Faizal Tahir sedar bahawa usaha menerusi tabung bantuan, konsert dan sebagainya suatu perkara biasa, Faizal mengambil keputusan melelong semua trofinya dan wang lelongan itu semuanya disalurkan ke Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima Berhad yang merupakan kerjasama dengan Mercy Malaysia.

“Saya akui agak terkejut apabila Telekom Malaysia (TM) Sdn Bhd membida trofi saya dengan harga RM50,000. Selepas mendapat panggilan telefon daripada pihak TM, saya memang tidak tidur malam.

“Alhamdulillah, usaha saya mendapat sokongan daripada pelbagai pihak dan kini jumlah jualan sudah meningkat kepada RM80,000.

“Tentunya ia melepasi jangkaan saya kerana pada mulanya saya jangka akan memperoleh RM50,000 ke RM60,000 sahaja.

“Walaupun pada hakikatnya saya amat menyayangi kesemua trofi saya, ini adalah salah satu cara saya memberi kesedaran kepada pihak di luar sana untuk sama-sama membantu masyarakat Palestin,” katanya yang ditemui pada mini konsert amal, Untukmu Palestin, malam kelmarin.

Faizal berkata, trofi yang diserahkan kepada pihak TM adalah trofi yang paling berharga buatnya, yang dimenangi pada Anugerah Industri Muzik ke-15 iaitu Album Terbaik 2008, bagi album Aku Muzik Kamu.

“Trofi tersebut paling bermakna kerana ia menjadi penanda aras buat saya dalam industri. Trofi kedua yang diserahkan kepada Maybank dengan harga bidaan sebanyak RM20,00 adalah trofi Artis Lelaki Paling Popular di Anugerah Planet Muzik.

“Ia adalah trofi pertama yang saya terima selepas tiga bulan saya di'gam' akibat insiden membuka baju. Manakala trofi ketiga adalah trofi Persembahan Terbaik di Anugerah Juara Lagu (2003) yang telah dijual kepada Celcom Axiata dengan bidaan sebanyak RM10,000,” ujarnya.

Bakal jual pakaian

Faizal berkata, biarpun trofinya telah terjual sebanyak RM80,000, dia berharap jumlah jualan itu akan terus meningkat kerana dia tidak mahu usaha ini akan berhenti setakat ini sahaja.

Katanya, selain bekerjasama dengan Media Prima Berhad, dia turut bekerjasama dengan Aqsa Syarif iaitu sebuah organisasi yang ditubuhkan pada 2010, yang berprofil sukarela di atas dasar kemanusiaan dengan visi untuk menjadi peneraju dalam memperkukuhkan perjuangan membebaskan Al-Aqsa dan Palestin.

“Saya harap jumlah jualan ini akan meningkat kepada RM100,000 dan jumlah tersebut akan terus meningkat kerana saya tidak meletakkan sasaran banyak mana trofi yang akan saya jualkan.

“Selain trofi, saya juga merancang untuk menjual sut-sut yang saya pernah pakai dalam beberapa majlis sebelum ini untuk menambah wang sumbangan,” ujarnya.

Impi ke Gaza

Jika Afdlin Shauki akan menempuhi perjalanan ke Gaza, 3 Disember ini, Faizal pula mengakui sedang menunggu peluang itu dan sudah memaklumkan kepada Aqsa Syarif untuk turut serta ke Gaza dalam misi mereka yang seterusnya.

Faizal yang sebelum ini berpeluang ke Lebanon untuk melihat suasana di kem pelarian, dua tahun lalu, mengakui amat berharap untuk sampai ke Gaza pula selepas ini.

“Walaupun impian kami ke Gaza tidak kesampaian dua tahun lalu, saya harap akan dapat sampai ke Gaza kali ini.

“Malah, ketika ke kem pelarian itu pun, suasananya sudah cukup menyedihkan, saya pasti, di Gaza lebih teruk lagi,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top