Dalam usia 32 tahun, Alicia Keys sudah berada di puncak kegemilangan dan kini kehidupannya makin lengkap selepas bergelar isteri dan ibu.

Penyanyi lagu Girl On Fire itu sememangnya satu dalam 1,000 di mana dialah contoh terdekat artis Barat yang diperkatakan semata-mata kerana bakat luar biasanya sebagai penyanyi serta pencipta lagu.

Pernah meledak dengan lagu berbisa termasuklah Fallin', If I Ain't You, No One, Empire State of Mine dan sebagainya, terlalu banyak sebab buatnya bersyukur dengan kehidupan indah miliknya.

Namun begitu, tentunya yang paling membuatnya merasa tenang kala ini adalah dapat melihat serta meluangkan masa untuk anak lelakinya Egypt, 3, hasil perkongsian hidup dengan suaminya Swizz Beat.

Selepas melancarkan album terbarunya Girl On Fire tahun lalu, jadualnya kembali padat dengan siri jelajah pula menyusul baru-baru ini bermula di Brazil.

Alicia Keys

Tidak menjadikan alasan itu untuk mengabaikan keluarganya, bersempena sambutan hari lahir Egypt tahun ini, dia turut tidak mahu ketinggalan bercuti sekeluarga dan memilih Hawaii sebagai destinasi.

Jelas terpancar betapa dekat dengan keluarga terutama anaknya itu perkara paling bermakna dalam hidupnya kini, Alicia mengakui sangat tenang apabila dapat menunaikan segala keperluan serta kehendak Egypt.

"Hidup berkeluarga dan menjadi seorang ibu membuatkan saya kini lebih terbuka, lebih mengenali diri sebenar saya, gembira dan malah menjadi lebih kreatif.

"Saya tidak pernah terfikir beginilah perasaan apabila menjadi ibu bapa dan merasakan betapa sukarnya apabila walau sedetik pun terpaksa berjauhan dengan anak lelaki saya," katanya.

Gara-gara itulah juga, dia tidak mahu langsung berenggang dengan cahaya matanya itu dan dilantik menjadi duta kepada persatuan Keep a Child's Alive membuat dirinya mahukan Egypt sentiasa merasai kehidupan sebuah keluarga normal.

Dia tidak mahu sekalipun mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang ibu dan mengakui sentiasa luangkan masa biar sekejap pun melakukan kerja-kerja rumahnya.

"Saya tiada beza dengan ibu normal lain di mana apabila tiba waktu tidur Egypt, saya pastikan sayalah yang akan mendodoikan dia. Saya akan membacakan buku cerita buatnya sehinggalah dia terlelap.

"Selain itu, saya juga tidak kisah menemani dia untuk melawat ke taman, muzium dan kerap bermain kejar-kejar serta membuat kerja gila di halaman rumah," katanya yang akan jadi tidak keruan jika ketiadaan anaknya di sisi.

Gegar Malaysia 27 November ini

Selepas Brazil, Alicia bakal meneruskan siri jelajahnya ke Dubai pula pada 15 November sebelum ke China, Jepun, New Zealand dan tidak ketinggalan bakal singgah ke Kuala Lumpur juga.

Berlangsung pada 27 November di Stadium Putra Bukit Jalil, ini adalah kali kedua dia berkunjung ke Malaysia dan bakal menjayakan konsert dinamakan Set The World On Fire itu.

Tiket untuk konsert berkenaan sudah mula dijual sejak 12 September lalu.

Dibawakan BlackBerry dengan kerjasama Celcom First, tiket-tiket berharga RM155, RM195, RM295, RM395, RM495 dan RM595 sudah boleh dibeli menerusi laman web www.ticketpro.com.my atau menghubungi talian 03-7880 7999.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top