Bujang Bertinta Dara Melirik, Jangan Dijangka Setiap Kata, Mula Bercinta Dalam Lirik, Takdir Doa Menjadi Nyata.
PERTEMUAN pertama kali bagi menghasilkan lagu duet Kurnia pada 2009, membuahkan bibit cinta antara penyanyi semakin mencipta nama, Shazrina Tan Sri Azman Hashim atau Mizz Nina, 31, dan penyanyi utama kumpulan Hujan juga komposer muda, Mohammed Noh Salleh (Noh), 27.
Selepas hampir dua tahun mengenali hati budi, pasangan ini mengambil keputusan untuk mengikat hubungan cinta terjalin dengan tali pernikahan yang berlangsung di rumah pengantin perempuan di Ukay Heights, Ampang, Jumaat, lalu.
Pasangan ini dinikahkan sendiri bapa pengantin perempuan, Tan Sri Azman Hashim dengan disaksikan hampir 200 tetamu yang terdiri daripada keluarga dan kenalan rapat kedua-dua mempelai.
Pada majlis itu, Noh turut menyerahkan mas kahwin berjumlah RM888 dan wang hantaran RM11,111.11 berserta tujuh dulang termasuk barang keperluan peribadi, wangian, ipad2 dan manisan. Mizz Nina pula membalas dengan jumlah dulang sama dengan hadiah berupa, kasut, sepersalinan pakaian bersanding, keperluan peribadi dan manisan.
Menerusi kenyataan yang dihantar kepada pihak media, kata Mizz Nina, Noh diperkenalkan kepada bapanya pada rumah terbuka sempena sambutan Aidilfitri dua tahun lalu di Restoran Seri Melayu.
Noh juga dikatakan turut menyatakan hasratnya untuk mengahwini Nina pada majlis terbabit.
"Secara jujur, saya tidak pernah bertemu dengan lelaki seperti Noh," katanya yang dibawa bertemu dengan keluarga penyanyi berasal dari Miri, Sarawak itu setahun kemudian sewaktu mereka terbabit dengan Anugerah Juara Lagu, tahun lalu.
Nina juga berkata, Noh melamarnya secara terbuka dan tidak ada aksi romantis seperti dibayangkan dilakukan suaminya.
"Tidak wujud lamaran di bawah bulan purnama dengan makan malam istimewa. Keputusan untuk berkahwin tiba selepas beberapa kali perbincangan dibuat dengan harapan untuk membawa hubungan dibina ini ke tahap sepatutnya," kata Mizz Nina yang memulakan kerjaya nyanyiannya bersama kumpulan Rap, Teh Tarik Crew.
Bercerita lanjut mengenai majlis dijalankan, jelas Nina, dia bersyukur kerana segalanya berjalan lancar.
Bertanya lanjut mengenai perancangan selepas pernikahan, kata Nina, mereka mahu beri tempoh dua tahun sebelum memikirkan soal cahaya mata.
"Kalau boleh, kami mahu mengukuhkan dulu kerjaya dan kehidupan berkeluarga. Bagi kami, ia sangat penting bagi memastikan kami mampu menjadi contoh terbaik kepada anak-anak. Begitupun, sebagai manusia kita hanya mampu merancang tetapi segalanya ditentukan Allah. Andai diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata dalam waktu terdekat, saya dan Noh pasti menerimanya dengan penuh kesyukuran," katanya.
Sementara itu, akui Noh, sebagai suami dia akan terus memberikan perangsang kepada Nina untuk meneruskan kerjaya seninya.
"Adalah penting untuk kami menyokong antara satu sama lain, sama ada senang atau susah," katanya.
Noh turut menegaskan, sebaik bertemu dengan Nina buat pertama kali membuatkan hatinya berbisik bahawa penyanyi yang cukup popular dengan lagu What You Waiting For, adalah orangnya paling sesuai untuk dijadikan suri hidup.
Bercerita mengenai destinasi berbulan madu, Noh dan Nina bercadang untuk ke United Kingdom, Britain selepas ini sebelum menjelajah ke Rome, Itali dan mengakhiri perjalanan bulan madu mereka di kepulauan Maldives.
"Kami mengambil kesempatan ini untuk bercuti panjang memandangkan sebelum ini kami terlalu sibuk dengan kerjaya, apatah lagi untuk membuat persiapan perkahwinan ini banyak perkara yang terpaksa kami lakukan. Kami mahu hilangkan segala lelah yang dilalui dengan berbulan madu," katanya.
Pasangan ini turut mengadakan majlis persandingan tertutup, semalam di Hotel Shangri-La Jalan Raja Chulan, dan diikuti satu majlis resepsi untuk kenalan rapat, penggiat muzik dan media pada 6 Julai ini di Doubletree, Hilton Kuala Lumpur di Jalan Ampang. Sementara majlis sambut menantu bakal diadakan pada 15 Julai di Miri Golf Resort.
0 ulasan:
Catat Ulasan