Di sebalik kegembiraan menyambut kehadiran orang baru, penyanyi Anis Aneesa turut merasa sedih apabila baru saja kehilangan bapa tersayang, Mushidi Desa bulan lalu.

Anis yang berkahwin tahun lalu meraikan kehadiran cahaya mata pertamanya yang diberi nama Muhammad Kaisar pada sebuah majlis cukur jambul yang diadakan di kediamannya di Selayang, baru-baru ini.

Mohd Kaisar yang kini berusia empat bulan hasil perkahwinan Anis dengan jejaka dari Syria yang mahu dikenali sebagai Abdul. Anis mengenali jejaka terbabit beberapa bulan sebelum mereka berkahwin.

Mengadakan majlis dalam suasana meriah yang dihadiri lebih 100 tetamu itu, Anis terharu walaupun bukanlah artis terkenal, dia mendapat tajaan daripada ramai pihak sempena majlis cukur jambul anaknya itu.

"Alhamdulillah saya gembira segala-gala yang dirancang untuk meraikan majlis si kecil berjalan lancar, namun tidak Anis nafikan terasa sedikit sayu jauh di sudut hati kerana ayah tidak dapat bersama-sama kami meraikan hari gembira ini.

"Sangat terasa kehilangannya kerana selama ini dialah tulang belakang saya sepanjang karier bergelar anak seni dan apabila dia sudah tiada terasa lain sangat hidup ini.

"Walaupun orang kata anak ini sebagai pengganti ayah, Anis sangat merasai ketiadaannya yang selama ini sentiasa menemani Anis ke mana saja pergi," katanya yang pernah popular dengan lagu Qasidah Cinta.

Bercerita mengenai pertemuannya dengan suami penyanyi bernama penuh Nuranishazwani Mushidi ini berkata, semuanya berlaku terlalu pantas. Selepas putus tunang dengan jejaka dari Iran, dia berkenalan pula dengan suami dan merasakan seperti ada keserasian di antara mereka, masing-masing sepakat melangsungkan perkahwinan secepat mungkin.

"Mungkin inilah yang dikatakan jodoh, puas berkawan dengan semua orang, lelaki asing juga menjadi pilihan. Bukan tidak suka dengan lelaki tempatan, tetapi dalam perhubungan mencari keserasian itu amat penting dan saya merasakan keserasian itu sepanjang mengenali suami.

"Saya juga bersyukur dikurniakan anak lebih awal menjadikan kehidupan kami lebih lengkap dan sempurna. Sepanjang tempoh berpantang dan membesarkan Kaisar, saya tidak mengupah pengasuh kerana tidak yakin dengan cara kerja mereka.

"Justeru, saya memilih untuk membesarkan Kaisar dengan tangan sendiri, malah suami dan ibu banyak membantu. Jika saya dan suami sibuk, ibu yang akan mengambil alih tugas menjaga Kaisar," katanya.

Anis berkata, kehadiran anaknya juga membuatkan dia dan suami berasa lebih bertanggungjawab dan bersifat lebih matang dalam melalui proses kehidupan sebagai suami isteri.

Lama menyepi dari industri, penyanyi berusia 27 tahun itu bakal bergiat aktif semula di samping akan memperkenalkan single terbarunya duet bersama kumpulan Wali dari Indonesia.

"Single ini masih belum mempunyai tajuk, namun ia sudah siap dan hanya menunggu masa untuk dilancarkan, konsep muzik adalah `catchy'. Saya memilih Wali kerana projek ini sudah dua tahun dibuat dan ketika itu mereka sangat popular di sini.
Penyanyi Anis Aneesa

"Malah sebagai langkah strategi, single ini akan diputarkan di Indonesia dulu dan barulah akan menembusi pasaran tempatan.

Kalau boleh saya mahu ia disegerakan kerana sudah agak lama saya menyepi sejak mula berkahwin dan rasanya sudah tiba masanya saya muncul semula dengan lagu baru," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top