Perang Twitter antara Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi dengan aktres Indonesia, Julia Perez, Khamis lalu tidak hanya terhenti sekadar menjadi bahan ulang tweet (RT) atau perbahasan di laman sosial semata-mata. Atas nama persatuan dan semangat nasionalisme anak seni Malaysia, Zed mengotakan setiap apa yang ditulisnya untuk menyiasat penglibatan Jupe dalam industri seni tanah air.


"Sah Jupe memang tiada permit untuk bekerja dalam produksi filem di Malaysia. Saya telah siasat dengan Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan di Finas yang keluarkan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP). Bawah syarat itu, syarikat produksi kena isi borang Pekerja Filem Asing (SPA) jika melibatkan pekerja asing seperti Jupe, tapi namanya tiada. Jupe memang tiada permit untuk berlakon di Malaysia," tegas Zed ketika dihubungi Sensasi Bintang Jumaat lalu.

Menurut Zed, seseorang pelakon luar yang terlibat dengan penggambaran filem atau drama di Malaysia juga harus menjadi ahli mana-mana persatuan yang diiktiraf oleh Finas. Dalam kes Jupe, dia harus berdaftar sebagai ahli bersekutu dalam Seniman jika terlibat dalam produksi tempatan. Nama Jupe pula tiada dalam data permohonan berkenaan.

"Satu perkara lagi, Jupe tiada pas ikhtisas daripada Agensi Pusat Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal). Dia hanya menggunakan pas pelawat tetapi boleh pula pergi berlakon dalam filem, kemudian boleh pula kutuk dan hina industri drama Malaysia," kata Zed sambil mempersoalkan penguatkuasaan yang sepatutnya diambil ke atas Jupe.

Isnin lalu, Jupe menulis dan menghina drama tempatan yang disifatkannya jauh ketinggalan berbanding Indonesia. Tulisan Jupe dalam akaun Twitternya mendapat perhatian ramai termasuklah Zed Zaidi. Zed kemudian memulangkan paku buah keras kepada Jupe dengan menyelar Jupe sebagai gampang.

"Saya tulis 'gampang' bermaksud mudah tapi dalam budaya kita ia membawa makna yang kasar. Terpulang kepada fahaman masing-masing. Dia memang biadap dan saya tanya Jupe itu nama manusia atau apa, tapi saya tak kata pun dia binatang. Tulisan Jupe nampak biasa, tapi dia menghina penerbitan drama di Malaysia sedangkan dia berada di Malaysia untuk berlakon filem Malaysia," ulas Zed yang terkenal kerana kelantangannya berhubung isu artis luar termasuklah Aaron Aziz dan Randy Pangalila.

Berjuang dan bertindak atas nama Seniman, Zed tidak menafikan ada pihak yang mentertawakan sikapnya yang tidak habis-habis mempersoalkan penglibatan artis luar dalam produksi drama, filem atau muzik tempatan. Katanya, sebagai presiden persatuan, menjadi tugasnya untuk membela nasib artis di negara ini.

"Saya tidak akan endahkan jika khalayak dakwa sebagai bodoh atau melalak tanpa usul periksa sebab saya bercakap berlandaskan fakta. Seniman sendiri tidak bodoh sebab kita ada penasihat akademik dan undang-undang untuk dijadikan rujukan," katanya lega apabila dimaklumkan bahawa Finas sudah menghantar pegawai untuk menyiasat penglibatan Jupe dalam filem bertajuk Sumpahan Malam Pertama arahan Murali Abdullah itu.

Dalam pada itu, Zed juga sedang berusaha untuk membuat kunjungan hormat ke atas persatuan artis di Indonesia bagi mencari formula berhubung kerjasama dua hala artis ataupun pekerja seni Malaysia dan Indonesia.

"Buat masa ini, Seniman masih menunggu bajet yang dijanjikan oleh kerajaan. Jika berjalan lancar, bukan hanya Indonesia, Seniman juga akan ke Singapura dan Brunei untuk mencari kesepakatan dalam soal berkenaan. Harapnya selepas ini, setiap artis dari negara terbabit akan menggunakan persatuan masing-masing sebelum masuk ke Malaysia, begitu juga dengan artis Malaysia," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top