Lagu dendangan Farid Sanullah sering di salah anggap sebagai lagu Maher Zain namun dia sedikit pun tidak berasa hati, jauh sekali untuk melatah. Bahkan, Farid Sanullah, 21, gembira apabila orang ramai membandingkan diri muziknya dengan penyanyi terkenal berasal dari Lubnan itu.

Dilahirkan di Kuala Lumpur, tetapi membesar di Perth, Australia, artis keturunan Pakistan ini amat gembira apabila single pertamanya, Don’t Forget Allah, mendapat sambutan baik daripada pendengar, biarpun pada mulanya ia disangka dendangan terbaru Maher.

Menyedari sambutan yang diterima lagu itu di sini cukup memberangsangkan, Farid yang mengetengahkan irama berunsurkan Islam, tidak ragu-ragu memilih Malaysia sebagai negara pertama bagi mempromosikan single berkenaan, selepas melakukannya terlebih dulu di Australia.
Pelajar jurusan Programming di Polytech West, Perth, terbabit menegaskan, Malaysia mempunyai jumlah pendengar irama nasyid cukup besar, justeru, dia tidak teragak-agak untuk memperkenalkan lagunya itu ke negara ini.

Malaysia destinasi pilihan

“Saya akan berada di Malaysia selama dua hingga tiga bulan bagi mempromosikan lagu dan album pertama yang akan keluar pada Januari depan. Selepas Malaysia, barulah saya akan ke negara Asia lain.

“Saya memilih Malaysia sebagai destinasi pertama setelah melihat sambutan memberangsangkan terhadap single sulung. Saya pun tidak sangka ia boleh meraih begitu banyak perhatian. Jika mahu dibandingkan dengan Australia, pasaran di sana tidak menggalakkan kerana kurangnya penduduk beragama Islam,” kata Farid .

Menurut Farid , dia sebenarnya sudah mula menyanyi sejak berusia empat tahun. namun baru sekarang berpeluang untuk berkongsi bakat dimiliki secara lebih meluas. Singlenya diterbitkan oleh syarikat Sheikh Qalam Records Sdn Bhd.


Malah irama nasyid sudah sebati dengan dirinya sejak sekian lama, selepas didedahkan dengan dendangan kumpulan seperti Rabbani, Raihan, Inteam dan Firdaus. Turut menggemari kumpulan Hijjaz, Farid mengaku Maher dan penyanyi yang juga komposer British, Sami Yusuf, antara insan seni yang menjadi inspirasinya.

Seru generasi muda ke arah kebaikan

Farid berpindah ke Australia ketika usianya baru tiga bulan. Saat itu, dia dibawa mengikuti bapanya yang berkerja sebagai akauntan, di sana. Justeru, anak muda ini tidak mampu berbahasa Melayu, tidak seperti orang tuanya.

Begitupun, kunjungan kali ini bukanlah yang pertama buatnya. Hakikatnya, Farid kerap pulang ke sini bagi menziarahi ramai saudara-mara.

Berhasrat menyebarkan dakwah Islam melalui muzik, jejaka berkulit cerah ini sedar, tidak ramai pemuda yang memilih konsep muzik sepertinya. Keadaan itu menguatkan lagi azamnya untuk terus berkarya menarik golongan muda mencintai Allah serta mengikuti ajaran-Nya menerusi lagu yang dipersembahkan.

Ketika ini, dia dan bapanya sibuk menulis serta merakam lagu yang bakal dimuatkan dalam album sulung. Kini, empat lagu sudah siap dirakam manakala enam lagi bakal mengikuti proses sama dalam masa terdekat.

Bagi mengenang peristiwa yang berlaku di Gaza, Farid turut menghasilkan lagu khas berjudul Orphan Child. Selain itu, banyak karyanya berilhamkan hadis dan ayat al-Quran.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top