Iman AF2013 sudah menjangka akan tersingkir kerana masih dibayangi persembahannya yang agak hambar pada minggu sebelumnya. Iman tersingkir pada konsert ketiga, Ahad lalu.

Walaupun sudah melakukan sedaya upaya, pemuda kelahiran Kedah itu gagal memikat penonton serta mendapat kritikan kurang memberangsangkan daripada tiga juri tetap, Edry, Sharifah Amani dan Roslan Aziz.


Kaku, tiada pesona dan kurang pemahaman lagu antara komen yang dilontarkan buatnya meskipun berusaha membawakan lagu Noktah Cinta nyanyian asal Hafiz dengan versi tersendiri.

Kelihatan cukup tenang sebaik namanya diumumkan, Iman seakan-akan sudah menduga dia bakal tersingkir pada malam itu dan ternyata ketika ditemui selepas itu, dia mengakui sejak beberapa hari sebelum konsert, hatinya tidak tenang.

"Entah kenapa memang dalam sehari dua sebelum konsert, naluri saya kuat mengatakan minggu ini giliran saya terkeluar impak daripada kesilapan besar pada persembahan minggu sebelumnya.

"Tidak cukup dengan itu, perasaan rindu saya tiba-tiba rasa meluapluap kepada keluarga selepas sekian lama tidak berjumpa dan ada membuat hajat selepas solat, kalau memang rezeki saya bukan di sini, saya terima seadanya," katanya.

Tidak terkilan namun reda selepas kebolehan sebenarnya tidak sempat ditunjukkan, lman bagaimanapun berjanji tidak mahu berputus asa apatah lagi ini baru permulaan buatnya.

"Saya tidak akan berhenti untuk meneruskan perjuangan dalam bidang ini. Bermula dengan nasyid sebelum ini, sebenarnya jiwa muzik saya lebih kepada pop dan apapun terjadi selepas ini, saya sudah sedia memberikan segalanya.

"Memang saya kecewa juga tidak sempat menunjukkan kemampuan sebenar dan belum tonjolkan aksi terbaik saya namun apakan daya, rezeki sampai di sini saja," katanya.

Selepas penyingkiran Iman, kini tinggal lagi 10 peserta masih dalam persaingan dalam merebut gelaran juara iaitu duo Azhael dan Irmisa, Suhada, Faizul, Aishah, Nona, Indah, Nabila dan Amira.

Sebaik undian ditutup pada malam itu, Azhael yang mendahului carta di awal konsert dengan 26 peratus tetap unggul di tempat pertama apabila meraih 19.1 peratus. Manakala, Iman berada di kedudukan tercorot dengan 6.6 peratus hanya kurang sedikit di belakang duo Irmisa yang meraih 6.7 peratus.

Jelas menyerlah pada konsert minggu berkenaan, Azhael yang menyanyikan Khayalan (Ruffedge) turut mendapat `standing ovation' daripada Roslan sementara peserta lain kebanyakannya masih gagal tampil dengan persembahan luar biasa.

Tidak mengecewakan, peserta dari Tawau, Sabah, Faizul berhasil mendapat pujian dari segi nyanyiannya menerusi Gerimis Mengundang (Slam) namun disifatkan personalitinya belum menonjol dan meyakinkan.

Duo Irmisa tampil menyanyikan lagu Sebelah Jiwaku (Jaclyn Victor), Suhada (Belaian Jiwa Innuendo), Aishah (Tunggu Sekejap Tan Sri P Ramlee), Nona (Srikandi Cintaku Bloodshed), Indah (Pelitaku Zur Eda), Nabila (Berlari Tomok) dan Amira (Getaran Jiwa Tan Sri P Ramlee).'

Faizal Tahir belum puas

Tamat sudah khidmatnya selepas tiga minggu ditugaskan menjadi Inspirer kepada bintang-bintang berkenaan, meskipun berat melepaskan mereka, dia mengakui gembira dengan ilmu yang dicurahkannya kepada mereka.

"Jujur sebenarnya saya belum puas dan mahu lagi berada di sana mengajar, melatih dan membantu mereka menunjukkan kemampuan, namun akur masa saya sudah tamat.

"Apapun, melihat pengganti saya selepas ini iaitu Melly Goeslow, saya sangat yakin bintang berkenaan akan mendapat lebih lagi tunjuk ajar memandangkan penyanyi itu lebih berpengalaman daripada saya dan bukan calang-calang," katanya.

Tentu sekali menjadi individu yang paling mengenali dan tahu di mana ukuran kebolehan serta potensi setiap bintang, Faizal bagaimanapun tidak mahu menamakan siapa padanya paling layak untuk menang.

"Apa juga kemungkinan boleh berlaku dan tidak mustahil yang di bawah boleh naik mengambil alih kedudukan siapa di atas. Sukar untuk saya menamakan siapa yang patut menang kerana penilaian ini begitu subjektif.

"Namun perlu saya tekankan, sikap itu adalah faktor paling penting di mana bukan saja nyanyian hebat semata-mata, namun perlu juga ada disiplin, berpandangan jauh, usaha lebih keras dan rajin perlu ada dalam diri mereka jika benar-benar mahu berjaya," katanya.


0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top