Bergelar pemilik syarikat pengurusan artis, Laugh Out Loud (LOL) bukan bermaksud penyanyi yang popular dengan lagu Bila Terasa Rindu, Dafi hanya duduk goyang kaki di pejabat.

Sebaliknya, bintang yang digilap dari program realiti popular Akademi Fantasia musim kelima (AF5) dan pemilik nama sebenar, Gaddafi Ismail Sabri, 25, ini semakin gigih untuk mengukuhkan namanya dalam bidang seni tanah air.

Secara peribadi, Dafi mengakui dia tidak pernah putus asa untuk mendapat tempat dalam bidang nyanyian yang diceburinya lebih enam tahun lalu.


"Terus terang, bidang nyanyian memang sudah sebati dalam diri dan keutamaan saya sejak dulu. Mungkin orang fikir, saya mendapat laluan yang mudah kerana status sebagai anak menteri. Hakikatnya, saya juga bekerja keras dan berdikari untuk berada pada tahap sekarang," kata anak kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ini.

Seperti penyanyi lain, kata Dafi, dia juga tidak terlepas berdepan ujian sebagai penyanyi apabila lagu dendangannya tidak diputarkan di stesen radio tempatan.

"Entah di mana silapnya, single pertama dari album kedua berjudul Salahkah Aku yang juga sentuhan komposer Ajai tidak mendapat tempat di stesen radio tempatan. Sedangkan klip videonya sudah ditonton kirakira 200, 000 orang di laman sosial YouTube," katanya.

Enggan mengalah dengan apa yang berlaku, Dafi memberitahu dia merancang untuk mendapatkan khidmat komposer terkenal dari Indonesia untuk single terbarunya nanti.

"Bukan mengagungkan komposer dari seberang sebaliknya saya ingin mendapat sentuhan komposer luar pula untuk single terbaru nanti. Maklumlah, sebelum ini, saya sudah bekerjasama dengan komposer tempatan seperti trio KRU, Ajai, Audi Mok dan Omar K. Justeru, tiada salahnya, jika saya ingin mencuba khidmat komposer luar pula.

"Pada masa sama, saya juga merancang untuk berduet dengan Sherry dan penyanyi Indonesia, Gusti Arya sekali gus untuk menampilkan kelainan buat peminat di luar sana," katanya.

Syarikat pengurusan LOL milik Dafi yang ditubuhkan tahun lalu turut menguruskan karier beberapa artis tempatan iaitu Sherry Ibrahim, Rozita Che Wan dan Bella Dally.

Dalam perkembangan lain, Dafi juga bakal muncul dengan album keduanya berjudul #D4F1 yang memuatkan lima lagu dan bakal dilancarkan pada April tahun ini.

"Album ini turut memuatkan lagu Salahkah Aku dan single kedua berjudul Dalam Hati Ini, single ketiga Sudah Cukup Sudah dan single keempat Bintang Hati. Selain itu satu lagu lama Baby Harus Bersama yang dimuatkan dalam soundtrack filem Sayang You Can Dance pada 2008.

"Single Dalam Hati Ini yang berentak ballad dan juga ciptaan Ajai mengenai kisah orang yang putus cinta. Saya percaya lagu tema cinta ini memang mudah diterima peminat di luar sana," katanya.

Dafi mahu kolaborasi dengan Shila

Barangkali ramai yang tidak tahu hubungan persahabatan yang terjalin antara Dafi dan penyanyi terkenal, Shila Amzah.

Malah, Dafi mengakui anak kepada pelakon ND Lala adalah antara rakan artis yang rapat dengannya sejak 2009.

"Kami mula rapat ketika samasama terbabit dengan iklan Coke dulu. Memang kami rapat tapi belum tahap bercinta. Apapun, saya bangga dengan kejayaan yang dikecapi Shila hari ini terutama membawa nama Malaysia ke Shanghai.

"Selain Shila, saya juga bangga dengan Yuna yang turut mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa. Pada masa sama, saya juga merancang untuk berduet dengan Shila selepas ini," katanya.

Ditanya sama ada Shila menepati ciri-ciri wanita idamannya, Dafi yang masih solo akui, dia memang selesa berkawan dengan Shila sejak dulu.

"Saya bukan sekadar rapat dengannya, malah ahli keluarganya juga. Malah, ada pihak yang pernah minta komen saya bila Shila putus cinta dengan pelakon Sharnaaz Ahmad dulu dan terbaru, namanya, dikaitkan kontroversi dengan Johan As'ari pula.

"Sebagai teman rapat, saya simpati dengan apa yang berlaku dan percaya ada jodoh yang lebih baik ditentukan Tuhan buatnya," katanya.

Bukan saja nyanyian, Dafi juga menceburi bidang lakonan, sekali gus mengembangkan lagi cabang seni sedia ada.

Terbaru, dia baru selesai penggambaran drama bersiri sebanyak 13 episod berjudul Cintapuccino bergandingan dengan Eoon Suhaimi pelakon Aida AF9.

"Berlakon juga salah satu cabang seni yang menarik untuk diterokai, sekali gus menggilap bakat sedia ada. Namun, keutamaan tetap pada bidang nyanyian dan hanya memenuhi undangan berlakon bila ada kelapangan. Selepas drama itu ada juga beberapa tawaran berlakon yang datang, tetapi masih dalam perbincangan lagi," katanya.

Selain itu, Dafi turut berlakon watak pembantu dalam drama Babyana yang diterajui Uqasha Senrose dan Sharnaaz untuk siaran RTM. ~ Metro


0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top