Deanna Hussin

Deanna, sorang lagi penyanyi baru berjaya dicungkil melalui YouTube dan telah dilamar oleh syarikat rakaman NAR Records Sdn. Bhd.

Nur Syaza Deanna Hussin atau nama komersialnya, Deanna Hussin, 16, bakal muncul dengan single pertamanya pada tahun depan akan mempertaruhkan sebuah lagu Inggeris berjudul Inviting.

Dia yang berasal dari Gelugor, Pulau Pinang, merupakan anak tunggal dalam keluarga itu sebenarnya telah mula berjinak-jinak dalam penulisan lagu sejak berumur 12 tahun lagi.

"Saya telah menulis 36 buah lagu dalam sebuah buku sejak berumur 12 tahun lagi. Salah satunya ialah lagu Inviting yang akan menjadi single pertama saya nanti,"

Deanna berkata, sejak menjadi artis rakaman empat bulan lalu dia merasakan dirinya agak sibuk apabila terpaksa berulang-alik ke Kuala Lumpur pada setiap hujung minggu.

"Mujurlah dalam sebulan dua ini, musim cuti sekolah. Jadi saya banyak habiskan masa di Kuala Lumpur untuk penggambaran muzik video dan promosi single baharu kepada media," ujarnya yang turut menyanyi bersama gitar seperti artis kelahiran YouTube lain iaitu Najwa Latif dan Ainan Tasneem.

Mengenai keberaniannya mempertaruhkan single berbahasa Inggeris walaupun namanya masih asing, Deanna tidak menganggap itu satu penghalang untuk dirinya dikenali.

Deanna Hussin


"Saya rasa tidak susah untuk pasarkan lagu berbahasa Inggeris, lagi pun saya juga ada lagu bahasa Melayu yang akan menyusul selepas lagu ini," ujarnya yang yakin Inviting akan diterima penggemarnya nanti.

Bercerita perihal dirinya pula, pelajar Sekolah Perempuan St. George's itu memberitahu, kedua-dua ibu bapanya memberi sokongan kuat terhadap minatnya untuk menyanyi. Dia cukup bersedia berdepan asam garam dunia seni.

Deanna Hussin

"Mulanya tiada niat untuk serius menyanyi sehingga jadi artis rakaman. Saya juga fikir menyanyi hanya untuk seronok-seronok sahaja," jelasnya.

Cuma selepas menjadi artis rakaman, Deanna sering diingatkan oleh kedua-dua ibu bapa dan guru-guru di sekolah agar tidak mengabaikan pelajaran sementelah pula menjelang tahun 2013 nanti dia bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Mungkin pada tahun 2013, saya hanya akan aktif sehingga bulan Mei sahaja. Selepas itu, mungkin saya berhenti sekejap menyanyi untuk memberi tumpuan kepada SPM," ujarnya lagi.

Deanna berkata, ilham menulis lagu diperolehnya secara semula jadi ketika berada di rumah, bersiar-siar atau ketika menonton televisyen.

"Saya buat lagu bukan bertemakan cinta sahaja tetapi ada tema keluarga, peperangan dan ketuhanan," ulasnya mengenai lagu Inviting yang tampil bertemakan anti peperangan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top