VOKAL 2 – Akhir, Rabu, 26 Disember, 9.00 malam

Persaingan VOKAL…Bukan Sekadar Rupa musim ke-2 sudah sampai ke final! Kemuncak Vokal Bukan Sekadar Rupa 2 bakal bersiaran dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada 26 Disember ini jam 9 malam.

Siapa antara Mohamad Yusof Ahmad (Uchop), 28, atau Marlleynney Fane J L Paul (Mar), 25, yang akan membawa pulang wang tunai RM100,000 yang dipertaruhkan kepada juara program Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua?

Apa yang pasti, baik Uchop atau Mar masing-masing bertekad mahu menjadi juara mengikut jejak langkah pemenang musim pertama, Asmidar. Selain wang tunai lumayan ditawarkan, keinginan membuktikan kemampuan didorong minat mendalam untuk menjadi penyanyi.

Minat bidang nyanyian

Uchop yang berasal dari Jeniang, Kedah tidak pernah mengenal erti putus asa dalam mengejar cita-cita menjadi penyanyi. Dia pernah menyertai program ini musim lalu, namun kedudukannya hanya bertahan sehingga Top 20. Dia juga pernah menyertai pertandingan Twisties Bingit anjuran Hot FM menerusi kumpulan yang dikenali sebagai Avitydy.


"Saya amat meminati bidang nyanyian walaupun cita-cita saya dihalang arwah ibu bapa. Biarpun mereka sudah tiada lagi, saya ingin buktikan saya mampu berjaya sebagai penyanyi.

"Saya ingin menjadi penyanyi versatil. Bagi menghadapi persaingan peringkat akhir, saya akan berusaha sedaya upaya untuk memenangi hati juri dan peminat," katanya yang terharu mempunyai ramai peminat malah ada yang sanggup bersusah payah membawa sepanduk dan bunting pada peringkat separuh akhir tempoh hari.

Meminati genre muzik rock, Uchop memilih himpunan lagu kumpulan Wings untuk dipersembahkan pada malam akhir. Bagi peringkat cabaran (battle) pula, dia memilih lagu Bujang Senang untuk dinyanyikan pesaingnya, Mar.

Mar sambut Krismas tanpa keluarga

Sementara itu, Mar akan menggunakan kelebihan menyanyikan lagu nada tinggi untuk memikat hati juri. Mar yang berasal dari Tamparuli, Sabah dan kali pertama menyertai pertandingan realiti, sanggup berkorban tidak pulang ke kampung halaman meraikan Krismas demi malam esok.

"Selama dua bulan setengah saya tidak bertemu keluarga. Kami hanya melepas rindu di telefon saja, keluarga kerap bertanya khabar.

Bukan mereka tidak teringin memberikan sokongan kepada saya dengan datang ke Kuala Lumpur, tetapi tambang ke sini bukannya murah.


"Saya bersyukur ada teman baik yang sanggup datang memberi sokongan. Walaupun ini kali pertama tidak meraikan Krismas bersama keluarga, saya reda kerana ada cabaran lebih besar menanti. Saya mahu menumpukan perhatian kepada pertandingan ini berbanding perkara lain," kata graduan Sarjana Muda Teknologi Makanan ini.

Ditanya apa yang ingin dilakukan andai RM100,000 menjadi miliknya, anak sulung daripada lima beradik itu berkata, dia bercita-cita membina sebuah rumah yang selesa buat mereka sekeluarga berteduh. Selebihnya akan digunakan untuk tujuan rakaman album.

Uchop pula mahu menggunakan wang kemenangan untuk kerja seninya. Jika ia bukan miliknya, anak muda ini reda. Malah dia tidak malu untuk kembali ke kehidupan asal sebagai penjaga stor di kedai DVD.

"Tidak ada yang perlu dimalukan, asalkan saya mencari rezeki yang halal. Cuma saya tidak akan berputus asa untuk terus mencuba lagi menyertai pertandingan yang sesuai dengan umur saya nanti," katanya.

Tiga peluang terakhir

Pada peringkat akhir esok, setiap peserta mempunyai tiga peluang terakhir bagi menonjolkan kehebatan mereka iaitu menerusi lagu medley, lagu baru dan lagu battle.

Bagi lagu baru, Uchop akan menyanyikan lagu ciptaan Yuzai iaitu pencipta lagu Aku Rindu Sayang Kamu yang pernah dipopularkan Black. Mar pula akan menyanyikan lagu ciptaan Ajai.

Untuk peringkat battle pula, Uchop akan menyanyikan lagu yang dipilih oleh Mar berjudul Stand Up For Love (Destiny's Child).

Naib juara pertandingan akan membawa pulang wang tunai RM30,000. Final Vokal Bukan Sekadar Rupa 2 akan berlangsung jam 9 malam di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Artis yang bakal membuat persembahan ialah One Nation Emcees, Azmeer, Mas Idayu, Salim dan Zamani.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top