Program TV3 sempena menyambut tahun baru 2013

TV3 bakal menyajikan program terbaik istimewa menjelang sambutan tahun baru bermula 25 Disember ini hingga 1 Januari depan.

Sajian menarik pelbagai genre, sesuai untuk tontonan semua peringkat umur menerusi himpunan filem hebat tempatan dan antarabangsa.

Antara sajian menarik itu adalah Hantu Kak Limah Balik Rumah lakonan Awie, Man Kadir, Zami Ismail, Johan, Ummi Nazeera, Pekin, Shoffi Jikan, Avaa Vanja dan Nadia Mustafar.


Bakal menemui penonton pada 25 Disember ini, jam 10 malam, Hantu Kak Limah Balik Rumah mengisahkan Husin yang lama bekerja di Singapura mengambil keputusan pulang ke kampung halamannya, Kampung Pisang.

Sebaik tiba di rumah, Husin hairan melihat perangai pelik jirannya, Kak Limah yang langsung tidak bercakap. Dia juga mengalami kejadian menakutkan ketika mahu tidur.

Filem antarabangsa

Sajian antarabangsa pula menghidangkan filem Hindi terbaik iaitu Chori Chori Chupke Chupke pada 29 Disember ini, jam 2 petang.

Dengan barisan pelakon Preity Zinta, Salman Khan, Rani Mukerji, Amrish Puri dan Dalip Tahil, konflik tercetus apabila Raj yang sudah berkahwin dengan Priya Maholtra tetapi tidak mempunyai anak dan dicintai Madhu yang menjadi ibu tumpang kepada bayi mereka.

Turut menjadi pilihan filem I Am Legend dibintangi Will Smith, Alice Braga, Charlie Tahan, Salli Richardson-Whitfield, Willow Smith dan Darrell Foster yang bersiaran pada 28 Disember ini, jam 10 malam.

Filem ini berkisar mengenai virus yang menyerang dan meragut nyawa penduduk seluruh dunia pada 2009. Asalnya, ia dicipta Dr Alice Krippin sebagai penawar penyakit kanser sebelum berubah menjadi virus 'pembunuh'.

Leftenan Robert Neville, seorang pakar virologi, mempercayai masih ada lagi manusia yang terselamat daripada virus itu. Namun, beliau terperangkap di bandar New York.

Penggemar filem Kantonis, nantikan Kung Fu Hustle pada 31 Disember ini, jam 10 malam bersama barisan pelakon Stephen Chow, Xiaogang Feng, Wah Yuen, Zhi Hua Dong, Kwok-Kwan Chan, Chi Chung Lam, Siu-Lung Leung, Qiu Yuen.

Keadaan menjadi kacau bilau di kota Shanghai, China pada era 1940-an. Banyak kumpulan kongsi gelap bersaing untuk menakluki kota Shanghai, salah satunya kumpulan `Kapak Merah' yang sangat ditakuti.

Oleh kerana tiada siapa yang berani menentang kumpulan kongsi gelap ini, rakyat pelbagai latar belakang yang mahu hidup damai memilih untuk tinggal di kawasan miskin.

Sementara itu, The Karate Kid pula disiarkan pada 1 Januari jam 10 malam menampilkan lakonan hebat Jaden Smith, Jackie Chan, Taraji P Henson, Wenwen Han dan Rongguang Yu.

Penonton turut berpeluang memenangi hadiah hebat menerusi `Peraduan Terbaik Akhir Tahun. Sebaik menonton setiap rancangan, penonton perlu menghantar SMS `Terbaik 'ke 33399 dan jawab tiga soalan mudah. Setiap jawapan yang betul akan mendapat lima markah. Penonton yang berjaya mengumpulkan markah tertinggi akan membawa pulang gajet terkini.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top