Jackie Chan Chinese Zodiac (CZ12) : Filem CZ12 Jackie Chan

Nama Jackie Chan cukup sinonim dalam industri perfileman antarabangsa, sebut sahaja 'orangnya' pasti ramai mengagumi aksi lakonannya.

Bukan sahaja di kalangan orang dewasa, malah peminatnya juga dalam kalangan remaja serta kanak-kanak.

Melibatkan diri pada 1959 dalam bidang seni, superstar Hong Kong ini sebenarnya telah memulakan kariernya dalam bidang lakonan sejak berusia 5 tahun lagi.

Filem Chinese Zodiac 2012 (CZ12)

Siapa sangka, aktor terkenal yang diberi nama, Jackie Chan, ini telah muncul menerusi pelbagai drama dan filem dalam usia semuda itu, antaranya Little Fortunes dan Big And Little Wong Tin Bar.

Kemudian dia semakin mendapat perhatian pengarah di sana dan tampil menerusi pelbagai filem seperti The Love Eterne, King Hu’s dan Come Drink With Me selain filem Kung Fu, A Touch Of Zen.

Menginjak ke usia 17 tahun, bintang filem The Tuxedo ini melangkah jauh dengan bergelar pelakon lagak ngeri berdampingan mendiang Bruce Lee, menerusi filem Fist of Fury dan Enter The Dragon.

Selepas itu, barulah bakatnya berjaya dikesan sehingga ditawarkan untuk membintangi filem pertamanya yang berjudul, Little Tiger Of Canton.

Filem ini merupakan sebuah filem seni mempertahankan diri yang mana memerlukan Chan memainkan peranan sebagai Ah Lung yang dalam misi membalas dendam terhadap pembunuh ayahnya.

Dia akhirnya berjaya membuka mata banyak pihak dalam industri seni Hong Kong menerusi lakonan mantap dan bertenaga sebagai Ah Lung.

Dalam pada itu antara filem yang berjaya menaikkan namanya adalah Police Story, Drunken Master, Heart Of The Dragon dan Rumble In The Bronx.

Tidak mahu di 'kerusi roda'

Setelah 50 tahun berlalu, seiring dengan usianya, Chan yang kini berusia 58 tahun telah membintangi lebih 150 filem.

Terkenal dengan keupayaannya melakonkan aksi lagak negeri, aktor kelahiran Victoria Peak, Hong Kong ini mengakui lebih selesa dan puas melakonkan aksi lagak ngeri bagi sesebuah drama atau filem itu sendiri.

Bagaimanapun, baru-baru ini Chan membuat pengumuman untuk berhenti melakonkan lagak ngeri sendiri.

Bagaikan kejutan kepada peminatnya, Chan tampil membuat penjelasan mengenai perkara itu.

Jelasnya, faktor usia telah meletakkan dia untuk berhenti daripada melakukannya.

"Faktor umur membuatkan saya mengambil keputusan ini, jika dibandingkan dahulu dan sekarang, memang berbeza.

"Dengan keadaan saya yang semakin berusia, stamina juga tidak mengizinkan saya melakukannya.

"Mungkin saya masih boleh melakonkannya, namun saya tidak mahu meletakkan risiko dan menghabiskan masa tua saya di atas kerusi roda," kata bapa kepada penyanyi yang juga pelakon Hong Kong, Jaycee Chan ini.

Pun begitu, Chan tidak mengundurkan dirinya begitu sahaja, seakan mengerti masa sudah tiba, dia tetap meninggalkan hadiah kepada peminatnya.

Muncul menerusi filem terbaru, Chinese Zodiac 2012 (CZ12), Chan berkata, filem ini adalah filem aksi terakhir lakonannya.

Jelas penerima anugerah bagi kategori Taurus Honorary Award  di World Stunt Awards (2002) ini, filem tersebut amat penting baginya.

"Hampir keseluruhan filem ini menggunakan khidmat saya, bayangkan selama ini saya berhempas pulas mencari ruang dan masa untuk menulis skrip tersebut.

"Akhirnya, selepas tujuh tahun menulis skrip dan setahun setengah melakukan penggambaran ia berjaya disiapkan dan kini tunggu masa untuk ditayangkan pula," katanya yang juga penulis skrip, pengarah dan penerbit bagi filem itu.

Berkongsi mengenai wataknya dalam CZ12, Chan memainkan peranan sebagai pemburu harta karun yang dalam misi untuk menghantar balik kepala patung 12 haiwan zodiak Cina, yang diambil daripada Old Summer Palace di Beijing oleh tentera

Perancis dan British semasa Perang Candu Kedua (1856-60).

Selain Chan, filem ini turut dibintangi Kwone Sang Woo, Laura Weissbecker, Yao Xing Tong, Liao Fan, Zhang Lan Xin, dan Steve Yoo Seung Jun.

Menelan belanja sebanyak RM186 juta, filem ini bakal ditayangkan pada 20 Disember ini di pawagam seluruh Asia.

Jackie Chan Chinese Zodiac (CZ12) Trailer

1 ulasan:

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top