tidak akan dilaksanakan seperti yang dirancang.

Satu ketika dahulu, Padu Citra pernah dilupakan kerana kemasukan artis luar tanpa kawalan. Adakah tuan menghadapi kesukaran dalam menguatkuasakannya kembali?

Tidak sukar sekiranya semua bersatu. Sebagai langkah seterusnya, Finas akan menjemput semua pihak untuk mendapatkan pandangan, kemusykilan dan saranan untuk memperkasakan pelaksanaan ini. Kami tidak akan melakukannya secara terburu-buru kerana pandangan dari setiap sudut amat penting untuk apa jua tindakan. Saya mengesyorkan setiap persatuan memberi kerjasama dalam pelaksanaan sistem baru yang ditubuhkan Finas, iaitu Penubuhan Gabungan Industri Kandungan Kreatif (CCIG). Saya menggesa setiap persatuan agar mendaftar dengan CCIG untuk meningkatkan profesionalisme modal insan industri kandungan kreatif tempatan.

Apakah saranan tuan kepada persatuan agar pelaksanaan ini berjalan lancar?

Sejujurnya, saya rimas melihat percakaran sesama persatuan dalam industri kreatif kerana ia boleh memudaratkan dan memberi impak buruk kepada industri. Namun, saya berbangga dengan perkembangan industri sekarang serta 'mood' penggiat seni dalam bekerjasama antara satu sama lain. Hanya segelintir sahaja yang masih belum mendapat kesedaran dan 'mood' itu. Jadi, saya berharap agar semangat kerjasama itu diteruskan demi menjaga kebajikan, hak dan keistimewaan kita sebagai nadi seni tempatan.

REAKSI PERSATUAN

"Penguatkuasaan Padu Citra bukan sahaja menjaga kepentingan pekerja, tetapi menguntungkan pihak penerbit kerana tenaga pekerja dikawal selia persatuan yang dianggotai. Ada penerbit yang pernah menghadapi masalah pelakon dan kru, malah ada kes pengarah mengambil tindakan meninggalkan produksi. Keadaan ini boleh dikawal sekiranya semua pekerja menjadi ahli persatuan. Selepas mesyuarat pertama MTB, kami mengedarkan minit mesyuarat kepada Gafim, PTVM dan PFM."
- Pengerusi MTB, Abdul Rahim Awang

"PFM dan PTVM bukan persatuan, ia sebuah syarikat yang dianggotai oleh pekerja. Jadi, secara tidak langsung, mereka tidak terlibat dalam MTB ini. Pun begitu, kami tidak pernah berniat untuk membelakangi mereka kerana tanpa mereka, pelaksanaan ini pasti sukar untuk dikuatkuasakan semula. Kami akan mengadakan perjumpaan untuk memaklumkan mengenai perkara ini kepada pihak terlibat termasuk PFM dan PTVM agar tidak berlaku kekeliruan lagi."
- Presiden FDAM, Othman Hafsham

APA ITU PADU CITRA?

Padu Citra adalah garis panduan yang diperkenalkan pada tahun 1997 dengan mewajibkan pelakon, pekerja dan pengarah filem menyertai persatuan yang diiktiraf Finas bagi melindungi hak dan keistimewaan pekerja industri perfileman tempatan.

Tujuan Padu Citra diperkenalkan untuk membantu penggiat filem, simbol bersatu dan bagi mengelak salah faham dalam industri filem.

Adanya Padu Citra, ia menjamin kesepaduan tenaga perfileman kita di bawah satu bumbung kerana mereka yang bekerja dalam industri filem berdaftar akan dipantau Finas dan persatuan.

Begitu juga pihak luar yang mahu adakan kerja penggambaran di negara kita, Padu Citra juga dilaksanakan apabila produksi luar harus mematuhi syarat perlu dimasukkan sama pelakon atau krew filem tempatan dalam produksi asing.

Namun, Padu Citra semakin dilupakan apabila senario kemasukan secara bebas produksi luar negara yang mengadakan penggambaran di negara ini tanpa melalui Padu Citra menyebabkan krew produksi tempatan yang berdaftar tidak diberi kelebihan bekerjasama dengan mereka.

SYARAT PADU CITRA

Menerusi syarat Padu Citra yang dikuatkuasakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada 1 April 1997, Finas mengenakan syarat seperti :

1. Lesen yang diberikan kepada pengusaha filem iaitu wajib mengambil krew, pelakon dan pengarah daripada ahli persatuan masing-masing.

2. Finas boleh membatalkan lesen produser jika didapati mengambil krew atau pekerja bukan daripada kalangan anggota persatuan terbabit.

3. Finas tidak akan bertolak ansur dalam mengenakan sebarang tindakan terhadap produser yang mengambil krew bukan daripada ahli persatuan terbabit dan boleh dikenakan kompaun serta penggambaran diarahkan dihentikan serta-merta.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top