Empat jejaka finalis Pencetus Ummah

Ibarat berjuang di medan perang, empat finalis program yang mencipta fenomena, Pencetus Ummah (PU) bakal bersaing merebut gelaran juara, malam esok.

Selepas enam minggu bersaing dan menimba ilmu daripada tenaga pengajar atau murabbi, tibalah giliran peserta mempraktikkan apa yang dipelajari. Mereka bersaing melahirkan idea dan kreativiti tersendiri dalam memenangi hati juri dan penonton.

Bertemu empat finalis PU iaitu Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan (PU Rahmat); Yeop Mohd Zinudin Mohamed Zaini (PU Yeop); Shahrul Hameed MPH Seeni (PU Shahul) dan Muhammad Hafiz Mohd Haneefa (PU Hafiz) dalam sesi fotografi petang kelmarin, HIP mendasari hati mereka.

Masing-masing bercerita perjuangan mereka dalam berdakwah dan matlamat menyertai PU. Peringkat akhir PU akan diadakan di Kolej Universiti Islam Malaysia, Bangi, malam esok.

Yeop mahu dikenali

Tanpa sebarang persediaan, Yeop hadir sesi uji bakat PU. Itu pun hanya selepas diberitahu oleh seorang teman yang arif dengan kecenderungan Yeop berceramah.

Sudah rezeki Yeop untuk menyertai PU dan melangkah hingga ke peringkat akhir.

Sebagai Penolong Pegawai Agama di Jabatan Pembangunan Keluarga, Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), selain menguruskan hal ehwal latihan, Yeop banyak memenuhi undangan menyampaikan ceramah.

Yeop mempunyai cita-cita yang lebih tinggi dan tidak mahu hanya berdakwah di zon selesa. Tanpa berselindung, dia mengakui tujuannya menyertai PU adalah untuk lebih dikenali, sekali gus memudahkan laluannya untuk berdakwah.

"Selain menjalankan kerja rasmi, saya banyak memberi ceramah agama di kawasan sekitar. Apabila menyertai program ini, saya harap dapat menyebarkan dakwah dengan lebih meluas.

Bagi saya, untuk bergelar pendakwah, elemen glamor dan dikenali itu penting. Ini kerana secara tidak langsung, ia memudahkan kita melaksanakan tanggungjawab berceramah," kata Yeop berterus terang.

Biarpun mengaku glamor menjadi buruan, Yeop menafikan dia berceramah kerana wang.

Anak murid jadi pendorong

Shahul Lebih dua dekad berdakwah, Shahul adalah peserta paling tua. Namun, bagi jejaka berusia 38 tahun ini, umur bukanlah halangan untuk dia menyertai PU. Shahul juga mahu mengejar impian menyebarkan ilmu agama kepada umat Islam.

"Ketika mula-mula hadir ke sesi uji bakat PU, saya risau kerana paling berusia.

Memang ada perasaan malu timbul. Disebabkan impian saya yang ingin belajar daripada murabbi yang hebat dan menyampaikan dakwah dengan lebih berkesan, saya gagahkan diri.

"Saya lakukan ini kerana mahu menunaikan impian keluarga dan aanak murid saya," kata pengetua sebuah Maahad di Pulau Pinang ini.

Walaupun mendapat pendidikan daripada ulama konvensional, Shahul bijak mempelbagaikan teknik penyampaian dakwah supaya mudah difahami anak muda.

"Bagi menarik minat golongan muda, selain menyampaikan ilmu agama yang saya peroleh daripada ulama veteran, saya juga gunakan pendekatan teknologi moden seperti penggunaan slaid ketika berceramah," katanya.

Rahmat belajar agama melalui usrah

Tidak semua finalis PU mendapat pendidikan agama secara formal. Rahmat memberitahu, berbanding finalis lain yang belajar di luar negara, dia hanya menuntut ilmu agama melalui sesi usrah.

Kerana minat yang mendalam dan berlaku kejadian yang menyentuh hati, Rahmat berazam menjadi pendakwah biarpun jurusan yang diambil di universiti berbeza dengan cita-citanya.

"Ada perkara yang berlaku yang membuatkan saya terdetik untuk menjadi pendakwah. Peristiwa ini terjadi ketika saya menolong bapa berniaga. Kebetulan berhampiran tempat saya berniaga ada orang menjual arak. Saya cuba melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa, namun tidak dilayan.

"Saya berharap dengan penyertaan saya dalam program ini dan dikenali, suara saya akan lebih didengari pada masa depan terutama andai berlaku kejadian seperti itu," katanya.

Hafiz mahu bantu sekolah tahfiz

Imej pelajar tahfiz sejak kebelakangan ini sering diperkatakan akibat didakwa tidak menampakkan ciriciri keislaman. Semuanya dikatakan berpunca daripada sikap segelintir pelajar tahfiz yang mengabaikan faktor kebersihan.

Sebagai individu yang bertanggungjawab mengawal selia pusat tahfiz di Selangor, Hafiz berkata, kesalahan itu tidak seharusnya diletakkan kepada pelajar kerana ia ada kaitan dengan faktor kewangan.

Sehubungan itu, bagi menjamin kehidupan pelajar lebih sempurna, Hafiz menjadikan penyertaannya dalam PU sebagai batu loncatan.

"Kebanyakan pelajar tahfiz adalah golongan daif. Seperti yang kita ketahui, kebanyakan pusat tahfiz mengharapkan bantuan masyarakat untuk menampung kehidupan.

"Sehubungan itu, penyertaan saya dalam program ini adalah untuk membantu pusat tahfiz di Selangor mencari dana. Selain menyampaikan ilmu agama, saya juga menggunakan nama untuk mencari dana bagi membantu menguruskan pusat tahfiz terbabit," katanya.

Berikutan mereka makin dikenali, Hafiz berkata, semua peserta bercadang melakukan kerja amal bagi membalas sokongan peminat terhadap PU.

"Kami merancang memberi ceramah percuma kepada mana-mana pihak atau pergi ke kampung.

Masing-masing ada kepakaran sendiri dan kita gunakan kelebihan itu untuk membantu mereka yang memerlukan," ujar jejaka berusia 32 tahun ini.

Siapakah yang layak membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 dan sebuah kereta Toyota Prius C berharga RM100,000? Peringkat akhir program realiti Pencetus Ummah akan disiarkan di saluran Astro Oasis dan Maya HD jam 9 malam esok.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top