Debaran Anugerah Skrin 2013 (ASK 2013)

Anugerah Skrin 2013 (ASK 2013) bakal kembali untuk memberi pengiktirafan kepada karyawan seni tanah air pada November ini. Bagi menyemarakkan lagi debaran ASK 2013, TV3 menayangkan sebahagian telefilem yang dicalonkan pada setiap Khamis jam 10 hingga 12 malam bermula 3 Oktober lalu hingga 21 November depan.

Antara telefilem yang bakal ditayangkan ialah Anak Lorong, Perempuan Itu Ibuku, Bedah Tong Gas Nak Raya, Sebelum Kiamat, Fatihah Untuk Abah, Aku Bukan Malaikat, Neraka Abah dan Di Bawah Langit Mu.

Seperti tahun sebelumnya, selain rangkaian televisyen di bawah naungan Media Prima Berhad seperti TV3, ntv7, 8TV dan TV9, pihak penganjur turut menjemput stesen televisyen RTM, Astro dan TV AlHijrah untuk sama-sama menyertai anugerah berprestij ini.

Pengurus Besar Kumpulan TV3 dan TV9, Sherina Nordin, berkata ASK 2013 bakal memecah tradisi dan membuat pembaharuan yang akan diumumkan pada awal November nanti.


"Seperti yang pernah kami tegaskan sebelum ini, Anugerah Skrin bukanlah pertandingan antara stesen televisyen, tetapi drama dan terbitan bermutu yang disiarkan melalui stesen ini yang dipertandingkan.

"Kami berharap agar penganjuran ASK 2013 turut mendapat kerjasama dan sokongan positif daripada rakan stesen televisyen lain. Ia memberi pengiktirafan kepada pengeluar drama, filem dan produksi TV tempatan," katanya.

Menurutnya, telefilem dan drama bersiri yang dicalonkan pula hasil penerbitan syarikat yang memenuhi slot drama di semua rangkaian televisyen setiap minggu. Antara faktor menyebabkan telefilem dan drama bersiri ini terpilih untuk ditayangkan di TV adalah garapan skrip yang baik, jalan cerita yang sempurna, lakonan mantap dan mutu penerbitan yang baik serta mampu menyampaikan mesej positif di samping boleh menarik perhatian penonton.

Calon yang dipertandingkan pula terdiri daripada terbitan yang sudah ditayangkan di TV dan pawagam mulai 1 Julai 2012 hingga 30 Jun lalu. Semua pencalonan akan dinilai panel juri profesional yang dipilih.

Bagi kategori Drama Terbaik yang menjadi tumpuan utama dalam ASK 2013, TV3 menyenarai pendekkan 16 drama iaitu Akhirnya Kisah Perempuan, Aku Bukan Malaikat, Anak Lorong, Bedah Tong Gas Nak Raya, Di Bawah Langit Mu, Fatihah Untuk Abah, Hari Hari Terakhir Seorang Seniman, Kampong Semarah Padi, Kawan, Mawar Putih Tanda Perpisahan, Neraka Abah, Perempuan Itu Ibuku, Sebelum Kiamat, Siapa Dapat Lisa, Strawberry Karipap dan Tunggu Sekejap.

Perempuan Itu Ibuku, untuk siaran 10 Oktober ini mengisahkan Azri dibesarkan di lorong pelacuran di sekitar Chow Kit apabila ibunya, Zainun dipaksa menjadi pelacur selepas bapanya dijatuhi hukuman gantung sampai mati atas kesalahan memiliki dadah.

Dadah itu sebenarnya dimiliki Johan, seorang pengedar dadah dan juga bapa ayam. Johan menuntut ganti rugi daripada Zainun. Apabila Zainun gagal membayar ganti rugi, Johan memaksa Zainun menjadi pelacur dan mengugut akan membunuh Azri sekiranya Zainun berpaling tadah. Azri sering menghabiskan masa di Masjid Kampung Baru. Selain mendapat makanan daripada mereka yang bersedekah, Azri selalu mendengar kuliah agama yang disampaikan imam masjid berkenaan iaitu Pak Hamid.

Telefilem ini dilakonkan, Shukri Yahaya, Sherry Merlis, Izreen Azminda, Zamarul Hisham.

Bedah Tong Gas Nak Raya (17 Oktober) menceritakan hari pertama berpuasa, Bedah akan tinggal di rumah ibunya, Mak Senah yang juga bidan kampung. Pak Kulop diminta menjaga perniagaan tong gas Bedah manakala Zamri menjaga bayinya. Kemunculan Che Ta dalam kampung itu untuk menjual gas mengejutkan Bedah kerana Che Ta akan menjadi rakan niaganya.

Pelakon yang membintangi telefilem ini, Noorkhiriah, Rozita Che Wan, Jalil Hamid, Bell Ngasri dan Syanie.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top