Adibah teruja mengacara Fiqh Wanita

Tak pernah terlintas bakal menjadi pengacara program ilmiah, bekas juara Da'i Pendakwah Milenia musim pertama, Adibah Rozain teruja apabila pertama kali diberi peluang mengacarakan program Fiqh Wanita yang mula bersiaran sejak 11 Oktober lalu.

Program yang bersiaran di TV3 setiap Jumaat jam 1 tengah hari itu menggantikan al-Hidayah, kembali untuk musim kedua memaparkan 13 episod yang turut mengekalkan pengacara asalnya iaitu Shadiya Abbas.

Jika sebelum ini Adibah yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) TESL di Univerisiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam lebih terdedah dengan bidang pembelajaran bahasa Inggeris, dengan anugerah kepetahannya itu menguatkan lagi dirinya untuk tampil lebih yakin di hadapan kamera.

Tidak hairanlah dia dinobatkan sebagai juara namun apabila diberi peluang mengacarakan program Fiqh Wanita untuk musim kedua ini banyak perkara yang harus diambil kira meskipun keyakinan dalam diri sudah ada.

"Ini program pertama yang saya kelolakan selepas selesai terbabit dalam program Da'i Pendakwah Milenia. Alhamdulillah, syukur niat untuk menjadi pengacara terlaksana kerana inilah yang saya impikan sejak di bangku sekolah iaitu tampil bercakap di khalayak ramai.

"Fiqh Wanita adalah program penyampaian maklumat khusus buat wanita yang tanpa kita sedari ada banyak perkara remeh yang selama ini dilakukan sebenarnya perlu diambil berat. Pemilihan panel juga harus sesuai dengan tajuk. Malah, saya perlu banyak mengkaji apatah lagi ada beberapa isu yang saya sendiri tidak tahu ia sangat penting untuk dititikberatkan," katanya yang mempunyai empat semester lagi untuk menghabiskan pengajian.

Menggunakan pengalaman yang ada sepanjang menjadi peserta program Da'i, Adibah mengakui sepanjang bekerja menerusi program Fiqh Wanita banyak perkara baru yang diketahuinya.

"Walaupun gementar dan rasa sangat mencabar, saya seronok kerana semua kru memberikan kerjasama yang baik apatah lagi saya tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pengacaraan.

"Digandingkan bersama pengacara tetapnya juga memberi satu pengalaman berharga buat saya kerana Shadiya banyak membantu dan memberi tunjuk ajar. Malah, dia bijak memainkan peranan dalam memastikan program berlangsung agar kami tidak tersasar dari waktu yang ditetapkan.

"Memang tidak sangka bakal digandingkan dengannya kerana sebelum ini saya bertemu Shadiya sewaktu menghadiri uji bakat Da'i dan apabila duduk di sebelahnya sebagai pengacara rasa begitu teruja," katanya.

Shadiya tiada masalah digandingkan bersama Adibah

Jika di musim pertama Shadiya mengacarakan program Fiqh Wanita seorang diri namun kini dia digandingkan bersama orang baru dan belum pernah mengacarakan mana-mana program.

Berkongsi mengenai perkara itu, Shadiya berkata, apabila diberitahu perlu bergandingan dengan pengacara baru dia berasa sedikit kekok namun lama kelamaan mula selesa.

"Sebelum ini saya mengacarakan program ini seorang diri dan segala-galanya saya lakukan sendiri. Apabila diberitahu akan digandingkan dengan pengacara lain memang terfikir juga bolehkah saya melakukannya.

"Apabila bertemu Adibah, Alhamdulillah dia seorang yang mudah dan cepat belajar. Malah, saya rasa tiada masalah dalam mencari keserasian untuk kami berdua sama-sama mengacarakan program ini.

"Bagi saya sebagai orang lama dalam bidang pengacaraan memang sepatutnya kita memberi peluang kepada pelapis baru dan saya lihat Adibah mempunyai potensi yang baik untuk menjadi seorang pengacara yang bagus," katanya.

Shadiya yang pernah mengacarakan program Haiwan Teladan pada 2007 turut mempunyai pengalaman menjadi pengacara wanita pertama yang mengelolakan program Jejak Rasul pada tahun 2010 yang ketika itu dia berpeluang melawat Mesir, Syria dan Arab Saudi.

Menerusi Fiqh Wanita musim kedua ini, dia selaku penerbit bertanggungjawab bersama-sama Sanizar Ayin dalam menyusun tajuk perbincangan yang akan dibahaskan pada setiap episod.

"Untuk musim kali ini kami akan membahaskan isu mengenai hukum Islam seperti bersuci, ibadat dan kewajipan lain berkaitan wanita dengan lebih jelas secara teori dan amali.

"Kami juga masih mengekalkan konsep diskusi dan lebih menarik lagi program ini akan membawa penonton memahami perbincangan secara praktikal. Bermula dengan topik umrah, disusuli dengan dis-kusi mengenai permasalahan haji, juga menyentuh kembali isu taharah, solat dan pengurusan rumah tangga.

"Antara panel yang akan menyertai diskusi ilmu dalam musim kedua ini ialah Datuk Daud Che Ngah dan Datin Arbi, Ustazah Siti Norhafizah Musa, Ustazah Asmak Hussin, Ustazah Nourul Iman dan beberapa muka baru yang akan menjadi panel. Bahkan kali ini, saya juga diberi peluang menjadi panel bagi topik Menjaga Anak Perempuan" katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top