TV AlHijrah memilih Al-Adha Kembara Suci sebagai tema yang digunakan untuk sepanjang kempen haji tahun ini.TV AlHijrah menganggap tema itu akan membawa makna besar perjalanan kerohanian seorang hamba menuju Tuhannya.

Apa yang pasti, perjalanan yang mendekatkan diri setiap insan dengan Pencipta ini menjanjikan sejuta kemanisan iman serta ganjaran terhebat.

Dengan tema yang diperkenalkan ini, TV AlHijrah menyediakan beberapa program istimewa mulai 1 Oktober hingga 18 Oktober ini, sesuai untuk penonton TV AlHijrah khasnya pada mereka yang pernah mengerjakan haji, yang bakal mengerjakan haji dan juga yang masih menunggu dengan penuh harapan agar dipanggil untuk mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci Mekah.

Semestinya penonton akan menantikan siaran langsung pertukaran kain Kiswah Kaabah di Mekah bermula pukul 8 pagi hingga 4.30 petang.

Selain itu, siaran langsung dari Arafah yang memaparkan Jemaah Haji menyempurnakan salah satu Rukun Haji serta Khutbah dari Arafah pada pukul 5 petang keesokannya pasti dinantikan.

Himpunan dokumentari dalam Hajj Special Dokumentari yang memaparkan dokumentari khas berkaitan Haji yang telah dirakamkan oleh National Geographic pasti akan menarik penonton. Dokumentari yang berkisar sekitar Ibadah Haji itu akan mengetengahkan empat tajuk utama iaitu Al-Hajj, Pilgrimage, Chinese Hajj dan Inside Mecca.

Drama Wakrah Kehidupan yang mengisahkan Amin seorang graduan muda yang berusaha mengubah nasib diri dan keluarga setelah kematian ayahnya, namun beberapa kali gagal, akan bersiaran pada 18 Oktober pukul 10 malam.

Rancangan sajian masakan bersama Chef Ammar Aidiladha 2013 akan bersiaran pada 15 Oktober pukul 11.30 pagi. Rancangan tersebut akan dihoskan oleh Chef Ammar, seorang chef berbangsa Arab berasal dari Lebanon dan sudah berada di Malaysia lebih 12 tahun.

Dalam episod istimewa ini, beliau akan menunjukkan kebaikan penyembelihan lembu dan kambing mengikut sunnah dan cara memasak hidangan sempena perayaan AidilAdha. Antara juadah istimewa Aidiladha yang disediakan ialah kambing masak merah, nasi Aidiladha, salad kacang botol.

Siaran TV AlHijrah juga turut ditambah dan dilanjutkan sehingga pukul 2 pagi bagi memberi laluan kepada siaran langsung waktu Maghrib dan Isyak terus menerus dari Masjidil Haram.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top