Ajai nafi bedah hidung utk lebih mancung

"Saya buat pembedahan hidung bukan sebab obses dengan kecantikan tapi atas dasar kesihatan," jelas komposer dan penyanyi, Ajai mengenai dakwaan dia melakukan pembedahan hidung untuk kelihatan lebih mancung dan menarik.

Penyanyi yang kini popular dengan lagu Aduh itu dikatakan melakukan pembedahan meletakkan batang hidung baru di sebuah hospital swasta baru-baru ini bagi menyerlahkan lagi bahagian hidungnya.

Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas, 40, berkata, desas-desus itu tidak benar kerana pada hakikatnya pembedahan itu terpaksa dilakukan kerana masalah sinus kronik yang dialaminya beberapa bulan lalu.

"Bukan saya buat hidung baru tapi pembedahan itu dilakukan sebab saya memang sakit. Sinus saya bertambah teruk dan menjangkiti bahagian telinga kiri dan batang hidung saya.


"Bayangkan, akibatnya bahagian batang hidung saya terpaksa dibuang dan digantikan dengan batang palsu. Atas nasihat doktor, kalau saya tak buat, ia akan menjejaskan pendengaran saya.

"Masalah itu adalah penyakit berangkai ENT (telinga, hidung dan tekak). Tahu sajalah, saya cari makan dengan tiga bahagian itu," katanya.

Menurut Ajai, dia terpaksa bertarung dengan pembedahan besar yang memakan masa lebih lima jam di sebuah hospital swasta lebih kurang tiga bulan lalu.

Pembedahan itu menyebabkan 28 jahitan di bahagian hidung dan 19 jahitan telinga.

Katanya, berikutan itu dia berdepan kesukaran selama lebih dua bulan untuk menyesuaikan diri dengan batang hidung baru itu.

"Kekok memang kekok tapi kenalah sesuaikan diri terutama untuk bernafas.

"Kalau diikutkan saya memang tak nak benda-benda yang menyakitkan ini tapi sudah terpaksa kenalah juga buat.

"Takkanlah saya nak menyakitkan diri buat pembedahan semata-mata untuk nampak lebih menarik," katanya.

Beralih pada perkembangan kerjaya, Ajai berkata, aspek imej dan penampilannya yang kelihatan muda seiring dengan kemunculan album solo pertamanya tidak lama lagi.

"Saya akui memang suka dan mengikuti fesyen, tapi ia perlu bersesuaian dan mengikut batas ketimuran serta usia. Imej saya tidak keterlaluan atau mewarnakan rambut pun," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top